Tuesday 29 December 2015

Rasulullah SAW Qudwah Terbaik Sepanjang Zaman

Melihat pada poster di laman ‘facebook’ itu, mengimbau kenangan ketika dia berada di dapur rumahnya di tanah air. Tidak kira makan atau memasak, pasti ditemani lagu dan celoteh panyampai radio ikim.fm. Selalu saja kedengaran iklan dan sebaran tentang Bengkel Hafazan al-Quran teknik al-Baghdadi dari corong radio itu. Dan peluang untuk mengikutinya berada di depan mata!

Terus dia mendaftar secara ‘online’. Pada mulanya berat terasa di hati kerana permusafiran ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan harta kerana bengkel ini jauh nun di Bangalore sedangkan dia di Manipal, India. Namun Alhamdulillah, sahabat baiknya menasihati supaya selalulah betulkan niat kerana niat adalah pintu kepada keikhlasan dan seseorang akan dapat apa yang ia niatkan. Malah, tidaklah rugi orang yang suka berjalan atau bermusafir kerana doa golongan ini insya-Allah antara doa yang mustajab (dimakbulkan). Berbekalkan keyakinan kepada sabda Rasulullah s.a.w dan wahyu al-Quran yang dikongsikan sahabatnya, dia pun pergi dan pulang dengan selamat walau ada cabaran namun ada hikmahnya.




Bengkel Hafazan Al-Quran dengan berkonsepkan neurofisiologi teknik al-Baghdadi yang dihadirinya ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Asshik Abu Hanipah yang berasal dari Pahang. Teknik ini melibatkan kombinasi 4 pancaindera iaitu penglihatan, pendengaran, pertuturan dan pergerakan melalui permainan yang dapat mengaktifkan minda kiri dan kanan. Dia berpandangan teknik ini sesuai dilakukan dalam kumpulan dan kurang praktikal tika keseorangan. Namun dia sangatlah suka untuk menyeru orang yang lapang masanya termasuk ahli keluarganya yang berada di Malaysia untuk turut serta. Di akhir program, peserta-peserta berjaya menghafal surah As-Shams berserta nombor atau kedudukan ayatnya.

Tika menghafaz surah As-Syams (matahari), terngiang irama lagu Demi Matahari yang dinyanyikan kumpulan Snada dan terbayang lenggok gayanya. Hatinya cukup terkesan dengan bait kata pada ayat 8-10 surah matahari ini.

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan 
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya 
Merugi bagi yang mengotori-Nya.

               
Betapa dia sedari hati manusia itu ada dua tarikan yang dia perlu pilih. Sama ada tarikan nafsu atau tarikan iman itu. Sama ada kebatilan (hawa nafsu) atau kebenaran (wahyu). Dia sedar hati itu cepat berbolak balik dan iman itu ada turun naiknya. Tika hati dikotori dengan dosa maksiat, cepat-cepatlah bertaubat dan terus mensucikannya kerana itulah orang yang beruntung di sisi Allah dan itulah ciri orang yang beriman yang sensitif dengan dosa.

Dia pernah meminta untuk merasa perasaan tidak tenang seperti yang dialami oleh mereka yang bukan beragama Islam. Maka Allah beri dia perasaan kegelapan itu. Selepas itu dia kembali pada Allah dan lebih menghargai ketenangan beragama Islam, ketenangan mengingati Allah. Dia sedar, untuk terus berada di jalan kebenaran, tak lain dan tak bukan, perlunya bergantung pada wahyu al-Qur’an dan sunnah atau hadis. Dia sangat menginginkan hidup dengan berpandukan akhlak dan cara hidup kekasih Allah, Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad s.a.w. Teringat dia akan kisah Raja ‘Adi bin Hatim al-Ta’I yang memeluk agama Islam apabila melihat keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. dan kisah Zahir bin Haram yang pernah dibacanya dalam buku karangan Dr. Muhammad Al-‘Areefi, bertajuk ‘ENJOY YOUR LIFE’, The Art Of Interaction With People.

Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w pada semua orang tidak kira kepada tua muda, miskin kaya, raja atau hamba. Nabi sentiasa meraikan semua yang datang padanya, cuba menggembirakan mereka atau bercanda agar mereka tidak bosan dengan kehadirannya.

Al-kisah Zahir bin Haram, riwayat Imam Ahmad dari Anas bin Malik. Zahir orang yang tidaklah menarik wajahnya ini sering menyendiri menghabiskan hari-harinya di gurun pasir. Jika dia datang ke Madinah, dia pasti akan membawa hadiah untuk Rasulullah dan nabi juga akan membalas ketika dia akan berangkat. Rasulullah s.a.w berkata, “Zahir ini adalah lelaki padang pasir, dan kita semua tinggal di kotanya”. Kata-kata ini adalah kata penghargaan dan rasa sayang Nabi kepadanya.

