Wednesday 22 January 2014

Ummu Sulamah, Wanita Terpilih


Gambar sekadar hiasan

Oleh: obedient_ed

“Wanita, kerana dirimu begitu berharga”

Ummu Salamah adalah seorang wanita yang terhormat, berhijab dan suci dalam kalangan masyarakat Mekah. Nama sebenar beliau adalam Hindun binti Abu Umayyah. Sejak Islam tersebar di bumi Mekah, beliau dan suaminya, Abu Salamah adalah di antara mereka yang segera memeluk Islam, dan menjalani kehidupan yang bahagia.

Tatkala perintah berhijrah ke Madinah, mereka suami isteri mengalami peristiwa yang memilukan. Ketika mereka dan anak mereka, Salamah bersiap sedia ke Madinah, keluarga Ummu Salamah tidak membenarkan Abu Salamah membawa beliau berhijrah. Dan keluarga Abu Salamah tidak membenarkan Salamah bersama ibunya. Akhirnya, Ummu Salamah dibawa pulang dan tinggal bersama keluarganya di Mekah, suaminya ke Madinah dan anaknya bersama keluarga Abu Salamah. Selama setahun, pada setiap pagi, Ummu Salamah akan menangis mengenangkan nasibnya, sehingga pada suatu masa, seorang sepupunya berasa kasihan lalu menasihati keluarganya;

“Tidakkah kalian merasa simpati terhadap wanita yang malang itu? Kalian memisahkannya dari suaminya dan anaknya.”

Akhirnya, Ummu Salamah beroleh kebebasannya dan mendapat anaknya kembali, lalu bersiap sedia ke Madinah untuk menemui suaminya. Di sana, beliau hidup bahagia dan dapat beribadah dengan tenang dan mengamalkan segala ajaran Rasulullah SAW. Beliau juga sangat menyokong suaminya di medan jihad. Abu Salamah mengalami kecederaan yang teruk semasa Perang Uhud. Semasa isterinya merawat beliau, beliau berkata:

“Adakah engkau ingin taat kepadaku?”

“Ya”

“Maka, menikahlah sekali lagi selepas aku pergi. Ya Allah, jika aku mati, maka berilah Ummu Salamah seorang yang lebih baik dari diriku, yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.”

Tidak lama selepas Abu Salamah meninggal dunia, Ummu Salamah telah dilamar oleh ramai sahabat. Antaranya adalah Umur bin Khattab dan Abu Bakar As-Siddiq. Namun, Ummu Salamah menolak pinangan itu kerana merasakan tidak ada sesiapa yang mampu menggantikan tempatt suaminya.
Akhirnya, beliau dipinang oleh Rasulullah SAW dan banyak membantu dakwah Rasulullah SAW kerana beliau memiliki pemikiran yang cerdas. Beliau juga menjadi rujukan ramai sahabat mengenai hukum dan fatwa serta meriwayatkan sebanyak 378 hadis. 

Kehadiran Ummu Salamah dalam sejarah Islam sangat berharga dan beliau seharusnya dijadikan contoh kepada kita semua, agar terus berjuang untuk agama Allah, walaupun kita adalah seorang wanita. Jelasnya, peribadi Ummu Salamah banyak mencorakkan dakwah Rasulullah SAW agar lebih berkesan dan mantap.

No comments:

Post a Comment