Tuesday 17 November 2015

Jalinan Menyemai Ukhuwwah

MANIPAL, 14 NOVEMBER - Liqa’ Mahabbah yang kesekian kalinya telah mengumpulkan semua muslimat Melaka Manipal Medical College (MMMC) bagi meraikan pelajar-pelajar baru dari jurusan pergigian batch BDS 7 seramai 5 orang dan jurusan perubatan Batch 37 seramai 15 orang. Majlis dianjurkan oleh Batch 33 sebagai batch yang paling senior yang akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Hotel Madhuvan Serai telah dipilih sebagai lokasi majlis yang bermula pada pukul 7.45 malam. Dengan tema ‘Arabian Night’, suasana majlis dan hiasan dewan telah menjadi satu tarikan buat para hadirin dan berjaya memukau mereka.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan tilawah surah Luqman beserta perkongsian ringkas tentang surah tersebut oleh Saudari Nurul Ellina Syazwana binti Suhaimi dan  Nurrul Amrah binti Md Zan. Kemudian, majlis diceriakan dengan persembahan dikir barat yang menggamit suasana Pantai Timur. Bakat-bakat nyanyian muslimat juga diserlahkan dengan persembahan nyanyian dari Batch 33 dan BDS 6. Selain itu, Slot The Initiators dibawakan oleh Saudari Nur Sabrina binti Shahiful Bahari yang mengajak para junior untuk menyertai The Initiators sebagai ahli aktif agar semua orang berpeluang memberi makna walaupun sedikit kepada masyarakat setempat di Manipal. Di samping itu, tayangan video Batch 33 yang sangat menghiburkan pada pertengahan majlis memberi peluang kepada junior untuk mengenali senior-senior mereka.




Setelah itu, mereka dipersembahkan dengan sebuah lakonan mantap tentang unsur-unsur negatif yang mengakar dalam diri. Unsur-unsur tersebut merosakkan pokok yang ditunjanginya. Lakonan hebat ini memberi pengajaran yang mendalam kepada semua yang berada di dalam dewan agar kita seharusnya menghapuskan sifat-sifat hasad dengki dalam diri, menghakimi orang dengan terburu-buru, mementingkan diri sendiri, mengumpat dan sebagainya yang mampu menghitamkan hati-hati kita.  Sifat-sifat sebegini tidak akan mendatangkan kejayaan kepada kita malah mengundang kemurkaan Allah swt sekiranya kita tidak singkirkan mereka dengan segera daripada mengakar dalam diri kita. Seperti firman Allah swt di dalam surah Ibrahim,

Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit. (14:24) 
Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. (14:25) 
Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tetap) sedikit pun. (14:26)

Semoga Liqa’ Mahabbah pada kali ini memberi impak positif yang mendalam kepada tetamu yang hadir. Usaha keras muslimat Batch 33 harus dipuji kerana bersungguh-sungguh mahu meraikan pelajar-pelajar yang baru sampai di bumi Manipal agar mereka dapat merasa ukhuwah yang cuba dijalin. Selamat maju jaya adik-adik BDS 7 dan Batch 37!



Disediakan oleh,
Nora Elyna binti Anuar

Wartawan Liqa’ Mahabbah 2015

No comments:

Post a Comment