               Suatu ketika, Zahir tinggalkan padang pasir dan ingin berjumpa Rasulullah s.a.w. namun tidak menemui baginda. Jadi dia terus ke pasar untuk menjual barangnya. Bilamana Nabi mengetahui kedatangannya, Nabi terus ke pasar mencari Zahir bin Haram. Nabi melihat peluh di mukanya dan dia memakai baju yang kurang enak baunya. Namun, nabi tiba-tiba memeluk Zahir dari belakang dengan erat.

''Siapa ini? Lepaskan aku! Lepaskan aku!” teriak Zahir. Rasulullah diam saja. Zahir meronta sambil menoleh kebelakang. Ternyata yang memeluk adalah Rasulullah. Seketika itu pula Zahir berhenti meronta, dibiarkannya dirinya dipeluk oleh manusia agung itu. Dia merasakan kedamaian dan kehangatan dalam pelukan Nabi. Kemudian Rasulullah s.a.w bergurau, “Siapa yang mau beli budak ini?''

Zahir membalas canda Rasulullah s.a.w itu, ''Wahai Rasulullah, tuan pasti bisa melihat budak seperti saya ini tidak akan laku dijual meskipun dengan harga yang murah!”  Namun, balas Rasulullah s.a.w, ''Wahai Zahir, disisi Allah, hargamu sangatlah mahal.''

Begitulah Rasulullah s.a.w tidak pernah menilai seseorang dari tampilan luarnya saja. 
Begitulah Rasulullah s.a.w melayan orang sekeliling seperti mereka orang yang paling penting. 
Begitulah kemahiran kita melayan orang akan menentukan bagaimana kita akan dilayan. 
Begitulah apa yang kita beri, itu yang kita dapat. 
Hiduplah dengan cara Rasulullah, agar kita dicintai Allah. [Surah Imran, ayat 31]



Rujukan;
Al-Qur’an
ENJOY YOUR LIFE, Dr Muhammad Al-Areefi










Sunday 13 December 2015

Harapan Kembali


Sejurus selepas kita lahir, telah tergalas suatu beban atau dalam erti kata lain, suatu tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu. Sewaktu di alam kanak-kanak, kita disuruh belajar mengenal huruf a, b, c, mengira satu, dua, tiga, serta pelbagai jenis ilmu dan pengetahuan asas yang lain, sehingga kita mencapai tingkatan akal yang lebih tinggi.   Selesai dari asuhan keluarga, kita menuju kearah kebebasan dan keseronokan hidup yang kita panggil zaman muda mudi. Kita kemudian terus ke lapangan pekerjaan dan mengerah seluruh keringat untuk memenuhi keperluan keluarga. Kelak, sesudah sampai seruan yang tidak mampu kita elakkan walau sesaat, berpindahlah kita dari kehidupan yang fana kepada kehidupan yang baqa’. Bertemulah kita dengan Yang Maha Pencipta, dan celiklah kita dari lena yang panjang. Demikianlah rakaman kehidupan yang kitarannya berulang-ulang dari generasi terdahulu sehinggalah yang terkemudian.

Lalu, jika jarak antara hidup dan mati ini sesingkat azan dan iqamah, maka bagaimana seharusnya  kita isi kehidupan di dunia ini?

“Sungguh, Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-quran) dengan membawa kebenaran untuk manusia, barangsiapa mendapat petunjuk maka petunjuk itu untuk dirinya sendiri, dan siapa sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri, dan engkau bukanlah orang yang bertanggungjawab terhadap mereka.”
Az – Zumar (39:41)

Demikian Allah s.w.t menukilkan kepada kita perihal perlunya manusia berpegang kepada Al-Quran, yakni sebagai petunjuk kebenaran dan jalan beroleh kebaikan. Namun, jika terdapat jua yang memilih untuk menyimpang dari kebaikan, maka bukanlah menjadi tanggungjawab kita terhadap tindakan mereka. Lantaran kejahatan yang dilakukan adalah antara Allah dan pelaku perbuatan tempang tersebut. Tetapi, itu bukanlah asbab untuk kita berlepas tangan atas segala kemungkaran dan kejahatan yang pelaku itu lakukan.

Walaubagaimana pun, hendaklah juga kita yakin bahawa sejauh mana kejahatan cuba dihamparkan, kebaikan tetap akan menang. Kerana asal fitrah manusia itu adalah kebaikan, hanya saja hawa nafsu yang sukar dibendung menjadi pendorong ke arah kejahatan.

Tetapi apakah dengan semata semata mengerjakan ibadat, seseorang itu sudah layak digelar mukmin? Atau semata-mata telah meninggalkan kejahatan telah boleh digelar mukmin?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
Al – Ankabut (29:2)

Tentu sekali tidak. Sebab kemuliaan iman itu adalah berlian yang mahal harganya. Semakin digilap, semakin berkilat. Iman akan selalu diuji oleh Tuhan dalam dan dangkalnya terlebih dahulu. Jika tidak bergeser dari kedudukannya setelah datangnya ujian, barulah layak seseorang itu digelar beriman.

Sebelum kita menilik kesengsaraan yang diuji ke atas kita, kita telusuri dahulu kesengsaraan yang ditanggung para anbiya’.

