Wednesday 22 January 2014

Sharing Is Caring?? Kenali Jenis-Jenis Hadis



Sharing is caring???

“ Waah.... Best hadis ni. Wajib share ni!!! Harap orang lain jugak semangat lepas baca hadis ni. InsyaAllah dapat kumpul saham untuk akhirat nanti. Amin...”

 Ha! Anda mungkin salah seorang yang pernah melakukan perkara ini. Namun tahukah kalian bahawa niat baik kalian boleh membuatkan kalian menempah tiket percuma ke neraka. Mana tidaknya, kita sering berkongsi hadis-hadis di Fb atau blog tanpa usul periksa tentang hadis tersebut. Hanya dengan menekan butang  ‘share’  maka tersebarlah segalanya sepantas kilat.

“Jangan kamu berdusta atas namaku kerana bahawasanya barangsiapa yang berdusta atas namaku, masuklah ia ke dalam neraka” (hadis riwayat Muslim)

Astaghfirullah. Menakutkan bukan ancaman baginda ini. Takpe-takpe jangan risau, jom kita kenali jenis- jenis  hadis agar perkara yang sama tidak akan berulang.

1) Hadis sahih :
Hadis yang sanadnya bersambung, disampaikan oleh perawi yang adil, sempurna kekuatan ingatan dari awal hingga akhir sanad, tanpa ada sebarang percanggahan (syaz) atau kecacatan ( ‘illah ).

2) Hadis Hassan
Hadis yang sanadnya bersambung dari awal hingga akhir, disampaikan oleh perawi yang adil, kekuatan ingatanya kurang sedikit daripada perawi hadis sahih, tanpa sebarang syaz dan ‘illah.

3) Hadis Dhaif
Bermaksud hadis yang lemah. Hadis ini tidak menepati syarat hadis sahih atau hadis Hassan. Misalnya, perawinya tidak bagus ingatannya, tidak benar percakapannya serta tidak menjauhi dari melakukan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan pribadinya. Contoh hadis dhaif:

 "Barangsiapa yang membaca surah Al-Waqiah setiap malam, nescaya tidak akan ditimpa    kefakiran selama-lamanya."


4) Hadis Maudhu’
Hadis palsu. Ini adalah hadis yang direka dan dinisbahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Contoh hadis maudhu’ yang terkenal :

"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya. "

Jadi hadis yang mana satu yang boleh diamalkan dan dikongsikan? Jawapannya adalah hadis sahih dan hadis Hassan. Ini kerana hadis tersebut sudah terbuki kesahihannya walaupun dari segi kekuatan hadis Hassan berada di bawah hadis sahih. Manakala, haram hukumnya bagi kita untuk menyampaikan hadis maudhu’ kerana ia adalah hadis rekaan dan sekiranya kita mendakwa hadis terdebut dari Nabi, ia seolah-olah berdusta kerana telah nyata baginda tidak pernah menyatakannya.

Bagi hadis dhaif pula, Imam Bukhari, Muslim dan Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi menetapkan bahawa tidak boleh digunakan untuk segenap perkara walaupun menerangkan kelebihan sesuatu amal ibadat agar tidak ada orang yang menyampaikan perkataan yang tidak diperkatakan oleh Rasullulah S.A.W. dan supaya tidak ada orang yang menetapkan sesuatu perkara yang tidak disunatkan.

Sementara Imam Nawawi berkata bahawa  ulama’ hadis , fiqh dan lain-lain telah menetapkan bahawa boleh menggunakan hadis dhaif untuk menggalakkan kepada sesuatu amal kebajikan dan menakutkan daripada melakukan kemaksiatan, selama mana hadis ini belum sampai  ke tahap hadis maudhu’.

Kesimpulannya, sewajarnya kita mempunyai sikap mengambil tahu dahulu akan status hadis sebelum menyebarkannya kerana khuatir, hadis tersebut adalah palsu dan lemah.

"Alaaa.. Malas la.. Benda baik, kita share je la!"


Ittaqullah sahabat... Bukankah hadis ialah kalam kekasih yang amat kita cintai, yang kita impikan untuk bertemu dengannya di telaga Kautsar untuk mengharap syafaatnya? Jika kita cintakan seseorang manusia di dunia, kita pasti akan sentiasa menjaga keperibadian, perkataan dan rahsia orang yang kita cintai bukan? Jadi... Demi cinta kita kepada baginda Rasulullah s.a.w, ayuh kita memelihara ketulenan kalam Rasulullah.. Mudah-mudahan Allah redha..


- Lajnah Fiqh IYA-

No comments:

Post a Comment