Sunday 21 June 2015

Virus Ramadhan


“Nak air apa bang?”
“Aiiiir love you”

****

“Do you prefer teh tarik for iftar?”
“Not really, why?”
“Because I’m tehtarik to you.”

****

“Saya nak berbuka dengan awak boleh tak hari ini.”
“Kenapa?”
“Sebab sunat berbuka dengan benda-benda manis.”

****

“Mari akak, abang, beli kuih kuih”
“Hmm...”
“Awak suka tepung pelita kan?”
“Macam mana awak tahu?”
“Sebab kehadiran awak, menerangi gerai saya.”

****

“Bang, nak ikat tepi ke nak ikat mati?”
“Selepas tengok awak tiba-tiba saya mahukan ikatan yang sah.”

****

Saya kira, ayat-ayat di atas ialah ayat-ayat manis terlebih gula yang menjadi viral pada bulan Ramadhan ini. Aduh! Rasa kecewa dengan segelintir remaja kita yang masih alpa dan leka, sibuk bermain-main ayat-ayat pickup line pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Bagaikan jiwa penghayatan Ramadhan itu tidak wujud dalam diri mereka.

Ramadhan yang suci perlu kita lalui dengan hati yang terpelihara, bukannya dicemari dengan unsur-unsur jiwang karat yang membawa ke lembah maksiat. Ada juga yang pada bulan Ramadhan, iftar dengan pasangan couple masing-masing.  Sweet macam uncang teh dan gula, rasa nak jirus dengan air panas aje. Janganlah biarkan virus ini menjangkiti dan seterusnya mencemari Ramadhan kita.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,

Ramadhan hanya datang sebulan dalam setahun, dan belum tentu juga kita akan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan, bayangkan jika tahun ini merupakan Ramadhan kita yang terakhir. Apakah kita dapat melaluinya dengan sempurna? Apakah dapat kita telusuri bulan Ramadhan ini dengan penuh kefahaman dan kesungguhan ataupun sebaliknya? Jangan kata nak tunggu hari tua, kerana jika esok ajalmu, maka ketahuilah hari ini kamu sudah teramat tua.

Ayuh kita singkap kembali antara peristiwa-peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan Ramadhan agar dapat kita serap aura Ramadhan, sekaligus menghidupkan hati yang kian mati dek virus Ramadhan yang datang dalam pelbagai bentuk. Insya-Allah, jika kita fahami dan hayati betul-betul peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan ini, barulah tahap penghayatan kita menjadi lebih baik.

Berikut merupakan 3 peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan yang saya kira sangat mengajar kita erti Ramadhan. Semoga dengan kisah-kisah ini dapat mengangkat kembali rasa penghayatan bulan Ramadhan dalam diri kita seterusnya menjadikan diri kita immune dari virus-virus Ramadhan.

1)      Perang Badar

[ kredit ]

Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam. Perang ini ialah perang yang berjaya memisahkan antara yang haq dan yang batil. Perang ini berlaku pada hari Jumaat, bersamaan 17 Ramadhan, tahun kedua hijrah.

Disebutkan sebagai peristiwa besar kerana Perang Badar merupakan pertembungan hebat antara pembela Islam dan musuh Islam. Hari perperangan ini turut digelar sebagai ‘Yaum Al Furqan’ (hari pembedaan). Allah mengangkat darjat kebenaran dengan jumlah kekuatan yang terbatas, dan merendahkan kebatilan meskipun jumlah kekuatannya 3 kali ganda. Allah menurunkan pertolongan buat kaum muslimin bagi memenangkan mereka terhadap musuh Islam.

Perang badar membuktikan bahawa umat Islam itu sendiri hebat, mampu berjuang di medan perang pada bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk kita menjadi lemah namun inilah bulan untuk kita menjadi gagah dari kebiasaannya.

Sungguh, sayang sekali apabila hari ini ramai daripada kita lupa akan sejarah atau kononnya tidak suka sejarah. Sedangkan peristiwa sejarah seperti ini tidak patut dilupakan dan perlu tersemat dalam dada masing-masing. Mengingati kembali perjuangan baginda dan para sahabat bermati-matian mempertahankan Islam yang hari ini kita dapat rasai dengan bahagia dan tenang.

Nabi dan para sahabat berdarah dan berkorban untuk kita, tapi kita membalasnya dengan mencemari Ramadhan dengna virus jiwang karat? Malulah semalunya.

