Saturday 28 February 2015

Cuti dan Masa Lapang

Seringkali kita dengar bahawa masa itu selalu dibandingkan seperti emas. Hal ini kerana, kita perlu membelanjakan masa itu dengan perkara-perkara yang berfaedah supaya kita mendapat manfaat daripadanya. Ia seperti wang ringgit di mana kita perlu membahagikannya mengikut keperluan dan sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah SAW :

"Daripada Ibn Abbas RA berkata : telah bersabda Rasulullah SAW : "dua nikmat yang kebanyakan manusia sering lupa dan lalai, iaitu nikmat sihat dan nikmat lapang." 
(riwayat Bukhari)

KENAPA SIHAT DAN MASA LAPANG?

Kesihatan

Apabila kita sihat, sudah tentu kita dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti beribadah kepada Allah, riadah dan sebagainya. Pada waktu ini, kita akan lalai kerana kita masih mampu berdiri untuk melakukan urusan dunia. Bayangkan, jika kita mempunyai seluruh harta di dunia, tetapi kita terlantar di hospital kerana sakit. Sudah tentu kita tidak dapat melakukan apa-apa aktiviti dan pada waktu inilah baru kita sedar bahawa nikmat kesihatan itu hanya milik Allah.

Masa Lapang

Kita sering mengeluh apabila kita dibebani dengan pelbagai tanggungjawab dan urusan dunia kerana kita tidak ada masa untuk melakukan perkara yang kita ingin lakukan. Sehinggakan kita tidak ada masa untuk berehat, menghabiskan masa dengan keluarga dan berhibur. Setiap manusia di muka bumi ini dikurniakan 24 jam sehari, tetapi kenapa ada orang yang sibuk dan ada orang yang banyak masa lapangnya. Inilah nikmat masa lapang, di mana kita akan hargainya apabila kita berasa sempit dengan pelbagai urusan.

Berbagai-bagai perkara yang boleh melalaikan kita daripada nikmat masa lapang. Boleh jadi masa lapang kita dilalaikan dengan melepak, tanpa ada perkara-perkara yang berfaedah yang diisi padanya. Bermacam-macam perkara yang memungkinkan kita melalaikan nikmat masa lapang yang dikurniakan Allah.

Oleh itu, kita harus mengisi masa lapang kita sebaiknya. Untuk itu, saya ingin mencadangkan beberapa aktiviti yang sesuai untuk dilakukan sepanjang musim cuti ini.

(i) MENGEMBARA

"Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah."
(Surah Al Mu'min  21)

Benarlah kata orang tua bahawa 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Banyak ibrah yang boleh kita ambil dengan melawat tempat yang bersejarah dan mempelajari daripada yang terdahulu.

(ii) MEMBACA DAN BELAJAR

Setelah beberapa bulan kita menelaah buku perubatan yang begitu banyak sekali, tidak salah sekiranya kita membaca buku hal-hal agama, hobi, dan apa sahaja yang bermanfaat.

(iii) BEKERJA SAMBILAN

Cari kerja di mucim cuti bukan bertujuan untuk menjadi kaya, tetapi untuk mencari pengalaman bekerja dan memahami kesusahan ibu bapa kita mencari sesuap nasi untuk kita. Pengalaman yang kita dapat hari ini mungkin berguna apabila kita memasuki alam kerjaya kelak.

Kesimpulannya, kita harus beringat bahawa waktu cuti semester ini adalah nikmat masa lapang yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Sekarang, hanya kita sendiri yang menentukan hala tuju kita waktu cuti ini. Rancanglah cuti kita pada kali ini sedang sebaik-baiknya. Isilah masa lapang itu dengan pelbagai perkara yang berfaedah. Semoga cuti kali ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

[ kredit]

Akhirul kalam, selamat bercuti dan selamat beramal!

No comments:

Post a Comment