Wednesday 22 January 2014

Lau Kana Bainana


Oleh: AJ

“Hisham, kau tahu tak apa yang menarik minggu depan?”

“Entah. Apa dia? Aku tak ingat la pula. Sibuk sangat study. Test datang tak reti nak berhenti. Kau bagi la klu sikit.”

“Rajin sangat kau ni. Okaylah, aku bagi klu. Minggu depan ada birthday seseorang. Cuba teka siapa?”

“Err… Minggu depan ye… 13, 14, 15, 16… Oh, 13 Jan ni birthday Orlando Bloom kan?”

“Erk… 14 Jan ni birthday Rasulullah la…”

“Eh, dah Rabiul Awal sekarang ye? hehe… Maaf, tak perasan.”

__________________________

            Begitulah senarionya. Walaupun situasi di atas hanyalah sekadar rekaan semata-mata. Namun, inilah realiti yang benar-benar berlaku. Kita terlalu sibuk dengan hal keduniaan sehinggakan terlupa akan dia. Walhal, dia amat rindukan kita.

Dialah yang bersusah payah,
Dialah yang sering dihina dan dicaci,
Dialah yang diherdik dan difitnah,
Hanya kerana risaunya pada kita,
Risau kalau-kalau kita tidak menerima cahaya Islam itu.

Dialah Muhammad bin Abdullah. Insan agung junjungan manusia dan kekasih Ilahi.

            Pernahkah kita bayangkan bagaimana keadaan kita jika kita tidak menerima nikmat iman dan Islam pada hari ini? Dua nikmat yang terbesar buat umat manusia yang diperjuangkan oleh Rasulullah dan para sahabat dengan darah dan nyawa mereka. Allahurabbi, tak sanggup rasanya nak bayangkan. Alhamdulillah, berkat perjuangan baginda, kita dapat merasa dua nikmat terbesar ini.

            Sedang kita asyik sibuk dibuai dengan hal-hal keduniaan, kita sampaikan terlupa akan baginda yang sangat rindu akan kita. Kita terlupa akan segara jerih payah Baginda dalam menyebarkan risalah agung ini.

Adakah kita lupa akan peristiwa Ta’if? Bagaimana teruknya pengalaman baginda sehingga darahnya boleh berkocak dalam kasut yang dipakainya. Namun, apa yang baginda lakukan apabila datangnya malaikat penjaga bukit menawarkan dirinya untuk menghancurkan kaum tersebut? Baginda tidak bersetuju. Malah, mendoakan hidayah buat mereka. Subhanallah, murni sungguh akhlak baginda. Inilah ikon sepanjang zaman yang wajar kita teladani.

            Saya tertarik dengan kata-kata seseorang yang saya jumpa di facebook. Katanya, “Jika air mata umat mengalir kerana rindukan Nabi s.a.w, ketahuilah bahawa bukan air mata Nabi s.a.w sahaja mengalir tetapi darah Nabi s.a.w juga mengalir kerana cintakan umat.” Allahurabbi. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan baginda untuk umatnya. Untuk kita. Kita mungkin rindukan baginda. Tetapi, baginda lebih jauh rindukan kita. Kita hanya mengeluarkan air mata. Baginda pula sehingga ketitisan darah.

            Namun begitu, dunia hari ini membuatkan manusia lupa akan perkara itu semua. Lupa akan jerih payah baginda. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Dunia dikejar tanpa henti. Penyakit wahan (baca: cintakan dunia dan takutkan mati) pula semakin besar bersarang dalam hati. Dosa pahala dan halal haram ditolak tepi. Hedonism dan maksiat dijulang tinggi. Tidak pernahkah kita terfikir apa yang baginda akan rasa sekiranya baginda masih bersama kita sekarang?

Lau kana bainana. Andai baginda bersama kita…

            Andai baginda bersama kita, pasti pilu hatinya melihatkan ummah yang sedang sakit ini. Sakit yang semakin parah dari hari ke hari. Kerakusan terhadap dunia semakin menebal dalam diri. Penindasan berlaku tanpa henti. Dan ironinya kebangkitan Islam itu dinanti-nanti. Walhal, usaha untuk itu umpama nota difotokopi. Malas dan kurang usaha sama sekali.

            Sempena maulidurrasul yang hampir kunjung tiba ini, marilah kita perbanyakkan selawat ke atas baginda. Kita cuba sebaik dan semampunya mencontohi sunnah-sunnah baginda semudah-mudah bermula sesuatu dengan yang kanan. Biarpun nampak kecil dan mudah, Dia pasti mengira jika niat hanya kerana-Nya. Biarlah segala apa yang kita lakukan sehari-hari ini beroleh rahmat-Nya. Insya-Allah.

Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat ke 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): Sekiranya kamu mencintai Allah, - Fattabiouni - maka ikutlah aku (Nabi Muhammad) nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.

            Akhirul kalam, marilah kita mempraktikkan sunnah baginda. Dan ingatlah bahawa sunnah baginda yang terbesar adalah menyebarkan kalimah-Nya. *senyum*

Aishiteru Muhammad…


 

No comments:

Post a Comment