Di dalam Surah Yusuf, Allah mengajarkan kepada kita tentang erti sabar dan pentingnya meletakkan pengharapan kepada Allah. Nabi Ya’akub kehilangan anaknya, Yusuf yang sangat disayanginya. Bertahun kemudian, beliau kehilangan adik Yusuf sendiri iaitu Bunyamin, yang ditangkap oleh wakil raja Mesir (Yusuf).  Tiada lain yang menjadi kekuatan kepada Nabi Ya’akub melainkan sabar dan hanya kepada Allah tempat meminta pertolongan.

Kita telusuri juga kisah Nabi Ibrahim. Sungguh ujian yang diberikan tiada tandingan beratnya. Bayangkan siapakah yang sanggup melakukan jika disuruh menyembelih anak kandung sendiri. Dan ke manakah yang dia lebih cinta, kepada Tuhannya atau kepada anak kandungnya?

Keyakinan yang cetek kepada Tuhan tidak mungkin akan menghasilkan kecekalan dan kekuatan dalam peribadi para anbiya’ yang diceritakan tadi. Di sinilah pentingnya kekuatan iman setelah diuji oleh badai kehidupan. Tingkatan keimanan tidak ubah seperti anak tangga yang dinaiki dari bawah. Jika kaki kuat berpijak, sebesar mana pukulan yang menghambat hanya akan menaikkan kaki setingkat ke atas lagi. Tetapi jika kaki lemah, tangan tidak kuat bergantung, pukulan yang tadinya hanya menjatuhkan diri ke bawah. Yang kita sedihkan, setelah tingkatan kehidupan berjaya dinaiki, jatuhnya kemudian bukanlah sedikit, tetapi jauh terjerumus ke tangga yang terbawah, sehingga sukar dan payah untuk naik kembali.

Ketika saat ini, kesakitan pada jiwa akan bertambah parah. Hanya dengan kembali kepada suruhan agamalah jalannya. Dan pada masa beginilah Allah membukakan pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan menginginkan kebaikan .

“Tidakkah mereka mengetahui., bahawa Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya dan menerima zakat-Nya, dan bahawa Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang?”
At – Taubah (11:104)

Taubat bermaksud kembali. Kembali menguatkan kepercayaan kepada Allah setelah jiwa yang tadinya berkecamuk disusun semula. Memohon keampunan kepada Allah dan berdoa dengan sekuat hati minta ditunjuki jalan yang lurus, agar diri tidak lagi terjerumus ke takah kehidupan yang dahulu. Seterusnya dikuatkan juga dengan perjanjian di antara diri dengan Allah agar tidak mengulangi kesalahan tersebut di strata kehidupan yang akan datang. 

Berkata Imam Hasan Al Basri, sewaktu badan sihat dan hati menjadi senang, semua orang akan berani mengaku diri beriman. Tetapi setelah datangnya ujian, akan lebih tahulah kita benar ataupun tidak pengakuan keimanan itu. Sebab itu jalan menuju kebaikan selalu sahaja sukar, tetapi membuahkan pengakhiran yang baik. Dan jalan menuju hawa nafsu selalu sahaja mudah dan nikmat, tetapi hanya sementara. Kita ini menuju dari perjuangan kecil ke perjuangan yang lebih besar, yakni perjuangan melawan hawa nafsu sendiri. Berapa ramai orang yang tewas dalam pertempuran ini, sehingga sanggup menggugurkan prinsip keimanan dalam diri, hanya kerana tidak sabar dalam ujian yang diberikan. Padahal bukanlah terlampau besar ujian yang ditimpa, tetapi disebabkan keimanan yang selalu sahaja rapuh kerana tidak dikukuhkan dengan asas yang betul.

Penyesalan yang timbul lantaran diri melakukan kesalahan tidaklah boleh dipandang enteng. Kerana lintasan hati yang berlaku hari ini tidak mungkin sama di masa yang seterusnya. Janganlah kita membiarkan peringatan dari Tuhan berlalu begitu sahaja, bagaikan isyarat dari Tuhan yang tak sempat disampaikan. Kembalilah semula kepada Yang Menciptakan. Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Berdoa dan bertaubatlah, kerana seluas-luas pintu dalam agama adalah pintu taubat. Pendosa yang tidak putus-putus meminta keampunan daripada Tuhannya adalah hamba yang memiliki definisi yang luas tentang Tuhan, yang hatinya selalu hidup dan percaya akan rahmat Tuhan itu tiada terbatas. Selagi belum dipanggil menghadap Ilahi, harapan untuk kembali sentiasa ada.

[kredit]
“Katakanlah, wahai hamba – hambaku yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa – dosa semuanya. Sungguh, Dia – lah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Az – Zumar (39: 53)

Wallahua’lam.


