Thursday 2 January 2014

Ingin Aku Sampaikan Sebuah Kisah

Oleh Rayhan Al-Firdausi


Dia melihat anaknya dalam dukungan dengan penuh kasih sayang. Kecil, molek anak ini, lemah tidak berdaya. Naluri keibuannya tersentuh, dadanya berombak sebak. Tuhan yang Maha Agung mencampakkan rasa cinta yang begitu mendalam sekali padanya ke atas anak kecil ini. Mengapa begitu kejam sekali pemerintah ini? Apa nasib anakku ini? Oh, Tuhanku… riuh hatinya mengharap, pada belas kasih Rabbnya. Hangat mengalir membasahi pipi seorang ibu yang mungkin akan melihat anaknya buat kali terakhir.

“Wasta’inu bissobri wassolah (Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat)”(2:45)

“Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa, ‘Susuilah dia dan apabila kau khuatir terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke sungai. Dan jangan kau takut dan jangan bersedih hati, sesungguhnya KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU, dan menjadikannya salah seorang rasul” (28:7). Berkali-kali si ibu memandang Musa, begitu berat meninggalkan kecintaan ini. Sungai Nil ini, dalam dan panjang. Tersangat beza dengan anak ini kecil dan tidak berdaya. Mana mungkin seorang ibu mampu melepaskan anaknya di alir sungai yang mampu membunuhnya. Mustahil. Tidak masuk akal dia akan terselamat. Cuma ada sesuatu yang terus berlegar dalam ingatannya “…KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU..”. Maka si ibu menetapkan keyakinan penuh kepada Rabbnya, lalu melepaskan anaknya perlahan-lahan ke dalam sungai.

Bertubi-tubi si ibu di uji. Musa a.s. yang telah dihanyutkan dipungut keluarga Firaun. Kini anak kecil itu ditangan Firaun, pemerintah zalim yang memerintahkan supaya membunuh anak-anak lelaki. Seizin Allah, ibu Musa melihatnya. Punah. Hancur. “Dan hati ibu Musa hampir menjadi kosong. Sesungguhnya hampir sahaja dia menyatakan (tentang Musa), jika tidak Kami teguhkan hatinya,agar dia termasuk orang-orang beriman” (28:10). Kali ini tentu sekali Musa tidak akan selamat. Jika Firaun boleh berlaku zalim terhadap anak-anak lelaki yang lain, inikan pula yang terjumpa di sungai. Mustahil sama sekali. Ingatan si ibu sekali lagi teringat “…KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU..”.

Lalu, Allah mencampakkan rasa mahabbah (cinta) isteri Firaun kepada Musa yang kecil itu. Kata isteri Firaun, anak ini Quratu A’yun (penyejuk mata) buatnya dan buat Firaun (28:9) . Dan siapa menyangka bengis dan zalim seorang lelaki bernama Firaun ini, boleh cair dan lembut hati terhadap Musa, seorang bayi  lelaki yang tidak semena-mena dijumpai di sungai. Dalam banyak-banyak anak kecil yang dibunuh tanpa belas oleh Firaun dan konco-konconya, Musa terselamat. Ibu Musa masih lagi berpegang teguh dan Allah menguatkan hatinya..dia hanya perlu yakin dan sabar…“…KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU..”.

Ibu Musa lantas menyuruh saudara perempuan Musa mengintai tingkah laku Firaun dan isterinya terhadap Musa. Ramai perempuan hadir untuk menyusukan Musa a.s. Tetapi… “dan Kami cegah dia (Musa) menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui (Musa) sebelum itu…” (28:12). Nabi Musa a.s. yang kecil dipelihara Allah istimewa buat ibunya yang yakin dan sabar. Sehingga  akhirnya saudara perempuan Musa mencadangkan sebuah keluarga yang mampu memelihara dan berlaku baik terhadap Musa kepada Firaun. “Maka KAMI KEMBALIKAN DIA (MUSA) KEPADA IBUNYA, agar senang hatinya dan tidak bersedih hati, dan agar dia mengetahui bahawa JANJI ALLAH ADALAH BENAR, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Cuma satu, yakin. Allah cuma mahu kita yakin padaNya. Iman itu yakin bukan?


Ingin aku sampaikan sebuah kisah. “Dan apakah telah sampai kepadamu kisah Musa a.s.?” (20:7)

No comments:

Post a Comment