Saturday 22 August 2015

Memoir Semalam #1

Manipal Lake

“Zul, kau ada soalan past year block ni tak? Nak pinjam.”

Zul yang sedang asyik menghadap komputer ribanya bermain Dota 2, dengar tak dengar akan soalan Izzat tadi. Ditambah pula dengan headphone yang dipakainya, bertambah tak dengarlah soalan Izzat tadi.

Izzat mengeluh lembut. Dia faham benar ulah Zul kalau sedang bermain game. Kalau gempa bumi pun Zul tak perasan agaknya.

Block exam tinggal seminggu sahaja lagi. Dia kalau boleh nak dapatkan keputusan yang lebih cemerlang dalam block exam kali ini. Dia kurang berpuas hati dengan keputusan block exam yang lepas walaupun jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang lain, markah dia adalah antara yang tertinggi.

Setelah beberapa kali panggilan Izzat tak dilayan, dia mula berasa geram.

“Zul, kau dengar tak aku tanya ni? Kalau main game tu, orang azan kat telinga pun tak dengar.” Izzat menepuk bahu Zul. Sempat juga diselit sindiran terhadap teman serumahnya itu. Tapi, memang patut pun. Zul kalau main game, memang selalu solatnya lambat. Kadang-kadang, sampai dah nak habis waktu, baru dia nak solat.

Zul memberhentikan permainannya sebentar. Geram apabila diganggu barangkali.

“Kau nak apa Izzat? Kacau line betul la. Aku dah nak menang ni.” Zul merengus kasar.

“Aku nak pinjam soalan past year block ni. Kau ada tak?” Izzat menurunkan kembali nada suaranya. Malas dia nak cari gaduh dengan Zul.

Zul tergelak kecil. “Kau ni pun, dah tentu-tentu selalu aku yang pinjam dari kau. Tentulah aku takde. By the way, kau dah habis baca semua ke? Cepat gila nak buat past year dah. Exam seminggu lagi kot. Relax la. Jom main game dengan aku ni dulu se-round dua dulu.” Zul gelak lagi. Kali ni lebih gamat. Zul sengaja kacau Izzat. Dia tahu, Izzat bukan main game pun macam dia. Budak ulat buku yang 24 jam duduk library study, mana ada masa nak main game.

Izzat malas melayan kerenah Zul, lalu meninggalkan Zul yang menyambung permainan videonya yang terhenti sebentar tadi. Dia kembali ke biliknya untuk bersiap ke perpustakaan.

*****

Sudah hampir setahun setengah Zura berada di bumi India. Sejak mendaftar di Melaka-Manipal Medical College pada Mac tahun lepas, pelbagai pengalaman berharga telah dikutipnya. Berada di tengah-tengah kelompok orang bukan Islam di negara orang, mengajarnya menjadi lebih tabah dan lebih berdikari. Malah, mendidik dirinya menjadi muslim yang lebih baik daripada sebelum ini. Jika sebelum ini, akhlaknya biasa-biasa sahaja, kini dia menjadi lebih baik lagi. Malah, kalau nak dibandingkan Zura sekarang dengan Zura setahun setengah yang lalu, ada yang tidak menyangka dia mampu berubah sehingga ke tahap ini.

Petang itu, langit kelihatan agak cerah. Tiada menunjukkan tanda-tanda hendak hujan seperti hari selalunya. Maklumlah, berada dalam bulan Ogos memang agak mencabar sedikit apabila berada di Manipal ini. Jun sehingga September, Manipal akan berada dalam musim monsun dan bulan Ogos merupakan waktu puncaknya. Hujan akan turun dengan lebatnya seperti tak mahu berhenti. Jika keluar rumah, wajib membawa bersama paying atau pun baju hujan. Langit pula, tidak boleh dibaca tindak tanduknya. Seminit lihat, cerah macam tak mahu hujan. Seminit kemudian, tiba-tiba hujan dengan lebatnya.

