Monday 2 November 2015

Liqa' Mahabbah Pengerat Ukhuwwah

MANIPAL, 1 NOVEMBER – Bertempat di Hotel Ashlesh, satu program khas untuk meraikan kehadiran pelajar muslimin baru dari Batch 37 telah diadakan. Program yang diberi nama Liqa’ Mahabbah ini telah dihadiri lebih kurang 70 orang muslimin daripada pelbagai batch. Walaupun bilangan pelajar muslimin baru yang mendaftar pada kali ini tidak seperti kebiasaan, iaitu hanya 7 orang sahaja, Liqa’ Mahabbah yang merupakan acara tahunan ini tetap diadakan.



                Pada kali ini, Liqa’ Mahabbah telah dianjurkan oleh Islamic Youth Association (IYA) dengan kerjasama daripada pelajar muslimin Batch 33 yang akan pulang menyambung pengajian di Malaysia pada Mac tahun hadapan. Memang menjadi tradisi di Manipal bahawa batch yang akan pulang ke Malaysia meraikan batch yang baru mendaftar. Selain meraikan kedatangan pelajar baru, program ini juga memberi peluang kepada para junior untuk mengenali para senior mereka dengn lebih rapat dan menjadi platform untuk berkumpul secara beramai-ramai serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar muslimin di kampus Manipal.

                Program telah dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Amzar Zol untuk memberkati majlis. Kemudian telah disambung dengan ucapan oleh Presiden IYA, saudara Luqman Hakim Zaharan. Dikesempatan itu, saudara Luqman telah memperkenalkan sedikit sebanyak tentang IYA dan peranannya dalam menguruskan hal-hal kebajikan dan aktiviti pelajar muslim di Manipal. Kemudian, majlis diserikan dengan sebuah persembahan daripada saudara Azmi yang merupakan Batch 36. Pihak penganjur juga telah mempersilakan Presiden Malaysian Students Association of India (MSAI), saudara Farid Ali untuk memberikan sepatah dua kata.



                Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Fahmi Ridzwan diteruskan lagi dengan persembahan daripada para senior. Sekali lagi saudara Azmi mengambil pentas dan diikuti dengan gabungan mantap saudara Adib Zafran dan Anwar Yusof. Persembahan mereka telah mendapat sambutan yang baik daripada para hadirin. Liqa’ kali ini agak istimewa sedikit kerana menerima jemputan khas, dua orang jemaah dari Indonesia yang sedang beriktikaf di masjid Manipal. Pihak penganjur telah mengambil peluang dengan menjemput mereka hadir bersama dan dalam pada itu juga, seorang daripada mereka, Ustaz Aiman telah menyampaikan tazkirah tentang pentingnya menjaga hati ibu bapa dan juga mendapat reda Allah swt.

                Seusai tazkirah, majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program, saudara Muhsin Isyraf. Saudara Muhsin telah berkongsi beberapa tips kepada para junior tentang bagaimana untuk survive di Manipal. Kemudian, saudara Hariz Idlan pula mengambil tempat selaku Presiden The Initiators. Saudara Hariz telah memperkenalkan The Initiators kepada hadirin dan menjemput para junior untuk sama-sama sertai aktiviti kemanusiaan ini.

                Majlis diteruskan dengan tayangan video hasil daripada pelajar muslimin Batch 33 yang berkisarkan tentang kehidupan di Manipal dan nasihat yang mereka ingin sampaikan kepada para junior. Kemudian, semua junior telah dijemput ke atas pentas dan diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Dihujung pengenalan diri mereka, pihak penganjur telah memberikan sedikit cenderahati sebagai meraikan kedatangan mereka.



                Majlis tamat sekitar pukul 1 tengah hari. Sebelum bersurai, hadirin telah menjamu selera terlebih dahulu. Secara keseluruhannya, program kali ini telah berjalan dengan lancar dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.


Disediakan oleh,
Muhammad Afiq Arsyad bin Johar
Wartawan Liqa’ Mahabbah 2015.


No comments:

Post a Comment