Sunday 5 July 2015

Menghayati Makna Sebenar Solat


            Seringkali apabila berbicara tentang solat fardhu, kita sinonimkan ia dengan pasak kepada agama. Slogan yang acapkali diutarakan baik generasi tua mahupun muda adalah “Solat itu tiang agama”. Solat, yang merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan Syahadah, dikatakan sebagai amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah ketika di padang mahsyar kelak. Malah ada juga yang mentakrifkan solat sebagai pencegah kepada segala kemaksiatan. Walaubagaimana pun, kita tidak menafikan bahawa meskipun solat itu setia dilaksanakan lima kali sehari semalam, masih juga terdapat masyarakat muslim sendiri yang tewas dalam gelanggang akhlak ketika berada  luar dari solat. Masyarakat muslim hari ini sedikit mundur dari segi perangai dan sikap baik dari pihak yang memegang tampuk kuasa mahupun pihak yang diperintah.

            Permasalahan berkaitan ini memerlukan kita untuk kembali berfikir sejenak tentang sejauh mana penghayatan kita ketika solat dalam membentuk pandangan hidup. Adakah solat yang kita laksanakan hanya sebagai ritual semata? Sebagai ikut ikutan budaya masyarakat Muslim? Atau kerana telah terbiasa melakukan solat dari kecil maka agak janggal jika ditinggalkan sewaktu  telah dewasa? Justeru, haruslah kita refleksi seketika bagaimana seharusnya penghayatan spiritual dalam solat mampu digunapakai oleh individu untuk dibawa ke tengah ruang sosial dalam  menyelesaikan masalah masyarakat.

            Islam mewajibkan penganut agamanya untuk melaksanakan solat. Di dalam solat itu sendiri, tersimpan hikmah membesarkan Ilahi dengan cara yang bagus sekali. Kerana solat melibatkan kerjasama antara seluruh anggota tubuh demi mencapai kesempurnaan dalam penyembahan kepada Allah s.w.t. Kita mulai solat dengan niat. Niat bukan hanya pada lafaz, tetapi pada hati itu sendiri. Niat adalah laksana pemisahan diantara kesibukan dunia dan jambatan menuju Ilahi. Ketika berniat untuk solat, kita umpama telah memisahkan diri dari segala permasalahan masyarakat, kekalutan pemikiran serta kenikmatan dunia yang nyata hanyalah permainan dalam kehidupan kita. Kemudian diteruskan pula dengan ucapan “Allahuakbar”. Ungkapan ini membawa erti segala pekerjaan, harta dan pangkat, kekayaan dan kemahsyuran dunia adalah barang kecil belaka ketika dihadapkan dengan kebesaran Allah yang Maha Esa. Kerana segala kekuatan yang kita miliki seketika hanyalah pinjaman dan bersifat sementara.

[ kredit

            Pelaksanaan solat adalah meliputi perbuatan zahir dan batin. Perbuatan zahir adalah dengan pengungkapan bacaan solat diikuti dengan penghayatan batin yang menginsafi diri, sedar sebagai seorang hamba yang hina dina dihadapkan ke kuasa Yang Maha Besar. Dalam rukuk dan sujud, kita hadirkan puji pujian kepada Tuhan dan syukur atas gandaan nikmat yang diberikan dariNya. Kita menundukkan diri, lalu bersujud dan meletakkan anggota tubuh yang paling mulia sekali iaitu wajah (kepala) hanya kepada Allah. Ketika di luar solat, wajah adalah anggota paling penting dalam urusan keduniaan. Malah tidak sekali kali kita biarkan anggota ini untuk tunduk kepada sesiapa pun. Tetapi di dalam solat, kita merelakan diri menghamparkan wajah ke bumi, menyedari diri yang nyata seorang hamba, dan tidak takut pada kuasa luar selain Allah s.w.t.

            Sebelum mengakhiri solat, kita disuruh mengerjakan tahiyat akhir. Di dalam tahiyat akhir itu sendiri terdapat dua komponen penting, iaitu mengucap dua kalimah syahadah dan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. Pengucapan dua kalimah syahadah di akhir solat adalah bagaikan suatu peringatan. Peringatan daripada Allah kepada hambaNya sebelum keluar dari solat untuk kembali menguruskan urusan keduniaan. Syahadah adalah bagai suatu penyaksian seorang hamba kepada Tuhan, suatu akur janji yang membentuk pandangan hidup. Syahadah di penghujung solat adalah sebagai bai’ah daripada seorang hamba kepada Tuhan tentang misi yang bakal dijalankan usai keluar dari solat. Setelah berjanji, maka sepatutnya adalah wajib bagi kita melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan dengan sikap telus dan amanah. Demikian setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, kita turuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan kerabatnya, Nabi Ibrahim a.s sebagai manifestasi kesyukuran kita. Kerana dengan melalui merekalah, kita mengenali Islam yang sebenar.

            Kemudian kita mengucapkan salam ke kanan dan ke kiri kita, bukan lah hanya kepada malaikat yang menjaga kita siang dan malam semata mata. Tetapi adalah kerana kita menyebarkan salam kepada segenap makhluk yang berada di kanan dan di kiri kita. Bermakna, setelah kita menguatkan tali pergantungan kita hanya kepada Allah, kita tebarkan perasaan kasih dan sayang ke ruang pergaulan kita. Kita tebarkan damai, ketenteraman dan tali persaudaraan kepada seluruh alam.

            Ada individu yang berpendapat solat bukanlah solusi terbaik dalam menuju Tuhan. Cukuplah sekadar melakukan kebaikan, mengamalkan nilai nilai sejagat yang disepakati bersama serta mengingati Allah dalam hati. Tetapi hikmah di sebalik solat tidak begitu. Bagaimana hanya hati yang merasai kenikmatan berTuhan, tetapi tidak bagi anggota yang lain? Kerana sewaktu solatlah, kita disuruh menggerakkan sendi-sendi ke arah kiblat yang sama dalam mengagungkan Tuhan. Sewaktu solat, hati adalah laksana pemandu, dan anggota badan yang lain bagaikan penumpang yang menuju ke sebuah destinasi yang sama. Adakah lagi jalan mencapai kesempurnaan kehidupan yang lebih baik daripada ini? Adakah lagi ibadat dan syariat lain yang lebih baik dari solat?

            Sekiranya seluruh umat Islam memahami falsafah di sebalik solat, dan mampu mengaplikasi penghayatan ini ke tengah pergaulan dalam bermasyarakat, maka akan terbukti benarlah bahawa kewujudan syariat dalam Islam itu sendiri mampu membentuk pandangan hidup dan nilai seseorang manusia. Agama dari langit ini bukan sia-sia Tuhan turunkan kepada manusia, melainkan untuk mengangkat kembali martabat kemanusiaan itu sendiri dalam hidup bertujuan. Dan mengapa solat dikatakan sebagai tiang kepada agama adalah kerana dalam solat itu sendiri, tersisip makna terbesar dalam membentuk peribadi dan sikap dalam menjalani tugas sebagai abid dan khalifah di muka bumi.

Wallahualam.


            

No comments:

Post a Comment