Rujukan:
Al Quran
Tasauf Moderen
Lembaga Budi



Tuesday 17 November 2015

Jalinan Menyemai Ukhuwwah

MANIPAL, 14 NOVEMBER - Liqa’ Mahabbah yang kesekian kalinya telah mengumpulkan semua muslimat Melaka Manipal Medical College (MMMC) bagi meraikan pelajar-pelajar baru dari jurusan pergigian batch BDS 7 seramai 5 orang dan jurusan perubatan Batch 37 seramai 15 orang. Majlis dianjurkan oleh Batch 33 sebagai batch yang paling senior yang akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Hotel Madhuvan Serai telah dipilih sebagai lokasi majlis yang bermula pada pukul 7.45 malam. Dengan tema ‘Arabian Night’, suasana majlis dan hiasan dewan telah menjadi satu tarikan buat para hadirin dan berjaya memukau mereka.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan tilawah surah Luqman beserta perkongsian ringkas tentang surah tersebut oleh Saudari Nurul Ellina Syazwana binti Suhaimi dan  Nurrul Amrah binti Md Zan. Kemudian, majlis diceriakan dengan persembahan dikir barat yang menggamit suasana Pantai Timur. Bakat-bakat nyanyian muslimat juga diserlahkan dengan persembahan nyanyian dari Batch 33 dan BDS 6. Selain itu, Slot The Initiators dibawakan oleh Saudari Nur Sabrina binti Shahiful Bahari yang mengajak para junior untuk menyertai The Initiators sebagai ahli aktif agar semua orang berpeluang memberi makna walaupun sedikit kepada masyarakat setempat di Manipal. Di samping itu, tayangan video Batch 33 yang sangat menghiburkan pada pertengahan majlis memberi peluang kepada junior untuk mengenali senior-senior mereka.




Setelah itu, mereka dipersembahkan dengan sebuah lakonan mantap tentang unsur-unsur negatif yang mengakar dalam diri. Unsur-unsur tersebut merosakkan pokok yang ditunjanginya. Lakonan hebat ini memberi pengajaran yang mendalam kepada semua yang berada di dalam dewan agar kita seharusnya menghapuskan sifat-sifat hasad dengki dalam diri, menghakimi orang dengan terburu-buru, mementingkan diri sendiri, mengumpat dan sebagainya yang mampu menghitamkan hati-hati kita.  Sifat-sifat sebegini tidak akan mendatangkan kejayaan kepada kita malah mengundang kemurkaan Allah swt sekiranya kita tidak singkirkan mereka dengan segera daripada mengakar dalam diri kita. Seperti firman Allah swt di dalam surah Ibrahim,

Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit. (14:24) 
Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. (14:25) 
Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tetap) sedikit pun. (14:26)

Semoga Liqa’ Mahabbah pada kali ini memberi impak positif yang mendalam kepada tetamu yang hadir. Usaha keras muslimat Batch 33 harus dipuji kerana bersungguh-sungguh mahu meraikan pelajar-pelajar yang baru sampai di bumi Manipal agar mereka dapat merasa ukhuwah yang cuba dijalin. Selamat maju jaya adik-adik BDS 7 dan Batch 37!



Disediakan oleh,
Nora Elyna binti Anuar

Wartawan Liqa’ Mahabbah 2015

Monday 2 November 2015

Liqa' Mahabbah Pengerat Ukhuwwah

MANIPAL, 1 NOVEMBER – Bertempat di Hotel Ashlesh, satu program khas untuk meraikan kehadiran pelajar muslimin baru dari Batch 37 telah diadakan. Program yang diberi nama Liqa’ Mahabbah ini telah dihadiri lebih kurang 70 orang muslimin daripada pelbagai batch. Walaupun bilangan pelajar muslimin baru yang mendaftar pada kali ini tidak seperti kebiasaan, iaitu hanya 7 orang sahaja, Liqa’ Mahabbah yang merupakan acara tahunan ini tetap diadakan.



                Pada kali ini, Liqa’ Mahabbah telah dianjurkan oleh Islamic Youth Association (IYA) dengan kerjasama daripada pelajar muslimin Batch 33 yang akan pulang menyambung pengajian di Malaysia pada Mac tahun hadapan. Memang menjadi tradisi di Manipal bahawa batch yang akan pulang ke Malaysia meraikan batch yang baru mendaftar. Selain meraikan kedatangan pelajar baru, program ini juga memberi peluang kepada para junior untuk mengenali para senior mereka dengn lebih rapat dan menjadi platform untuk berkumpul secara beramai-ramai serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar muslimin di kampus Manipal.

                Program telah dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Amzar Zol untuk memberkati majlis. Kemudian telah disambung dengan ucapan oleh Presiden IYA, saudara Luqman Hakim Zaharan. Dikesempatan itu, saudara Luqman telah memperkenalkan sedikit sebanyak tentang IYA dan peranannya dalam menguruskan hal-hal kebajikan dan aktiviti pelajar muslim di Manipal. Kemudian, majlis diserikan dengan sebuah persembahan daripada saudara Azmi yang merupakan Batch 36. Pihak penganjur juga telah mempersilakan Presiden Malaysian Students Association of India (MSAI), saudara Farid Ali untuk memberikan sepatah dua kata.



                Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Fahmi Ridzwan diteruskan lagi dengan persembahan daripada para senior. Sekali lagi saudara Azmi mengambil pentas dan diikuti dengan gabungan mantap saudara Adib Zafran dan Anwar Yusof. Persembahan mereka telah mendapat sambutan yang baik daripada para hadirin. Liqa’ kali ini agak istimewa sedikit kerana menerima jemputan khas, dua orang jemaah dari Indonesia yang sedang beriktikaf di masjid Manipal. Pihak penganjur telah mengambil peluang dengan menjemput mereka hadir bersama dan dalam pada itu juga, seorang daripada mereka, Ustaz Aiman telah menyampaikan tazkirah tentang pentingnya menjaga hati ibu bapa dan juga mendapat reda Allah swt.

                Seusai tazkirah, majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program, saudara Muhsin Isyraf. Saudara Muhsin telah berkongsi beberapa tips kepada para junior tentang bagaimana untuk survive di Manipal. Kemudian, saudara Hariz Idlan pula mengambil tempat selaku Presiden The Initiators. Saudara Hariz telah memperkenalkan The Initiators kepada hadirin dan menjemput para junior untuk sama-sama sertai aktiviti kemanusiaan ini.

                Majlis diteruskan dengan tayangan video hasil daripada pelajar muslimin Batch 33 yang berkisarkan tentang kehidupan di Manipal dan nasihat yang mereka ingin sampaikan kepada para junior. Kemudian, semua junior telah dijemput ke atas pentas dan diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Dihujung pengenalan diri mereka, pihak penganjur telah memberikan sedikit cenderahati sebagai meraikan kedatangan mereka.



                Majlis tamat sekitar pukul 1 tengah hari. Sebelum bersurai, hadirin telah menjamu selera terlebih dahulu. Secara keseluruhannya, program kali ini telah berjalan dengan lancar dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.


Disediakan oleh,
Muhammad Afiq Arsyad bin Johar
Wartawan Liqa’ Mahabbah 2015.


Wednesday 28 October 2015

Bismillah, lillah!


Entri kali ini *kofkof* khas untuk junior MBSS 37 dan BDS 7. Apa khabar? Macam mana India setakat ni? Soalan klise bukan sahaja dari orang-orang  di Malaysia tetapi daripada kami di sini juga. Bertanya khabar itu sendiri sunnah, bukan sekadar penyedap bicara. Jadi? Silalah jawab soalan ni di ruangan komen di bawah. hehe.

Kedatangan adik-adik ke India tak lari jauh daripada ketibaan Muharram, tahun baru kita. Perasaan menyambut “new year” sepatutnya berkobar-kobar dan dinanti-nantikan kerana kali inilah saat yang tepat untuk menyenaraikan azam-azam baru lalu berubah menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya. Adakah Muharram kita sekadar makan bubur asyura dan perarakan Maal Hijrah? Hampir 19,20 tahun mungkin kali ini kita “rebranding” pengertian kita tentang Muharram. Iman perlu bertambah bukan?

Melihat kepada sudut permulaan tahun 1437 Hijrah, topik yang ingin dibicarakan bukanlah peristiwa hijrah Nabi kerana pada hakikatnya ia berlaku pada awal bulan Rabi’ul Awwal tahun ke-14 Kenabian. Perkongsian kali ini lebih kepada pengertian “hijrah hati”.

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab RA beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa niat merupakan bahagian dari iman kerana ia merupakan pekerjaan hati. Ingat lagi pengertian iman? Mestilah kak, takkan tak tahu! Eh hakak tanya je, jangan marah. hehe. Iman itu membenarkan dalam hati, mengucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. Jadi apa yang dibenarkan dalam hati?

Kebenaran itu adalah bila kita berniat melakukan segala pekerjaan dalam kehidupan kita bermula celik mata hingga tertidur sebab stay up KERANA ALLAH SAHAJA dan mengikut SYARIAT. Seperti apa yang dikatakan Raef dan Maher Zain dalam lagu mereka So Real:


Allah, everyday I’ll try to be as true as I can to You
‘Cause loving You the best I can
Will always be my number one and only plan
Yes everyday I’ll try to be as true as I can to You
‘Cause loving You the best I can
Will always be my number one and only plan

            Wahai junior, apa yang ada dalam hati anda sekarang ini? Perjuangan baru bermula di bumi al-Maududi dan apa yang penting sekarang adalah untuk menetapkan langkah pertama kita atas dasar apa. Bukan sekadar “Aku berniat nak jadi doktor kerana Allah”, tapi ia lebih daripada itu. Niat yang betul akan menetapkan orientasi kita terhadap kehidupan (kerana niat itu lebih dari sekadar ketika mengangkat takbir solat!) kerana hakikat kehidupan itu ada nikmat musibah, pahala dosa dan syurga neraka. Niat yang betul akan menyebabkan kita orang yang kaya dengan pahala, jadi perlukah kita menagih penghargaan manusia? Secara ringkasnya, hiduplah sebagai seorang Muslim praktikal yang hatta untuk tersenyum pun berniat kerana Allah. Bismillah, lillah!  




.........................

“Puasa yang paling utama setelah puasa pada bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Muharram, dan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat pada waktu malam”.
(Riwayat Muslim)



Oleh:
Pelajar Perubatan Tahun Pertama,
Melaka-Manipal Medical College.


