Sunday 13 December 2015

Harapan Kembali


Sejurus selepas kita lahir, telah tergalas suatu beban atau dalam erti kata lain, suatu tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu. Sewaktu di alam kanak-kanak, kita disuruh belajar mengenal huruf a, b, c, mengira satu, dua, tiga, serta pelbagai jenis ilmu dan pengetahuan asas yang lain, sehingga kita mencapai tingkatan akal yang lebih tinggi.   Selesai dari asuhan keluarga, kita menuju kearah kebebasan dan keseronokan hidup yang kita panggil zaman muda mudi. Kita kemudian terus ke lapangan pekerjaan dan mengerah seluruh keringat untuk memenuhi keperluan keluarga. Kelak, sesudah sampai seruan yang tidak mampu kita elakkan walau sesaat, berpindahlah kita dari kehidupan yang fana kepada kehidupan yang baqa’. Bertemulah kita dengan Yang Maha Pencipta, dan celiklah kita dari lena yang panjang. Demikianlah rakaman kehidupan yang kitarannya berulang-ulang dari generasi terdahulu sehinggalah yang terkemudian.

Lalu, jika jarak antara hidup dan mati ini sesingkat azan dan iqamah, maka bagaimana seharusnya  kita isi kehidupan di dunia ini?

“Sungguh, Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-quran) dengan membawa kebenaran untuk manusia, barangsiapa mendapat petunjuk maka petunjuk itu untuk dirinya sendiri, dan siapa sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri, dan engkau bukanlah orang yang bertanggungjawab terhadap mereka.”
Az – Zumar (39:41)

Demikian Allah s.w.t menukilkan kepada kita perihal perlunya manusia berpegang kepada Al-Quran, yakni sebagai petunjuk kebenaran dan jalan beroleh kebaikan. Namun, jika terdapat jua yang memilih untuk menyimpang dari kebaikan, maka bukanlah menjadi tanggungjawab kita terhadap tindakan mereka. Lantaran kejahatan yang dilakukan adalah antara Allah dan pelaku perbuatan tempang tersebut. Tetapi, itu bukanlah asbab untuk kita berlepas tangan atas segala kemungkaran dan kejahatan yang pelaku itu lakukan.

Walaubagaimana pun, hendaklah juga kita yakin bahawa sejauh mana kejahatan cuba dihamparkan, kebaikan tetap akan menang. Kerana asal fitrah manusia itu adalah kebaikan, hanya saja hawa nafsu yang sukar dibendung menjadi pendorong ke arah kejahatan.

Tetapi apakah dengan semata semata mengerjakan ibadat, seseorang itu sudah layak digelar mukmin? Atau semata-mata telah meninggalkan kejahatan telah boleh digelar mukmin?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
Al – Ankabut (29:2)

Tentu sekali tidak. Sebab kemuliaan iman itu adalah berlian yang mahal harganya. Semakin digilap, semakin berkilat. Iman akan selalu diuji oleh Tuhan dalam dan dangkalnya terlebih dahulu. Jika tidak bergeser dari kedudukannya setelah datangnya ujian, barulah layak seseorang itu digelar beriman.

Sebelum kita menilik kesengsaraan yang diuji ke atas kita, kita telusuri dahulu kesengsaraan yang ditanggung para anbiya’.

Di dalam Surah Yusuf, Allah mengajarkan kepada kita tentang erti sabar dan pentingnya meletakkan pengharapan kepada Allah. Nabi Ya’akub kehilangan anaknya, Yusuf yang sangat disayanginya. Bertahun kemudian, beliau kehilangan adik Yusuf sendiri iaitu Bunyamin, yang ditangkap oleh wakil raja Mesir (Yusuf).  Tiada lain yang menjadi kekuatan kepada Nabi Ya’akub melainkan sabar dan hanya kepada Allah tempat meminta pertolongan.

Kita telusuri juga kisah Nabi Ibrahim. Sungguh ujian yang diberikan tiada tandingan beratnya. Bayangkan siapakah yang sanggup melakukan jika disuruh menyembelih anak kandung sendiri. Dan ke manakah yang dia lebih cinta, kepada Tuhannya atau kepada anak kandungnya?

