Monday 15 June 2015

Kompas Ramadan

[ kredit ]

3 hari berbaki sebelum Ramadan.

Saya kira saat ini mungkin lirik lagu “Ramadan tiba, Ramadan tiba” nyanyian Opick terngiang-ngiang di telinga kebanyakan daripada kita, ataupun mungkin ada yang siap melagukan dengan gembiranya. Corong-corong radio dan stesen televisyen barangkali sudah rancak menayangkan iklan dan promosi sempena Ramadan. Adik-adik kecil kita agaknya sudah mula mendendangkan lagu-lagu raya, sambil membakar bunga api dengan riangnya. Itu mungkin situasi di Malaysia. Tapi bagi pelajar-pelajar luar negara yang terpaksa berdepan dengan realiti menyambut Ramadan di tanah asing (kita), saya yakin anda mungkin mengalami kecelaruan perasaan ketika ini. Seronok dan tak sabar untuk merasai pengalaman baru  berpuasa di tempat lain dan pada masa yang sama sedikit kecewa kerana tiada bazar Ramadan setiap petang, tiada ayam percik, tiada murtabak, tiada kuih-muih tradisional dan paling penting tiada lagi masakan serta minuman pelbagai jenis buatan bonda yang memenuhi ruangan meja makan. Ditambah dengan hakikat bahawa exam yang bakal berlangsung bakal membuatkan kita homesick.

Atau tiada satu pun yang disebut di atas menggambarkan perasaan anda?

Tak mengapa. Masing-masing punya perasaan berbeza bila menjelangnya Ramadan, bukan? Tetapi saya ingin berkongsi kisah segolongan manusia yang berkobar-kobar rasa cinta dan rindu mereka taktala menyambut ketibaan Ramadan. Ajaibnya, setiap antara mereka mempunyai perasaan dan pandangan yang sama, tanpa seorang pun terkecuali. Mereka adalah para salafus soleh. Dalam satu hadis ada menyebut mereka berdoa selama 6 bulan sebelum masuk Ramadan supaya Allah memanjangkan umur mereka agar sampai ke bulan penuh berkah itu. Kemudian selama 6 bulan setelah Ramadan berlalu, mereka berdoa supaya setiap amal ibadah mereka di bulan itu diterima Allah. Masya-Allah. Mereka benar-benar mengimani bait-bait pesanan Rasulullah s.a.w di akhir Sya’ban, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Salman al-farisi. Baginda bersabda:

“Wahai sekalian manusia. Kalian akan dinaungi oleh bulan yang agung nan penuh berkah. Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam. Allah menjadikan puasa di bulan itu sebagai kewajiban dan qiyamnya sebagai perbuatan sunnah. Siapa yang mendekatkan diri kepada-Nya dengan amal kebaikan seolah-olah ia telah melakukan kewajiban di bulan lain. Dan barangsiapa melakukan kewajiban pada bulan itu maka ia seolah telah melakukan tujuh puluh kewajiban di bulan lain. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu adalah jalan menuju surga. Ia adalah bulan keteladanan dan bulan dimana rezki dimudahkan bagi orang mukmin. Siapa memberi buka kepada orang yang berpuasa maka ia mendapatkan ampunan atas dosa-dosanya dan lehernya diselamatkan dari api neraka. Ia juga mendapatkan pahalanya tanpa mengurangi pahala orang itu sedikit pun.” [HR Ibnu Khuzaimah]

Bertambah kagum saya apabila mengetahui dahsyatnya persediaan para sahabat sebelum menyambut Ramadan.  Mereka benar-benar memasang tekad memanfaatkan  bulan Ramadan untuk saling berlumba-lumba mengejar ahsanu amala (amal terbaik), terutamanya Umar ibn Khattab yang  menyambutnya dengan menyalakan lampu-lampu penerang di masjid-masjid untuk ibadah dan membaca Al-Qur’an.