Tuesday 20 October 2015

Pilihan Hari Ini, Kesan Hari Esok


Agak-agak, pernah tak kita minta dengan seseorang sesuatu dengan bersungguh-sungguh, tapi akhirnya kita tak terima pun 'benda' tu bila orang tu bagi pada kita?

Contohnya, masa kita kecil-kecil dulu, menangis-nangis minta ibu bapa kita belikan patung Otromen, Sailormoon, Doraemon, Power Rangers ataupun yang seumpama dengannya untuk kita. Tapi, bila kita dah dapat benda-benda tu semua, apa yang kita buat dengan benda-benda tu? Adakah kita terima dan simpan dengan baik ataupun kita ambil dan membuangnya entah ke mana?

Contoh lain, kita minta mak kita kuih raya masa hari raya ataupun ada kenduri di rumah. Tapi, kemudiannya kita tak makan pun kuih tu, malah kita buangnya merata-rata. Pernah tak?

Ataupun, pernah tak orang beriya-riya nak pinjam barang kita, merayu penuh kesungguhan dan tawaduk, tapi akhirnya barang kita itu dilempar ke tepi je bila kita dah bagi pada mereka. Pernah?

Inilah contoh situasi ataupun analogi yang saya nak bincangkan hari ini. Kita mungkin pernah melakukan perkara sedemikian dalam keadaan tidak sedar dan mungkin dalam konteks yang berlainan. Bukanlah meminta patung Otromen sebagainya, bukanlah meminta kuih raya dan bukan juga hendak meminjam barang kawan kita.

Okay, cuba kita lihat semula situasi-situasi tadi. Patut ke tadi kita buang je patung Otromen yang mak ayah kita dah belikan untuk kita sebab kita menangis 6 hari 6 malam tak nak berhenti? Patut ke? Tak patut. Memang tak patut.

Patut ke buang kuih tu even sepotong je pun? Yang ni pun tak patut. Memang tak patut. Membazir bai… Saudara kita kat Syria tu tak cukup makan tahu!

Sekali lagi, patut ke orang yang pinjam barang kita tu lempar kat tepi je bila kita dah bagi? Ini lagi lah tak patut. Barang kita kot!

Saya kira, hampir semua daripada anda akan bersetuju dengan saya, (siapa tak setuju kena setuju jugak. *gelak keji). Perlakuan mereka semua memang tidak patut. Mereka semua perlu dibom! Eh! Err...bertenang-bertenang.

Baiklah, dalam ketidaksetujuan kita dengan mereka, tanpa kita sedar, mungkin kita pun pernah menjadi sebahagian daripada mereka, ataupun sedang menjadi sebahagian daripada mereka.

Cuba bayangkan, kita berada di tempat ibu bapa kita tadi, di tempat mak kita tadi, di tempat kawan kita tadi. Agak-agak, apa reaksi kita jika kita diperlakukan sedemikian rupa? Rasa-rasanya, kalau lautan tak terbelah dua pun, sekurang-kurangnya akan timbul satu jerawat kecil dimuka menahan kemarahan. eh.

Begitulah, sifat kita. Manusia.

Tetapi, sedar atau tidak, Allah tidak pernah marah kepada kita jika kita berbuat sebegitu kepada-Nya. Dia tetap terus memberi, memberi dan memberi. Namun, apa yang kita balas? *sweat gland activated

Sering kali saya dengar, orang mengeluh kerana keadaan semasanya. Kita perlu ingat bahawa, situasi baik atau buruk yang sedang kita alami sekarang berpunca daripada keputusan yang kita ambil pada masa lalu.

Sebagai contoh. Kita terlalu banyak kerja yang perlu kita lakukan sehingga membuatkan kita kurang tidur, tak cukup makan, tak cukup rehat, stress, dan ditambah pula dengan ulah rakan sekelas atau serumah yang tidak membantu langsung. Lalu, kita mengeluh dengan keadaan itu. Setelah puas berdoa siang dan malam, pagi dan petang, kita berasakan bahawa pertolongan Allah itu tidak sampai-sampai.

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang beriman bersamanya: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."(Al-Baqarah, 2:214)

Sesungguhnya, pertolongan Allah itu sangat dekat. Tidak percayakah kita pada janji-Nya?

Cuba kita renungkan kembali mengapa kita masih berada di tempat yang sama. Mungkin, sebelum ini kita pernah tidak percaya akan janji-Nya.

Bagaimana?


Mungkin sebelum ini kita pernah bermunajat kepada-Nya, meminta petunjuk yang terbaik daripada-Nya. Namun, setelah Dia berikan panduan, kita tidak ikut pun. Lalu, apabila kita mengalami masalah di hari muka, kita hendak menyalahkan-Nya kerana tidak membantu kita, wajarkah?

Kita tertekan di tempat kerja kita sekarang, mungkin kerana kita tidak ikut panduan yang diberikan oleh-Nya suatu ketika dahulu. Kata-Nya, kita tidak sesuai mengambil jurusan itu, kita sanggah kata kita sesuai. Semuanya sebab keinginan semata. Dengan harapan, masa akan datang, gaji kita lumayan, hidup senang. Tetapi, lihatlah hasilnya, panas tidak sampai ke petang pun, hujan dah tujun dengan lebat.

Situasi inilah yang saya analogikan dengan kita minta patung Otromen dan kuih raya semua tu tadi.

Kita dah minta, kemudian bila diberi, kita buang. Apabila kaki kita terluka terpijak patung Otromen yang kita sepahkan tadi, kita salahkan ibu bapa kita yang belikan kita. Apabila rumah kita bersemut kerana kuih sepotong yang kita buang tadi, kita salahkan mak kita memberinya pada kita.

Wajarkah?

Sahabat-sahabat, percayalah dengan-Nya. Tidak mungkin Dia mahu menganiaya hamba-hamba-Nya. Kita ni yang sebenarnya menganiaya diri kita sendiri.

Apabila sudah beristikharah, yakinlah dengan petunjuk yang diberikan-Nya. Sesungguhnya, itulah yang terbaik untuk kita. 

".....Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."(Al-Baqarah, 2:216)



Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Trust HIM!




Oleh:
Pelajar Tahun 2 Perubatan,
Melaka-Manipal Medical College.







Saturday 22 August 2015

Memoir Semalam #1

Manipal Lake

“Zul, kau ada soalan past year block ni tak? Nak pinjam.”

Zul yang sedang asyik menghadap komputer ribanya bermain Dota 2, dengar tak dengar akan soalan Izzat tadi. Ditambah pula dengan headphone yang dipakainya, bertambah tak dengarlah soalan Izzat tadi.

Izzat mengeluh lembut. Dia faham benar ulah Zul kalau sedang bermain game. Kalau gempa bumi pun Zul tak perasan agaknya.

Block exam tinggal seminggu sahaja lagi. Dia kalau boleh nak dapatkan keputusan yang lebih cemerlang dalam block exam kali ini. Dia kurang berpuas hati dengan keputusan block exam yang lepas walaupun jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, markah dia adalah antara yang tertinggi.

Setelah beberapa kali panggilan Izzat tak dilayan, dia mula berasa geram.

“Zul, kau dengar tak aku tanya ni? Kalau main game tu, orang azan kat telinga pun tak dengar.” Izzat menepuk bahu Zul. Sempat juga diselit sindiran terhadap teman serumahnya itu. Tapi, memang patut pun. Zul kalau main game, memang selalu solatnya lambat. Kadang-kadang, sampai dah nak habis waktu, baru dia nak solat.

Zul memberhentikan permainannya sebentar. Geram apabila diganggu barangkali.

“Kau nak apa Izzat? Kacau line betul la. Aku dah nak menang ni.” Zul merengus kasar.

“Aku nak pinjam soalan past year block ni. Kau ada tak?” Izzat menurunkan kembali nada suaranya. Malas dia nak cari gaduh dengan Zul.

Zul tergelak kecil. “Kau ni pun, dah tentu-tentu selalu aku yang pinjam dari kau. Tentulah aku takde. By the way, kau dah habis baca semua ke? Cepat gila nak buat past year dah. Exam seminggu lagi kot. Relax la. Jom main game dengan aku ni dulu se-round dua dulu.” Zul gelak lagi. Kali ni lebih gamat. Zul sengaja kacau Izzat. Dia tahu, Izzat bukan main game pun macam dia. Budak ulat buku yang 24 jam duduk library study, mana ada masa nak main game.

Izzat malas melayan kerenah Zul, lalu meninggalkan Zul yang menyambung permainan videonya yang terhenti sebentar tadi. Dia kembali ke biliknya untuk bersiap ke perpustakaan.

*****

Sudah hampir setahun setengah Zura berada di bumi India. Sejak mendaftar di Melaka-Manipal Medical College pada Mac tahun lepas, pelbagai pengalaman berharga telah dikutipnya. Berada di tengah-tengah kelompok orang bukan Islam di negara orang, mengajarnya menjadi lebih tabah dan lebih berdikari. Malah, mendidik dirinya menjadi muslim yang lebih baik daripada sebelum ini. Jika sebelum ini, akhlaknya biasa-biasa sahaja, kini dia menjadi lebih baik lagi. Malah, kalau nak dibandingkan Zura sekarang dengan Zura setahun setengah yang lalu, ada yang tidak menyangka dia mampu berubah sehingga ke tahap ini.

Petang itu, langit kelihatan agak cerah. Tiada menunjukkan tanda-tanda hendak hujan seperti hari selalunya. Maklumlah, berada dalam bulan Ogos memang agak mencabar sedikit apabila berada di Manipal ini. Jun sehingga September, Manipal akan berada dalam musim monsun dan bulan Ogos merupakan waktu puncaknya. Hujan akan turun dengan lebatnya seperti tak mahu berhenti. Jika keluar rumah, wajib membawa bersama paying atau pun baju hujan. Langit pula, tidak boleh dibaca tindak tanduknya. Seminit lihat, cerah macam tak mahu hujan. Seminit kemudian, tiba-tiba hujan dengan lebatnya.

