Saturday 7 February 2015

Ibrah Peperiksaan


Segala puji dan syukur kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana memberikan peluang untuk meneruskan hidup dan menyampaikan sedikit pesanan daripada diri yang kerdil ini, Alhamdulillah. Memandangkan sekarang adalah musim peperiksaan bagi kebanyakan pelajar MMMC, kita akan berbicara tentang peperiksaan.

                Menjadi pelajar di mana-mana jua, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kita akan diuji dengan ilmu yang telah kita pelajari dengan mencurahkan semuanya ke atas kertas yang kebiasaannya berdurasi 2 jam. Hampir setiap kali duduk dan keluar dari dewan peperiksaan, pernahkah kita terfikir apakah ibrah terbesar yang kita peroleh daripada menduduki peperiksaan? Bagi saya, ibrah terbesar yang boleh diperoleh adalah sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah S.W.T. Saya mula diketuk dengan persoalan ini beberapa tahun lalu apabila ditanyakan kepada saya oleh seorang sahabat yang saya kasihi kerana-Nya. Berapa ramai antara kita yang meletakkan sepenuhnya pengakhiran (keputusan) kita ditentukan oleh Allah, bukan dari unsur-unsur luar?

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal Sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”
(Surah Al-Ankabut : ayat  41)

                Namun begitu, jangan disalahertikan ayat di atas. Ayat di atas tidak bermaksud kita boleh leka dan bersenang-lenang menyerahkan segalanya untuk ditentukan Allah S.W.T tanpa berusaha langsung.  Allah menuntut kita untuk berusaha dan bekerja keras sebagaimana makhluk lain ciptaan-Nya. Islam tidak suka akan orang yang bermalas-malasan dan tidak bersemangat. Makanya, untuk menjadi seorang mukmin yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya, kita perlulah bersegera dalam setiap urusan dan bersungguh-sungguh dalam susah dan senang.

“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….”
(Surah Ar- Ra’du : ayat 11)

Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah…
(Surah At-Taubah : ayat 41)

                Dengan meletakkan ibrah tersebut dalam setiap sisi kehidupan kita, kita pasti tidak akan berasa lelah dan kecewa meskipun kadang-kadang kehidupan ini tidak mengikut rentak dan perancangan kita. Itu adalah kerana kita yakin akan ketentuan-Nya dan percaya apa yang ditetapkan itu pastilah yang terbaik untuk kita. Cubalah dan amalkan, pasti anda akan berasa setiap sudut kehidupan ini indah dan Allah sentiasa bersama dalam memimpin langkahmu.


Oleh itu,setelah berusaha sehabis upaya, bulatkanlah tekad dan yakinlah dengan bantuan Allah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong dan hanya kepada Allah kita boleh bertawakal. Bersusah-susahlah di dunia kerana hasil yang akan kita tuai di akhirat itu. Semoga jihad kita dalam menuntut ilmu ini dipandang untuk dijadikan saham di akhirat sana.

“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).”
(Surah at-Thalaq : ayat 3)








No comments:

Post a Comment