Wednesday 22 January 2014

Ujian, Limitasi dan Kematangan





Oleh : Muhammad Farris bin Mohd Hanafi, MMMC (Batch 31)


الم . احسب الناس ان يتركوا ان يقولوا ءامنا وهم لا يفتنون.

“Alif, lam, mim. Apakah manusia mengira bahawa mengira akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?”

Generasi awal Islam yang diketuai oleh Rasulullah saw dan para sahabat banyak mencoretkan kisah-kisah ujian dan pengorbanan dalam menerapkan nilai islam dalam kehidupan manusia. Ujian-ujian yang dihadapi menggambarkan keteguhan jiwa Rasulullah saw dan para sahabat dalam menyampaikan risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Keteguhan yang lahir dari keimanan mendalam menolak golongan awal ini untuk terus bertahan  pada tahap limitasi hidup mereka sekaligus mencapai tahap kematangan manusia dalam masa yang singkat!

Ujian dan limitasi kehidupan adalah satu perkaitan yang rapat dan menunjukkan rahmat Allah swt kepada manusia khususnya orang-orang beriman. Jadi, apakah itu ujian? Dan apakah yang dikatakan dengan limitasi kehidupan?

Seringkali manusia mengeluh bilamana diri mereka diuji dengan pelbagai bentuk dan cara. Contohnya, kesihatan yang teruk, kehilangan harta benda, kematian orang tersayang, gagal dalam peperiksaan dan sebagainya. Tidakkah Allah ada mengingatkan kita bahawa,

لا يكلف الله نفسا الا وسعها,لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (balasan) dari (kejahatan) yang dilakukan.”

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang. Ibaratnya wujud dialog, “engkau sebenarnya mampu! Cuma engkau tidak yakin untuk melepasinya dan jangan bimbang  hamba-Ku, engkau pasti melepasinya.” Kemudian tiba suatu saat kita melepasi ujian itu, hati ini mula terdetik, “aku sudah melepasinya, dan kini aku di sini.”

Ujian sentiasa meletakkan diri kita pada tahap ‘sedar’ dan ‘aware’ dengan perhubungan kita dengan Allah swt. Ia mendorong kita untuk sentiasa berada di ruang limitasi kehidupan  secara tidak sedar dan menjadikan kita manusia yang semakin baik dari hari ke hari (sekiranya kita berfikir dan mengambil pengajaran).

Perumpamaannya, individu A hanya mampu berlari sejauh 200 meter. Dia keletihan dan tidak mampu untuk meneruskan lagi selepas jarak itu. Apabila wujud satu ujian dan ‘tolakan’ ke ruang limitasi, sebagai contoh, ada seekor anjing mengejarnya atau ada seorang jurulatih sukan yang memaksanya untuk terus berlari sejauh 1 km, jadi apakah yang berlaku? Lama-kelamaan individu A mampu untuk berlari sejauh 1 km malah lebih lagi! Individu A berterusan berada di ruang ‘keluarbiasaan’ atau limitasi dan terus menjadikannya seorang manusia yang lebih baik.

Sedar atau tidak, perkara ini sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian kita. Pepatah melayu berkata, “Alah bisa, tegar biasa.” Ujian adalah bukti kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya dan itulah yang berlaku kepada generasi pertama Islam di Mekah. Mereka diuji dengan pelbagai ujian, dihina, dikeji, dibuang negeri, ditindas dan sebagainya. Ujian itu tidak menjadikan mereka lemah, malah terus kuat dan matang dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang manusia yang beriman.


الذين قال لهم الناس ان ااناس قد جمعوا لكم فاخشوهم فزادهم ايمانا وقالوا حسبنا الله ونعم الوكيل

“(iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang mengatakan kepada mereka, “orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka! Ternyata (ucapan) itu menambah (iman) mereka dan mereka menjawab 

“Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”

Namun begitu, kebanyakan manusia lebih gemar berada dalam ‘zon selesa’ mereka berbanding bertahan di ‘zon limitasi’ hidup. Mereka bersenang-senang dan akhirnya merugikan diri sendiri. Contohnya, B ingin cemerlang dalam peperiksaan, namun hanya bermain ‘video games’ dan tidur sahaja tanpa sebarang usaha dan susah payah.  Kebiasaannya, manusia yang cemerlang dan matang dalam hidup, sentiasa bersusah payah bagi mencapai apa yang dikehendaki. Biarpun sukar, itulah realiti kehidupan yang perlu dihadapi.

Jadi, dari mana datangnya kematangan? Kematangan tidak diukur pada umur. Ia diukur pada pengalaman dan ilmu yang ada pada seseorang serta sejauh mana seseorang itu mampu bertahan dalam ruang lingkup limitasi kehidupan mereka. Pepatah inggeris menyebut “experience is the best teacher ever.” Peribadi yang matang adalah individu yang mampu berhadapan dengan satu-satu situasi dengan baik tanpa ‘lari’ darinya.

Akhirnya, sirah Nabi saw mengajar kita bahawa kehidupan dunia hanyalah ‘penjara bagi mukmin, syurga bagi orang-orang kafir’. Bayangkan sahaja ‘tekanan’ dalam penjara, dan itulah ‘tekanan’ yang perlu kita rasakan di dunia. Ujian mendorong kita untuk berada pada tahap limitasi kehidupan, dan sekaligus menjadikan kita muslim yang lebih baik dari hari ke hari sehinggalah kita tersenyum saat kita berada di sana (akhirat).

No comments:

Post a Comment