Melihatkan langit yang cerah dan dengan keyakinan yang tinggi bahawa petang itu tidak akan hujan, Zura bersiap-siap untuk keluar rumah. Destinasinya, pantai Malpe. Dia ingin menghirup udara segar angin laut Arab di sana sambil menenangkan fikirannya yang berkecamuk. Memang dia selalu ke sana untuk menenangkan fikirannya. Kalau tak ke sana pun, dia akan ke taman End Point pada waktu pagi. Itulah tranquilizer baginya ketika berkecamuk selain daripada lembaran ayat-ayat-Nya.

Rakan serumah Zura, Fatin yang melihatkan Zura bersiap-siap bertanya, “Zura, awak nak ke mana?”

“Kita nak keluar kejap, jalan-jalan. Bosan la duduk rumah asyik study je.” Zura menjawab rendah sambil membetulkan tudung yang dipakainya.

Okay, hati-hati bawa motor.” Fatin malas bertanya lanjut. Dia faham benar dengan rakan serumahnya itu. Zura lebih gemar keluar seorang diri apabila ke mana-mana. Dia sempat juga berpesan kepada Zura untuk menunggang motor dengan berhati-hati.

Tidak seminit bunyi deruman scooter Zura berbunyi, satu bunyi yang kuat meningkah dari luar.
Bergegas Fatin berlalu keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ya Allah, Zuraaa…..!!!”

*****

“Ting!”

Telefon pintar Azim berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Segera dicapainya telefon pintarnya di atas meja.

“Azim, petang ni main tak? Budak ni ajak main ragbi. Dah lama tak main kat padang ni.” Bunyi mesej yang baru sahaja diterima Azim sebentar tadi. Mesej itu datangnya daripada Luqman, kapten ragbi pasukan MMMC.

Lebih kurang 2 bulan juga mereka tak bermain di padang. Sebabnya padang ditutup apabila tibanya musim monsun. Mereka tidak benarkan sesiapa pun menggunakan padang untuk menjaga kualiti padang tersebut. Dua tiga hari ini, hujan sudah semakin jarang-jarang. Hanya malam sahaja yang selalu hujan.

Azim mula berkira-kira sama ada mahu turun bermain atau pun tidak. Dia pun sudah lama tak bermain. Setelah dia memastikan bahawa tiada perkara penting yang perlu diselesaikannya pada petang itu, dia membuat keputusan untuk bermain.

“Insya-Allah main. Dah lama gak tak main ni. Jumpa kat padang nanti.” Azim membalas mesej Luqman. Kemudian, dia segera bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat fardhu Asar berjemaah yang telah masuk waktu sebentar tadi.

Azim, seorang anak lelaki tunggal dalam keluarganya. 3 orang adik-beradiknya yang lain semuanya perempuan. Walaupun begitu, dia tidaklah seperti kebanyakan cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa jika adik-beradik seseorang itu semuanya perempuan dan dia seorang sahaja lelaki, kecenderungan lelaki itu untuk berwatakan seperti perempuan agak tinggi. Azim tetap dengan gayanya tersendiri. Seorang anak muda yang penuh wawasan.

*****

Dua jam telah berlalu. Namun, Zura masih belum sedarkan diri lagi. Fatin yang resah melihatkan keadaan Zura, setia menunggu teman serumahnya itu luar bilik. Dia masih belum dibenarkan berjumpa dengan Zura dengan keadaan Zura begitu. Fatin juga masih menunggu kedatangan doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap Zura untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan keadaan Zura.

Imbas kembali…

“Dang!!!!....”

Satu bunyi yang kuat kedengaran dari arah luar rumah. Fatin yang ketika itu sedang membaca buku di ruang tamu segera berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dia risau kerana baru sebentar tadi, Zura menghidupkan enjin motornya sebelum bunyi yang kuat itu kedengaran.

“Ya Allah, Zuraaa…!!!”

(bersambung…)






Tuesday 18 August 2015

Kuseru Hang Tuah Kembali

Merafak junjung kasih puteri jalanan
Dari istana batu di tengah kota metropolitan
Menangis kesayuan di tengah amuk rakyat tuan
Hilang pedoman hilang panduan.

Kuseru namamu Hang Tuah
Bertanjak megah berpasak silat
Kali ini bukan jurus Taming Sari kau layangkan
Tapi pedang sakti keadilan!

Berombak deras nafas pahlawan
Pantang dicabar pantang mengalah
Bisa kebatilan kau tangkis dengan ngauman kebenaran
Hingga darah mencambah pohon harapan
Sebagai tanda kau bukan dongengan.

Kuseru namamu Hang Tuah
mendongak tinggi ke menara kemenangan
Bagai seorang khalifah agung
menanti akhir gerhana mentari.

_________________________________________




Apa erti merdeka (58, 68 tahun) andai kita masih sujud di kaki manusia?



End Point Road, Manipal.
16 Ogos 2015.


*Puisi ini pernah tersiar di dalam Zine Enonimus Edisi Taasis (Pengasas) bertemakan #Merdeka.