Monday 10 August 2015

Kejujuran Seorang Penuntut Ilmu


Ilmu itu amanah.

Suatu ketika, penulis diberi kesempatan yang singkat dengan sumber yang terhad untuk menelusuri sisi kehidupan dan perjalanan seorang penuntut ilmu, seorang ilmuwan, seorang ulama’, seorang penulis, yang orang kebanyakan menggelarkan beliau sebagai Imam Al Nawawi.

Meskipun begitu, peluang pembacaan itu memberi pengajaran besar buat diri, kepuasan seorang pembaca terutama yang berkait rapat dengan diri yang juga merupakan seorang penuntut ilmu.

Al Nawawi.


Sebut sahaja nama beliau pasti cepat sahaja membayangkan penulisannya yang tersohor dan terus menjadi rujukan masyarakat umum hari ini, Kitab Hadith 40 Imam Al Nawawi. Tidak terlupa juga penulisannya yang digelar beliau taman-taman Syurga, iaitu Kitab Riyadhus Solihin yang turut memenuhi kebanyakan rak-rak buku di masjid.

Namun, sebagaimana ilmuwan Islam lain, kecerdasan beliau bukan hanya pada dua kitab ini sahaja, malah begitu banyak lagi penulisan yang telah dihasilkan oleh beliau, malah yang lebih mengujakan semuanya berlangsung dalam tempoh yang begitu singkat, dalam ruang lingkup usia singkat yang dilalui oleh Imam Al Nawawi.

Barangkali untuk membaca dan mengupas kesemua penulisan beliau, melangkaui pelbagai lapangan disiplin ilmu, seakan jauh daripada kemampuan kita sekarang. Apa yang pasti ialah kita mempunyai kesamaan dengan Imam Al Nawawi, yakni beliau juga merupakan seorang penuntut ilmu yang sama seperti kita.

Kecerdasan beliau bukan terhasil sehari semalam, bukan juga sekadar menghafal buta apa yang diajar di dalam kelas, tetapi melalui jalan yang sama sebagaimana kita. Keperitan, kesusahan, pengorbanan, kejayaan dan kegagalan yang sama. Bezanya, beliau melalui dengan penuh berdisiplin, latihan dan jelas dengan matlamat ilmu yang dituntut beliau. Maka, kita tidak akan terkejut dengan semangat beliau dalam menghasilkan begitu banyak penulisan yang terus bermanfaat kepada masyarakat sehingga saat ini.

[ kredit ]

Imam Al Nawawi dalam banyak penulisannya, satu daripadanya mengupas tentang adab dan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang ahli atau penuntut ilmu. Antara perkara yang dibincangkan oleh beliau ialah senarai penyakit yang berkemungkinan besar menghingapi jiwa seorang penuntut ilmu, yang turut menarik untuk kita bincangkan bersama,

Antara yang dinyatakannya sebagai yang pertama ialah penyakit cemburu.

Tanpa menafikan cemburu yang membawa kepada persaingan sihat seperti cemburu akan seseorang yang kaya dengan ilmu dan berjaya memanfaatkan ilmu untuk orang lain, cemburu yang menggalakkan kita untuk menuntut ilmu agar menjadi yang bermanfaat dibolehkan. Namun, yang menjadi perselisihan pada hari ini ialah cemburu bukan lagi kerna mahu menjadi bermanfaat, tetapi cemburu lebih kepada nilaian material, markah, menjadi perhatian guru, keluarga mahupun rakan sekelas.

Salahkah kita mengejar markah yang tinggi?

Markah yang tinggi ialah penanda aras percapaian kita. Markah ialah alat untuk kita mencapai peringkat yang lebih tinggi, agar dapat meluaskan lagi pandangan dalam bidang ilmu yang diceburi, agar berpeluang meragut lebih banyak pengalaman ilmu.

Tetapi, yang perlu menjadi jelas ialah markah bukanlah matlamat sebenar ilmu itu. Matlamat ilmu itu ialah agar ilmu itu berguna untuk diri kita dan kepada masyarakat. Kita tidak sekadar dihantar untuk mendapat markah yang tinggi, tetapi agar kita dapat pulang berbakti dengan terbaik kepada masyarakat nanti.

Inilah apa yang dikatakan kejujuran seorang penuntut ilmu terhadap amanah ilmu yang ditanggungnya. Kejujuran inilah menjadi pasak utama kepada begitu ramai ilmuwan terkenal untuk sanggup berkorban jiwa dan masa agar dapatan dan ilmu yang diperoleh mereka mampu memberi kemudahan kepada masyarakat.

Penulis percaya bahawa ilmu yang kita belajar diperingkat ijazah bukan lagi sekadar mainan peperiksaan, tetapi ilmu yang pasti akan digunakan apabila kita berada dalam medan bekerja kelak. Markah yang tinggi, kelulusan yang cemerlang, latar belakang institusi yang dilalui tidak bermakna apabila kemahiran ilmu yang dipelajari tidak mampu diolah dalam bentuk yang boleh dipraktikkan, tidak bermakna apabila kita melayan masyarakat seakan berhadapan sebuah buku, lesunya komunikasi, tidak bertapak pada realiti.

Sahabat-sahabat pasti tertanya, mengapa pula isu kejujuran seorang pelajar atau amanah ilmu ini perlu dibincangkan pada ketika saat yang genting sebegini, dalam masa yang singkat yang memerlukan sokongan untuk terus melangkah bersedia di dalam dewan peperiksaan?

Kerna kejujuran ilmu ini akan paling teruji dalam situasi sebegini.

Situasi di mana kita boleh sahaja mengabaikan orang disekeliling kita, keadaan yang besar kemungkinan menjadikan kita seorang yang mementingkan diri sendiri, terlupa menghubungi keluarga yang menaruh rindu.

Kita penuntut ilmu akan diuji. Belajar untuk lulus atau belajar untuk menjadi doktor yang berjaya? Adakah pada ketika ini belajar, musafir kerna Allah itu akan menjadi retorik semata-mata? Keadaan inilah yang paling kritikal. Keadaan yang perlu kita muhasabah semula. Keadaan yang memerlukan kita bertapak kembali pada bumi yang nyata. Keadaan yang kita kena jelas kita mahu ke mana. Berhenti sejenak untuk fikirkan.

Hanya yang pasti, seseorang yang belajar kerna ingin memanfaatkan ilmunya tidak akan membenarkan dirinya gagal.

Jadi, bagaimana kita dalam keadaan sebegini, mahupun dalam perjalanan yang masih jauh untuk turun bekerja dalam masyarakat ini mahu berbakti sebagaimana seruan matlamat ilmu itu?

Jawab penulis, belajarlah bersungguh-sungguh, berilah perhatian dalam kelas, buat nota yang mudah difahami, kemudian ajarilah, bimbinglah sahabat-sahabat kita yang masih tidak tahu agar kita mampu berjaya bersama, agar dia juga berpeluang untuk memanfaatkan diri mereka kepada orang lain sebagaimana kita.

Tidak merugikan, malah lebih menguntungkan.


Usaha dan kebergantungan kita hanyalah pada Allah.


Oleh:

Pelajar Tahun 1,
Jurusan Perubatan,
Melaka-Manipal Medical College 

No comments:

Post a Comment