Saturday 6 June 2015

Ramadhan : Bersiap Siaga


Sejadah sudah habis dibentang. Tinggallah Afiq dan Danial menunggu diruang solat sedang yang lain masih bergilir-gilir mengambil Wudhu’.

“Danial, dah lama kita tak ber’taaruf’.” Afiq bersuara sambil menyelak Al-Quran terjemahannya, seakan mencari muka surat yang dia berhenti membacanya sebelum ini.

Danial yang masih ralek bermain dengan telefonnya tersentap sebentar daripada lamunannya.

“Ahh… dulu, waktu belajar preparation, kita rajin buat taaruf sama-sama antara Maghrib dengan Isyak.” Afiq menyambung. Sudah jumpa muka surat yang dicari.

“Hah, taaruf?” Danial mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kenapa pula si Afiq ini nak taaruf semula. Tahulah aku yang taaruf ini proses jangka masa panjang. Tetapi, tak adalah sampai perlu buat satu sesi khas nak kenal antara satu sama lain semula. Kita dah 3 tahun berkenalan. Aku cukup masak benar dengan perangai dia.

“Bila nak mula balik? Taaruf?” Afiq masih lagi bertanyakan dengan muka seakan tak bersalah apa pun.

“Serius? Taaruf?” Habis berkerut mukanya cuba nak faham apa yang dimaksudkan kawannya itu.

Lama Danial merenung. Datang idea.

Oh, benda itu ke. Nasiblah minda bawah sedarnya masih berfungsi. Nampak Al-Quran. Ingat sikit-sikit pasal waktu kat Malaysia dulu.

“Maksud kau Taddabur ke?”

Afiq yang mendengar soalan itu terus menutup mukanya dengan Al Quran.

“Haa… Taddabur. Taddaburlah…” Malu habis.

“Haha. Patutlah semacam sahaja bunyinya. Taaruflah sangat ya, Afiq?”

Tidak lama kemudian, ruang solat mula didatangi pelajar lain. Wajah Afiq masih merah padam. Dia cuba memberi isyarat kepada Danial supaya tak menceritakan perihal itu kepada orang lain. Jegil-jegil sedikit.

Namun, masa sekarang bukan lagi untuk bergurau senda, kena serius. Cukuplah terleka dengan dunia sebentar. Masanya untuk pupuk diri rendah pada Pencipta.

Iqamah dilaungkan.
Barisan saf diluruskan.
Seragam, takbir diangkat.
Bermulalah menghadap Tuhan.


*****


Memoir Ramadhan.

Sedar atau tidak sedar, kita sudah tinggal kurang daripada 2 minggu untuk menyambut bulan Ramadhan. Ramai daripada kita mengenali bulan ini sebagai bulan berpuasa, bulan untuk beramal soleh, sebagai madrasah untuk mengasah iman dan taqwa, sebagai tarbiyyah ruhiyyah khusus mendidik jiwa. Tidak lari juga dengan tanggapan bulan Ramadhan sebagai bulan dimana masjid-masjid mula meriah.

Pastinya sahabat-sahabat sudah mula mengambarkan memori-memori indah jauh di kampung sana. Setiap malam bergerak bersama-sama keluarga atau sahabat untuk memeriahkan masjid. Ada masjid di kawasan kita yang galak dengan majlis ilmu. Tidak terlupa juga suasana gembira membantu ibu menyediakan santapan untuk berbuka dan berbuka bersama ahli keluarga tersayang.

Itulah antara gambaran norma masyarakat kita tentang Ramadhan.

Namun, Ramadhan apabila difahami sebenarnya lebih daripada mengisi ruang memori indah untuk kita. Sebaiknya, Ramadhan ialah satu tempoh untuk membentuk diri kita menjadi Muslim yang lebih baik dan bertaqwa.

Masing-masing sudah melalui hampir lebih 20 tahun berpuasa. Namun, persoalan yang selalu bermain di fikiran kita ialah bagaimana Ramadhan telah membentuk kita? Apakah kesan Ramdhan terhadap kita?

Ada yang boleh berpuas hati. Ada yang tersingkap sedih kerana tidak memanfaatkannya dengan terbaik pada tahun-tahun sebelumnya. Usah biarkan bisikan syaitan mula menanamkan putus asa terhadap Rahmat Allah. Sangatlah patut untuk kita memanjatkan kesyukuran kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada kita untuk bersama Ramadhan lagi pada tahun ini, insya-Allah. Maka, sebaiknya kita berusaha yang terbaik untuk Ramadhan kali ini seumpama ia menjadi Ramadhan terakhir untuk kita.

Menuju ke garisan penamat bersama

Sahabat sekalian,

Seumpama sebuah pertandingan larian merentas desa. Seseorang yang mahu lariannya konsisten dan baik sehingga ke garisan penamat tidak akan terus berlari tanpa persiapan. Seharusnya, pelari perlu ada latihan berlari atau paling kurang memanaskan badan dahulu sebelum berlari.

Begitulah jua dalam menghadapi Ramadhan. Kita boleh memilih untuk memulakan amal soleh dan bacaan Al-Quran sebaik satu Ramadhan. Tetapi, pecutan sebegitu akan membuatkan kita mudah terasa penat. Hasrat kita mahu memaksimakan sebaik mungkin tempoh itu. Jadi sebaiknya, kita sudah mula melatih diri kita membaca Al-Quran, melakukan ibadah sunat serta puasa sunat sendiri sebelum Ramadhan itu bermula.

Penulisan ini bermula dengan sedikit cerita mengenai Al-Quran. Begitulah hasrat penulis untuk menekankan persediaan kita dengan Al-Quran. Di sini, kita tiada lagi arahan ustaz untuk wajib buat tadarus Al-Quran setiap petang. Sebaliknya, semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jadi, marilah bersama kita mempersiapkan diri kita dengan bermula membaca Al-Quran. Lagi baik ialah sekiranya Ramadhan kali ini kita bukan sekadar membaca Al-Quran tetapi berinteraksi dengan Al-Quran dengan berusaha memahaminya. Inilah konsep dipanggil Taddabur.

[ kredit ]

Apa itu Taddabur? Macamana nak Taddabur?

Ini penulis serahkan kepada para pembaca sebagai tugasan. Kepada yang tidak tahu, rujuklah yang sudah tahu dan yang tahu, usah disimpan lama, beritahu kepada yang tidak tahu.

Ini juga boleh jadi cara untuk mempersiapkan diri.

Sudah rasa terlambat untuk bersiap sedia?

Sahabat, sedang pintu Taubat tidak ditutup sehingga Kiamat, apatah lagi persiapan kita untuk Ramadhan. Sekiranya kita benar-benar jujur mahu membina diri kita. Insya-Allah, Allah akan mempermudahkan urusan hamba-Nya yang mahu berubah.

Usah dilengahkan lagi. Rancanglah persiapan kita sebaik sahaja pembacaan ini berhenti. Rancanglah juga bagaimana mahu memaksimakan peluang Ramadhan ini. Tidak rugi buat yang merancang. Moga kita mengapai Taqwa digarisan penghujung itu. Sekaligus, barulah berasa bernilainya kita apabila melaungkan Takbir pada satu Syawal. Insya-Allah.



No comments:

Post a Comment