Diriwayatkan Anas bin Malik bahawa:

Para sahabat Nabi saw jika melihat bulan sabit Sya’ban mereka serta merta meraih mushaf mereka dan membacanya. Kaum Muslimin mengeluarkan zakat harta mereka agar yang lemah menjadi kuat dan orang miskin mampu berpuasa di bulan Ramadhan. Para gabenor memanggil tawanan, barangsiapa yang meski dihukum segera mereka dihukum atau dibebaskan. Para pedagang pun bergerak untuk melunasi apa yang menjadi tanggungannya dan meminta apa yang menjadi hak mereka. Sampai ketika mereka melihat bulan sabit Ramadhan segera mereka mandi dan I’tikaf.”

Jelas sungguh matlamat mereka, sehingga setiap kerja buat mereka ‘all-out’ hanya kerana Allah semata-mata. Bukan hanya dari sudut amal mereka, malahan perasaan dan persediaan mereka untuk menyambut Ramadan sudah cukup untuk membuatkan kita bermuhasabah diri kembali. Sejauh mana sebenarnya kita memaknai maksud sebenar Ramadan? Adakah sekadar dengan berpuasa, bersahur, berbuka, bertadarus, terawih, sahaja? Sungguh kalau betul sekadar itu, maka kita sudah mensia-siakan peluang besar yang Allah anugerahkan selama ini.

Cuba anda fahamkan analogi ini.

Apabila seorang pelajar memasuki sekolah perubatan, maka hasilnya adalah seorang doktor bukan? Apabila anda mendaftarkan diri ke kelas memasak, bukankah hasilnya adalah anda menjadi seorang yang mahir memasak? Nah, sama halnya dengan Ramadan. Apabila Allah masih membuka peluang untuk kita merasai Ramadan, bererti Dia menginginkan kita untuk mencapai kualiti sebenar produk madrasah Ramadan, sepertimana firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” [al-Baqarah:183]

BERTAQWA.

Menurut saya, sudah jelas dan nyata matlamat sebenar Ramadan. Jadi, jika sudah bertahun-tahun kita telah menerima kedatangan Ramadan tapi masih belum meraih nilai ketaqwaan, di mana silapnya? Saban tahun kita beriya-iya meraikan Hari Raya, berasakan bahawa kita sudah berjaya melepasi Ramadan, sedangkan hakikat pahitnya kita hanya mendapat lapar dan dahaga selama sebulan berpuasa. Hal demikian sangat dikhuatiri oleh Nabi Muhammad SAW, sabda Baginda:

“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersolat malam, tetapi tiada yang dia perolehi selain daripada rasa mengantuk”

Nauzubillahi min zalik.

Mungkin entri ini tidak cukup untuk menambah kefahaman dan pengetahuan anda tentang Ramadan, tapi tujuan sebenar saya menulis adalah untuk kita bersama-sama mengambil sedikit masa untuk merenung kembali Ramadan-Ramadan kita yang lepas dan meluruskan kembali niat kita sebelum sekali lagi melangkah masuk ke bulan mulia yang penuh maghfirah ini. Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh ke lubang yang sama.  Jika kita boleh bersungguh-sungguh membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan, seharusnya kita merancang berlipat kali ganda lebih hebat dalam menyambut tibanya Ramadan yang ganjarannya jauh lebih besar; ganjaran akhirat. Manfaatkan peluang Ramadan ini untuk kita mengumpul sebanyak mungkin bekal dan amal, sebagai kekuatan untuk kita bertahan dengan ujian-ujian mendatang.

“During Ramadan you’re only fighting yourselves, your nafs.”

Ingin saya kongsikan satu hadis kegemaran saya sebagai penutup entri ini.

Abu Hurairah berkata,
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ramadan yang bermaksud: “sesiapa yang mendirikan (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”.

Allahumma ballighna Ramadan.
InsyaAllah.


Oleh:
Pelajar Perubatan Tahun 2,
Melaka Manipal Medical College

No comments:

Post a Comment