Friday 30 January 2015

Mencari Keindahan Disebalik Kejadian


Berapa ramaikah antara kita yang menikmati pemandangan di pantai, yang halus bersih pasirnya, cantik jernih airnya, kelihatan permai di dasarnya dan pada masa yang sama dia memikirkan kekuasaan Yang Maha Pencipta segala keindahan yang disaksikan itu? Berapa ramai pula yang memikirkan jika tanpa dua bebola mata kita ini tidaklah kita mampu melihat keindahan dunia? Dan berapa ramai pula yang melihat kakinya yang dihinggapi pepasir pantai - yang membolehkan dia merasai nikmat berjalan di muka bumi Allah ini? Pernahkah kita terfikir kenapa sekian sekian diciptakan? Apakah tujuan penciptaannya? Apakah hikmah disebalik setiap ciptaan itu?

Terlalu ramai yang terlepas untuk meneliti keindahan atau hikmah disebalik kejadian yang disaksikan. Sedangkan mahu meneliti atau tidak itu adalah pilihan kita untuk menentukannya.

Setiap sesuatu ciptaan Tuhan di alam ini mempunyai sebab ianya diciptakan. Setiap sesuatu kejadian dan ciptaan itu jelas adalah bukti kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta. Hal ini diterangkan dalam ayat Al-Quran :

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Al-Imran, 3:190-191)

Samalah jika kita bandingkan ciptaan tuhan ini dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup kita.

Tidak akan terjadi sesebuah kesenangan, kebahagiaan, kegembiraan, keterujaan, kesedihan, kesakitan, kekecewaan dan kepayahan jika kehadirannya tidak membawa faedah kepada manusia. Apa yang dirasai dalam jiwa saya, jiwa anda yang membaca mahupun segala ciptaan di muka bumi ini, di alam semesta hinggalah kewujudan Syurga dan Neraka sekalipun, semuanya diciptakan mempunyai sebab dan tujuan.

Ramai orang yang apabila mencurah-curah nikmat yang diterima, dia semakin jauh daripada Allah. Kecerdikan, kejayaan, kekayaan, kebahagiaan yang dikecapinya itu, telah membuatkan dirinya terlalu asyik dan hatinya telah terlalu bertaut pada nikmat yang diterima itu. Maka, dalam hal ini, hal keduniaan telah menggantikan tempat yang sepatutnya Allah berada di hatinya. Lalu Allah mampu menjadikan mati hatinya itu buta, gagal melihat betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan padanya, betapa banyak Allah telah membantu hal hidupnya. Sehinggakan dia berasakan segala kejayaan yang dimiliki adalah hasil titik peluhnya sahaja dan dia berasakan dialah yang memiliki sepenuhnya kejayaan yang sebenarnya hanyalah pinjaman sementara itu. Dia telah mengikut hawa nafsunya semata-mata. Hawa nafsunya telah menjadi raja yang memenjarakan dirinya sendiri.

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
(Al-Jaathiyah 45:23)

Boleh jadi nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita adalah untuk kita kongsikan bersama manusia lain. Boleh jadi kekayaan kita itu adalah untuk dikongsikan sebahagiannya bersama dengan yang fakir miskin. Boleh jadi kecerdikan yang kita dianugerahkan itu adalah untuk diajarkan kepada orang lain. Tetapi ramai orang tidak sedar hakikat ini dan telah gagal dalam ujian nikmat ini. Maka, amatlah perlu berhati-hati jika kita dilimpahi kurniaan-Nya. Fikirkanlah mengapa kita dikurniakan nikmat, supaya kita lebih bersyukur dan tidak meletakkan segala macam hal keduniaan itu ke dalam hati kita. Percayalah bahawa jika kita bersyukur, Allah akan menambahkan lagi nikmat. Jika tidak, boleh jadi Allah menambahkan lagi nikmat untuk kita terus leka dalam kesenangan hidup (nauzubillah).

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim, 14:7)

Apabila segala macam bah kesedihan, kekecewaan, kepayahan dan kesakitan melanda hidup kita, janganlah biarkan kita hanyut dalam arus tersebut. Lama-kelamaan kita semakin susah untuk timbul ke permukaan arus dan semakin tenggelam di dalamnya sehingga melemaskan diri sendiri. Jika kita tidak memikirkan apakah keindahan ataupun hikmah disebalik peristiwa yang mendukacitakan ini, maka yang kita nampak hanyalah keburukan pada lahiriahnya sahaja. Sedangkan dalam titisan air mata itu, dalam perit luka yang berdarah itu, tersembunyi hikmah yang amat besar yang Allah ingin kurniakan kepada kita. Manusia akan mudah mencari Tuhan apabila ditimpa musibah ataupun ujian. Jadi janganlah kita merugikan diri sendiri jika ditimpa ujian. Jika jatuh, carilah kekuatan untuk bangun semula. Jika rasa tidak mampu untuk bangkit, janganlah berputus asa. Biar jatuh berkali-kali, asalkan kita terus berusaha untuk bangun semula. Lambat laun, Allah pasti akan membantu kita jika kita benar-benar memohon pertolongan daripada-Nya, asalkan bukan memohon daripada ciptaan-Nya.

Mungkin kekecewaan yang berlaku adalah untuk mengajar kita agar tidak bergantung pada manusia. Mungkin kesedihan yang berlaku adalah untuk mendidik kita supaya lebih berusaha dalam hal yang kita kerjakan. Mungkin keperitan yang dialami adalah untuk mengajar kita untuk tidak mengejar cinta selain Tuhan, sebaliknya meletakkan Allah Yang Satu dalam hati sanubari kita. Sungguh, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada tujuan. Tidak sia-sia pengalaman pahit yang kita rasakan. Jangan sesekali mengatakan “aku menyesal… kalau dulu aku tak sekian sekian sekian…… mesti aku sekarang…..” kerana itu tandanya kita tak menerima takdir Tuhan. Syukurlah apabila menerima ujian. Kerana kita insan terpilih, diuji untuk dibawa ke syurga.

Sahabat sekalian,

Antara resepi KETENANGAN dalam hidup adalah memandang baik ciptaan tuhan dan mencari keindahan disebalik setiap peristiwa yang terjadi dalam hidup ini. Jika perkara kebaikan menjelma, jangan diagungkan hal itu, Sebaliknya, agungkan lah Yang Maha Pemberi Rezeki itu. Kerana kekayaan, kejayaan dan sebagainya itu adalah sementara. Allah itu yang abadi. Jika keburukan menimpa, ingatlah yang itu juga sementara. Matahari kan bersinar kembali. Allah pasti akan membawa kita ke jalan keluar dari setiap sengketa kita. Bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah mengikut prasangka hamba-Nya.

“Aku adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku di khalayak ramai, aku akan mengingatinya di hadapan khalayak ramai yang lebih mulia, iaitu para malaikat dan para nabi. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekati-Nya dalam keadaan berlari.”
(HR. Bukhari dan Muslim)

Sematkan di dalam hati bahawa setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah. Setiap orang berbeza-beza jalan hidupnya, berbeza-beza juga ujian hidupnya, berbeza-beza cabaran, tapi pengakhiran kita mahukan yang sama iaitu Syurga. Lihatlah segala yang berlaku dalam hidup kita ini adalah untuk membawa kita syurga. Reaksi kita terhadap kesenangan dan kesusahan yang berlaku ke atas kita pun mestilah juga reaksi yang boleh membawa kita ke syurga. Bagaimana kita hendak ke syurga jika kita mendustakan nikmat Allah atau berputus asa dalam kesusahan? Tanyalah iman dan hati sendiri.



Akhir kata, jalanilah kehidupan ini seperti seorang yang memerhatikan sesebuah lukisan. Sama ada baik atau buruk pun lukisan itu, cubalah memerhatinya dengan teliti. Jangan sekadar lihat dan pergi, tanpa mengambil apa-apa nilai daripadanya. Lihatlah lembaran lukisan itu dari setiap sudut, meniliti setiap bentuk dan menghargai setiap warna yang ada padanya. Kerana sesebuah lukisan itu dilukis untuk menyampaikan mesej kepada pemerhati. Mesej itu ingin disampaikan oleh si pelukis melalui sebuah lukisan. Perhatikanlah dan telitilah. Supaya kita dapat menyelami mesej yang si pelukis hendak sampaikan kepada kita. Secara tak langsung, akhirnya kita mengenali siapakah dan bagaimanakah sifat si pelukisnya. Begitulah jua dalam kehidupan. Allah (Si Pelukis) memperlihatkan kepada kita bermacam kejadian dan peristiwa (lukisan) dalam hidup ini. Kita sebagai manusia (pemerhati lukisan) harus mengamati setiap kejadian dan peristiwa itu supaya kita dapat menerima mesej/teguran daripada Allah. Akhirnya barulah kita tahu, Allah memperlihatkan kepada kita macam-macam perkara adalah kerana Allah sayangkan kita sebagai hamba-Nya. Oleh sebab itu, tugas-Nya adalah menegur kita melalui ujian nikmat dan kesusahan sebagai tanda kasih dan sayang-Nya.

Wallahua’lam.



Disediakan oleh,
Kadoq



No comments:

Post a Comment