Melihatkan langit yang cerah dan dengan keyakinan yang tinggi bahawa petang itu tidak akan hujan, Zura bersiap-siap untuk keluar rumah. Destinasinya, pantai Malpe. Dia ingin menghirup udara segar angin laut Arab di sana sambil menenangkan fikirannya yang berkecamuk. Memang dia selalu ke sana untuk menenangkan fikirannya. Kalau tak ke sana pun, dia akan ke taman End Point pada waktu pagi. Itulah tranquilizer baginya ketika berkecamuk selain daripada lembaran ayat-ayat-Nya.

Rakan serumah Zura, Fatin yang melihatkan Zura bersiap-siap bertanya, “Zura, awak nak ke mana?”

“Kita nak keluar kejap, jalan-jalan. Bosan la duduk rumah asyik study je.” Zura menjawab rendah sambil membetulkan tudung yang dipakainya.

Okay, hati-hati bawa motor.” Fatin malas bertanya lanjut. Dia faham benar dengan rakan serumahnya itu. Zura lebih gemar keluar seorang diri apabila ke mana-mana. Dia sempat juga berpesan kepada Zura untuk menunggang motor dengan berhati-hati.

Tidak seminit bunyi deruman scooter Zura berbunyi, satu bunyi yang kuat meningkah dari luar.
Bergegas Fatin berlalu keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ya Allah, Zuraaa…..!!!”

*****

“Ting!”

Telefon pintar Azim berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Segera dicapainya telefon pintarnya di atas meja.

“Azim, petang ni main tak? Budak ni ajak main ragbi. Dah lama tak main kat padang ni.” Bunyi mesej yang baru sahaja diterima Azim sebentar tadi. Mesej itu datangnya daripada Luqman, kapten ragbi pasukan MMMC.

Lebih kurang 2 bulan juga mereka tak bermain di padang. Sebabnya padang ditutup apabila tibanya musim monsun. Mereka tidak benarkan sesiapa pun menggunakan padang untuk menjaga kualiti padang tersebut. Dua tiga hari ini, hujan sudah semakin jarang-jarang. Hanya malam sahaja yang selalu hujan.

Azim mula berkira-kira sama ada mahu turun bermain atau pun tidak. Dia pun sudah lama tak bermain. Setelah dia memastikan bahawa tiada perkara penting yang perlu diselesaikannya pada petang itu, dia membuat keputusan untuk bermain.

“Insya-Allah main. Dah lama gak tak main ni. Jumpa kat padang nanti.” Azim membalas mesej Luqman. Kemudian, dia segera bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat fardhu Asar berjemaah yang telah masuk waktu sebentar tadi.

Azim, seorang anak lelaki tunggal dalam keluarganya. 3 orang adik-beradiknya yang lain semuanya perempuan. Walaupun begitu, dia tidaklah seperti kebanyakan cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa jika adik-beradik seseorang itu semuanya perempuan dan dia seorang sahaja lelaki, kecenderungan lelaki itu untuk berwatakan seperti perempuan agak tinggi. Azim tetap dengan gayanya tersendiri. Seorang anak muda yang penuh wawasan.

*****

Dua jam telah berlalu. Namun, Zura masih belum sedarkan diri lagi. Fatin yang resah melihatkan keadaan Zura, setia menunggu teman serumahnya itu luar bilik. Dia masih belum dibenarkan berjumpa dengan Zura dengan keadaan Zura begitu. Fatin juga masih menunggu kedatangan doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap Zura untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan keadaan Zura.

Imbas kembali…

“Dang!!!!....”

Satu bunyi yang kuat kedengaran dari arah luar rumah. Fatin yang ketika itu sedang membaca buku di ruang tamu segera berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dia risau kerana baru sebentar tadi, Zura menghidupkan enjin motornya sebelum bunyi yang kuat itu kedengaran.

“Ya Allah, Zuraaa…!!!”

(bersambung…)






2 comments: