Monday 13 July 2015

Takut, Harap dan Cinta.

           
Mengapa mengharapkan syurga?
Tidak cukupkah nikmat dan pemberian Tuhan itu
Sudah bagaikan syurga buat kaum yang bersyukur?

Mengapa takut pada neraka?
Bukankah maksiat dan dosa dosa itu
Bagaikan sengsara pada yang mengaku beriman.


            Dua elemen penting yang menjadi asas dalam proses pembaikan kehidupan manusia adalah kewujudan sifat takut dan harap. Takut, dalam erti kata lain, adalah perasaan ragu-ragu, atau keengganan terhadap sesuatu. Di suatu sudut, takut juga membawa erti kegelisahan oleh sebab hukuman yang bakal menimpa. Lantaran itu, wujud dua kelainan jenis tingkah laku yang dipengaruhi oleh sifat takut. Pertama, penolakan terhadap sesuatu perkara. Individu yang masih takut-takut atau ragu dalam melaksanakan sesuatu perkara kerana belum cukup keyakinannya. Ataupun belum cukup ilmunya dalam kesahihan sesuatu maklumat lalu memberanikan dirinya berfikir dan mencari sampai cukup ilmunya, barulah kemudian berani melaksanakan apa yang diketahuinya itu. Orang yang begini mempunyai daya pemikiran yang kritis dan mampu melaksanakan sesuatu berlandaskan hujah dan tujuan. Kerana amalan yang dilakukan adalah atas dasar kefahaman dan ilmu. Tetapi sikap seperti ini juga ada bahayanya. Terlalu ragu-ragu dan ingin benar mencari kesahihan, akhirnya orang ini kendur pada pengamalan dan tidak akan ke mana-mana. Kerana hakikat ilmu yang sebenar bukan pada asas dan hujahnya, tetapi pada keindahan sesudah ilmu itu dikerjakan. Ibarat seorang petani, mudah sahaja baginya menyemai benih, tetapi belum tentu mudah menjaga benih itu sampai besar, berbunga, berputik dan berbuah. Orang yang begini seharusnya hendaklah sabar dalam mencari erti sebenar kehidupan meskipun ada sedikit keraguan dalam diri.

            Tingkah laku yang kedua adalah perbuatan yang dilaksanakan tetapi didorong atas dasar takut kepada hukuman. Ketakutan yang seperti ini menimbulkan tindak balas spontan dari pihak si pelaku. Hukuman itu bagaikan stimulus kepada individu untuk sentiasa melaksanakan tugas. Secara kasarnya, respon yang diberikan adalah memuaskan untuk jangka masa pendek. Kerana tugas yang diberikan akan selalu tertunai meskipun berada dalam ketakutan. Walaubagaimana pun, apabila hanya dorongan hukuman yang ditekankan secara berulang-ulang, kelak respon daripada individu akan beransur-ansur berkurangan pada jangka masa panjang dan akhirnya akan ditinggalkan terus perbuatan tersebut lantaran kurang kefahaman tentangnya. Dan yang lebih buruk lagi adalah apabila gertakan hukuman itu akhirnya tidak memberi kesan langsung ke atas individu tersebut. Kerana yang diperkenalkan adalah ketakutan hukuman, bukan hakikat disebalik perbuatan. Mengambil contoh, seorang anak kecil yang digertak oleh orang tuanya dengan rotan jika tidak melaksanakan solat. Terlalu takut pada hukuman, akhirnya anak kehilangan makna di sebalik solat. Oleh itu, hendaklah ketakutan seperti ini dihindarkan tetapi ditimbal balik dengan asas kefahaman ilmu dan makna supaya yang dilaksanakan itu tidaklah sia-sia dan berkekalan untuk jangka masa panjang.

            Elemen yang kedua adalah harapan. Harapan adalah umpama sesuatu yang menunggu di hujungnya. Harapan, adalah bagai buah fikiran yang bertugas menggerakkan seluruh sendi supaya bekerja ke arah destinasi yang sama. Kerana manusia meletakkan harapan, maka dikerahkan seluruh anggotanya supaya sentiasa bergerak dalam merealisasikan harapan tersebut. Dalam erti kata lain, harapan juga disamakan seperti batu loncatan yang menjadi motivasi kepada individu meskipun pekerjaan itu mengambil masa yang agak lama untuk dikutip hasilnya. Semakin jauh atau susah perkara yang diharapkan, semakin banyak usaha yang dilakukan dalam mencapai target tersebut. Tetapi jika hanya harapan yang ditekankan tanpa dihadirkan sedikit rasa takut, kelak akan mengundang kekecewaan. Terlalu meletakkan harapan tanpa mengambil kira aspek lain yang mempengaruhi akibat dan kesan, akan menyebabkan individu ini khayal dalam keindahan sebuah retorik dan angan-angan. Walhal tidak realistik. Kerana individu seperti ini terlampau fokus pada satu jalan tetapi menutup mata mereka untuk melihat lensa kehidupan yang lebih luas. Akhirnya apabila hasil yang muncul tidak seperti yang diharapkan, individu ini akan bermula semula pada titik permulaan dan proses yang sama. Dan seterusnya kekecewaan yang sama akan berulang. Mengharapkan output yang berbeza, tapi masih bermula pada lokus yang sama. Mana mungkin hasil yang timbul akan berbeza. Hakikatnya, takut dan harap adalah dua entiti yang harus diletakkan pada kedudukan tertentu dan digerakkan dalam fasa yang sejajar, sesuai dengan situasi yang berlaku.

Takut dan harap yang hilang dalam falsafah cinta

[ kredit ]

             Sementara kita masih lagi berteka-teki tentang di mana letaknya takut dan harap, cinta telah lebih dahulu menaiki tangga teratas mengatasi segalanya. Ahli falsafah terdahulu mentafsirkan cinta sebagai sendi segenap keutamaan dunia. Jika tiada cinta, nescaya kemanusiaan akan hancur. Paulo Coelho di dalam makalahnya yang berjudul The Alchemist pula menyifatkan cinta sebagai bahasa dunia yang menghubungkan ciptaan kepada pencipta. Cinta pula mengandungi bahagiannya yang tersendiri. Cinta seorang ibu kepada anaknya, suami kepada isteri, seorang kakak kepada adiknya, dan yang lain-lain. Tetapi yang ingin ditekankan di sini bukanlah kecintaan kekeluargaan, tetapi tentang hakikat kecintaan Tuhan yang tiada tolak bandingnya.

            Sepertimana seorang lelaki berkehendak cinta daripada seorang perempuan, tetapi mampukah cinta itu sendiri hadir tanpa melihat kepada keayuan wajahnya? Jika selama ini kita hanyut pada tulisan dan bait-bait kata pengarang yang indah sehingga ingin benar bertemu dengan penulisnya, maka bagaimana pula perasaan kita sewaktu membacakan ayat suci Al-Quran dari Tuhan? Cinta Tuhan itu bagaikan ketukan di muka pintu. Kita buka, dan jika ketukan itu mengena pada kita maka kenallah kita pada-Nya. Tetapi mampukah kita menjemput-Nya bertandang di ruang tamu bawah kesedaran kita? Tidak mungkin. Kerana cinta itu hadir luar dari kesedaran kita. Cinta bebas dari perangkap ilusi bawah sedar manusia, malah ia juga tidak terhad di luar kesedaran semata-mata. Manusia tidak mampu menanggapi hakikat cinta Tuhan yang sebenar. Malah mustahil untuk manusia mencapainya kerana keterbatasan hakikat manusia itu sendiri.  Supaya kita merasai keindahan cinta, Tuhan merembeskan cinta-Nya kepada kita melalui ayat-ayat-Nya, melalui kalam Allah yang agung yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w buat umatnya.   Tuhan berbicara kepada kita melalui bahasa yang difahami manusia itu sendiri. Tetapi hadir-Nya tetap luar dari kebiasaan. Cinta Tuhan tidak bersemayam pada bahasa tetapi luar dari korpus bahasa itu sendiri. Sebagaimana Dia melarikan makna “Alif lam mim” daripada kita. Kita akhirnya tetap akui bahawa agung-Nya cinta daripada Tuhan itu seluas rahmat kepada seluruh alam.

            Justeru, bagaimana seharusnya cinta seorang hamba kepada Tuhan? Cinta memerlukan bukti dan pengorbanan. Pengorbanan yang memerlukan latihan spiritual yang perlu selalu diperbaiki. Latihan spiritual adalah persoalan mencari makna tersirat disebalik setiap perbuatan menggunakan hati. Latihan spiritual juga termasuk persoalan mencari diri sendiri, mempersoal hakikat kewujudan diri dan persoalan mengapa aku dicipta. Dengan mengenali diri dan mencintai diri, seiring dengan itu akan wujud sifat cinta kepada pencipta diri.   Untuk membuktikan kecintaan kepada Tuhan, maka disempurnakan segenap rukun Islam yang menjadi asas didikan pertalian diri dengan Tuhan. Tetapi penumpuan pengukuhan kecintaan dengan Tuhan semata-mata tidaklah cukup dalam survival kehidupan ini. Apa gunanya mencari cinta Tuhan lalu mengasingkan diri jauh-jauh dan tidak disebarkan kebahagiannya?

Dari Anas R.A Nabi s.a.w bersabda, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sebelum ia cinta kepada saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri.

            Kecintaan sebenar dalam kehidupan manusia adalah mencintai tanpa meletakkan sepenuh pergantungan, atau menjadi penyebab kepada kebergantungan itu. Mencintai kehidupan adalah melepaskan kehidupan berlalu pergi tanpa perlu terikat dengan ilusi dan fantasi. Begitu juga kecintaan manusia kepada yang lain. Mencintai makhluk ciptaan-Nya adalah membiarkan insan yang dicintai menjadi dirinya sendiri. Bukan sahaja kecintaan kepada insan, tetapi kepada seluruh nikmat pemberian Tuhan. Kecintaan terhadap ciptaan Tuhan adalah dengan memahami proses pemisahan. Pemisahan bukanlah bermakna pengasingan diri secara total atau kita tidak memiliki apa-apa, tetapi adalah membiarkan diri bebas dari dimiliki oleh apa-apa kebergantungan selain Allah s.w.t. Kuncinya adalah dengan menyedari segala yang dimiliki di dunia ini bukanlah kepunyaan kita. Kerana yang kita sangka adalah milik kita sebenarnya tidak pernah sama sekali menjadi kepunyaan kita pada asalnya. Sekiranya ia hilang dan kita menyedarinya, hakikatnya kita tidak pernah kehilangan apa-apa. Kerana segala-galanya di dunia ini adalah kepunyaan Allah s.w.t, pemilik cinta yang paling agung.

            Jika kita menyedari hakikat cinta Tuhan dan falsafah di sebalik cinta, takut dan harap yang dibicarakan awal tadi bukanlah sesuatu yang menjadi permasalahan dalam memupuk sifat ketaatan kepada Tuhan. Malah takut dan harap itu hanyalah permainan emosi yang sering bertukar-tukar kedudukannya. Sedang takut dan harap mencari duduk letaknya di mana, kewujudan cinta lantas melarutkan sifat takut dan harap lalu tenggelam terus ke dasar kerana anugerah kehebatan cinta daripada Allah s.w.t yang tiada tandingan.

Wallahu’alam.

___________________________________________


Rujukan:

1) Falsafah Hidup, Prof. Dr. Hamka
2) Agong Tanpa Tengkolok, Fathi Aris Omar


No comments:

Post a Comment