Keyakinan yang cetek kepada Tuhan tidak mungkin akan menghasilkan kecekalan dan kekuatan dalam peribadi para anbiya’ yang diceritakan tadi. Di sinilah pentingnya kekuatan iman setelah diuji oleh badai kehidupan. Tingkatan keimanan tidak ubah seperti anak tangga yang dinaiki dari bawah. Jika kaki kuat berpijak, sebesar mana pukulan yang menghambat hanya akan menaikkan kaki setingkat ke atas lagi. Tetapi jika kaki lemah, tangan tidak kuat bergantung, pukulan yang tadinya hanya menjatuhkan diri ke bawah. Yang kita sedihkan, setelah tingkatan kehidupan berjaya dinaiki, jatuhnya kemudian bukanlah sedikit, tetapi jauh terjerumus ke tangga yang terbawah, sehingga sukar dan payah untuk naik kembali.

Ketika saat ini, kesakitan pada jiwa akan bertambah parah. Hanya dengan kembali kepada suruhan agamalah jalannya. Dan pada masa beginilah Allah membukakan pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan menginginkan kebaikan .

“Tidakkah mereka mengetahui., bahawa Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya dan menerima zakat-Nya, dan bahawa Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang?”
At – Taubah (11:104)

Taubat bermaksud kembali. Kembali menguatkan kepercayaan kepada Allah setelah jiwa yang tadinya berkecamuk disusun semula. Memohon keampunan kepada Allah dan berdoa dengan sekuat hati minta ditunjuki jalan yang lurus, agar diri tidak lagi terjerumus ke takah kehidupan yang dahulu. Seterusnya dikuatkan juga dengan perjanjian di antara diri dengan Allah agar tidak mengulangi kesalahan tersebut di strata kehidupan yang akan datang. 

Berkata Imam Hasan Al Basri, sewaktu badan sihat dan hati menjadi senang, semua orang akan berani mengaku diri beriman. Tetapi setelah datangnya ujian, akan lebih tahulah kita benar ataupun tidak pengakuan keimanan itu. Sebab itu jalan menuju kebaikan selalu sahaja sukar, tetapi membuahkan pengakhiran yang baik. Dan jalan menuju hawa nafsu selalu sahaja mudah dan nikmat, tetapi hanya sementara. Kita ini menuju dari perjuangan kecil ke perjuangan yang lebih besar, yakni perjuangan melawan hawa nafsu sendiri. Berapa ramai orang yang tewas dalam pertempuran ini, sehingga sanggup menggugurkan prinsip keimanan dalam diri, hanya kerana tidak sabar dalam ujian yang diberikan. Padahal bukanlah terlampau besar ujian yang ditimpa, tetapi disebabkan keimanan yang selalu sahaja rapuh kerana tidak dikukuhkan dengan asas yang betul.

Penyesalan yang timbul lantaran diri melakukan kesalahan tidaklah boleh dipandang enteng. Kerana lintasan hati yang berlaku hari ini tidak mungkin sama di masa yang seterusnya. Janganlah kita membiarkan peringatan dari Tuhan berlalu begitu sahaja, bagaikan isyarat dari Tuhan yang tak sempat disampaikan. Kembalilah semula kepada Yang Menciptakan. Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Berdoa dan bertaubatlah, kerana seluas-luas pintu dalam agama adalah pintu taubat. Pendosa yang tidak putus-putus meminta keampunan daripada Tuhannya adalah hamba yang memiliki definisi yang luas tentang Tuhan, yang hatinya selalu hidup dan percaya akan rahmat Tuhan itu tiada terbatas. Selagi belum dipanggil menghadap Ilahi, harapan untuk kembali sentiasa ada.

[kredit]
“Katakanlah, wahai hamba – hambaku yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa – dosa semuanya. Sungguh, Dia – lah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Az – Zumar (39: 53)

Wallahua’lam.


Rujukan:
Al Quran
Tasauf Moderen
Lembaga Budi



No comments:

Post a Comment