2)      Fathu Mekah

Pembukaan kota mekah ialah salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini merupakan titik pemulaan kekuatan Islam dan penyebaran Islam mula tersebar seluruh bumi. Malah peristiwa ini merupakan tarikh keramat bahawa Islam telah mendapat kejayaan yang sangat bermakna. Fathu Mekah berlaku pada hari Selasa 17 Ramadhan tahun 8 hijrah.

Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah masuk ke dalam Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan. Ini merupakan bukti, bahawa Islam tidak pernah memansuhkan bangsa, bahkan Islam menggunakan kekuatan bangsa untuk mengangkat Islam.

Baginda bersolat di dalam Kaabah dan turut memberi ucapan di khalayak ramai. Sabda baginda,

“Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan kamu dari kesombongan jahiliyah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah. Kemudian baginda membaca ayat al-Quran:

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa, berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana.” (Al-Hujuraat : 13)”

Pada hari itu juga, kunci Kaabah dikembalikan semula kepada penjaganya, Bilal r.a. azan di atas Kaabah dan seterusnya peristiwa Al-Bai’ah yakni membuat pengakuan taat setia kepada Rasulullah.

Peristiwa pembukaan kota Mekah ini perlu menjadi pembakar obor semangat di dalam diri kita. Ini membuktikan bahawa Islam boleh mencapai kemenangan terbesar dalam bulan Ramadhan yakni dengan kejayaan pembukaan kota Mekah. Jangan jadikan Ramadhan sebagai alasan untuk kita menjadi lemah gemalai tidak bermaya. Namun jadikanlah Ramadhan sebagai bulan kita penuh hamasah semagat dan seterusnya gagah dalam melakukan amal soleh.

3)      Iqra’

Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Muhammad S.A.W. di gua hira’. Peristiwa ini berlaku pada hari isnin, bersamaan 21 Ramadhan. Malaikat Jibril datang kepada baginda di Gua Hira’.

“Bacalah!”

Rasulullah pun segera menjawab, “Aku tak boleh membaca.”

Lalu Jibril memegang dan memeluk tubuh Muhammad dengan sangat kuat.

“Aku sampai merasakan sesak.” Kata baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

Setelah itu Jibril melepaskan pelukannya dan kembali berkata, “Bacalah!”

Muhammad S.A.W. kembali menjawab, “Aku tak boleh membaca.”

Lagi sekali malaikat Jibril memeluk dan memegang tubuh Nabi S.A.W. dengan sangat kuat.

Hingga akhirnya Jibril melepaskan pelukan dan kemudian berkata,

“Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Itulah lima ayat al-Quran, Surah al-Alaq yang diwahyukan Allah S.W.T melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan keadaan gementar, Nabi Muhammad S.A.W. bergegas pulang ke rumah menemui isterinya Khadijah.

Demikianlah sedikit sedutan peristiwa yang diambil dari peristiwa turunnya wahyu pertama kepada baginda yang berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia. Melihat pada peristiwa ini, kita perlu merasakan bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan yang biasa-biasa. Namun ianya merupakan sebuah bulan yang penuh pengertian dan sarat dengan aura keinsafan. Hargailah masa yang kita ada, saat dan tika ini, dan seterusnya kita cuba lalui bulan Ramadhan kali ini dengan penuh rasa ketaatan.

Kesimpulan

Kita ada tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan pada bulan ramdhan ini. Jangan sia-siakan masa yang ada dengan virus-virus Ramadhan yang hanya membuang masa dan membawa kita ke lumpur kemaksiatan. Bulan ini bulan yang istimewa, maka manfaatkanlah sebaiknya. Hargailah pengorbanan baginda dan para sahabat yang berjuang mempertahankan Islam melalui perang Badar, lahirkan semangat juang yang tinggi mencontohi peristiwa pembukaan kota Mekah. Banyakkanlah membaca al-Quran di bulan yang mulia ini, dan ingatlah bahawa bulan ini jugalah bulan turunnya wahyu pertama dari Allah. Bukan bulan Rejab atau Syaaban, namun inilah bulan Ramadhan!

Jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan penuh erti, bukan Ramadhan yang syok sendiri, tengelam dalam dimensi memakan diri. Jadikan Ramadhan ini sebagai ‘turning point’ untuk kita berubah menjadi lebih baik. Henshin!


Oleh : headwithserban

No comments:

Post a Comment