Saturday 21 February 2015

Harapan Itu Selalu Ada

“Setiap orang punya masa lalu, masa sekarang dan masa depan.”

3 fasa masa ini boleh jadi sama sahaja ataupun berbeza. Berbeza itu sama ada berubah daripada baik kepada tidak baik ataupun sebaliknya. Sama itu pula boleh jadi sentiasa baik ataupun sentiasa tidak baik.

Benar, setiap orang ada masa silam mereka sendiri. Aku, kau, mereka, masing-masing punya masa silam sendiri. Siapa kita untuk menjadi hakim kepada seseorang hanya berdasarkan masa silam mereka?

Boleh jadi masa depan mereka lebih baik berbanding kita. Siapa tahu?

Boleh jadi masa depan kita lebih buruk berbanding mereka. (Nauzubillahi min zalik). Siapa tahu?

Untuk itu, saya tulis cebisan ini khas untuk anda yang ingin berubah.

Untuk anda yang ingin berubah.

Saya faham, kadang kala kita berasa sangat tidak mampu untuk berubah. Kita rasa bahawa terlalu banyak dosa yang kita telah buat sehingga sampai satu saat, kita rasa yang dosa-dosa kita tidak akan diampunkan oleh-Nya. Juga, terdapat buah mulut orang-orang sekeliling yang menyatakan sedemikian rupa.

“Kau ni memang tak ada harapan nak berubah. Dosa kau pun entah diampunkan atau tidak.”

Tenang sahabat. Mereka bukan Tuhan, tahu sama ada dosa kita diampunkan atau pun tidak. Tuhan kita ada di atas sana. Minta sahaja dengan Dia.

Walau seteruk mana pun kita dahulu, itu adalah masa silam kita. Kita bukan ada kuasa untuk kembali memperbetulkan kesilapan kita yang lepas. Masa yang telah lalu itu biarkan berlalu. Namun, jangan ditinggal terus, sekali sekala singkaplah ia agar menjadi pengajaran dan peringatan buat kita di masa depan.

Kita perlu ingat bahawa kita masih ada masa sekarang dan masa depan. Kita memang tidak mampu membetulkan kesilapan lalu. Tetapi, kita boleh merancang masa hadapan kita supaya tidak menjadi seperti masa lalu. Kita mampu mencorak kembali kain kita mengikut acuan Islam yang sebenar. Syaratnya, kain itu perlulah dibasuh terlebih dahulu sebersih-bersihnya.

Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh memohon ampun daripada-Nya atas segala kesilapan yang telah kita lakukan dahulu. Kita buat taubat nasuha. Dan kita perlu faham bahawa bilamana kita melakukan taubat nasuha, kita telah berazam untuk tidak mengulang kembali dosa-dosa yang kita telah lakukan.

Wahai sahabat, harapan itu selalu ada. Saya bawakan kisah Fudhail bin Iyadh untuk kita renungi bersama.

Fudhail bin Iyadh ini berasal dari Baghdad. Asalnya merupakan seorang penyamun. Dia akan menghalang orang-orang yang lalu di antara daerah Abu Warda dan Sirjis lalu menyamun mereka. Kadang kala dia akan memecah masuk ke rumah-rumah dan merompak harta benda mereka. Nak cerita betapa hebatnya Fudhail ini merompak dahulu, dia tidak memerlukan teman untuk menyamun bersama dengannya. Walaupun menyamun secara seorang diri, dia tetap ditakuti oleh orang ramai biarpun mereka berjalan secara berkelompok.

Pada suatu malam, ketika Fudhail sedang menyelinap masuk ke rumah perempuan yang dia sukai, dia terdengar seseorang membaca Al-Quran.

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَمَانَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلاَيَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ اْلأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Al-Hadid : 16)

Tatkala mendengar sahaja ayat ini, Fudhail gementar dan berkata, “tentu sahaja wahai Rabb ku, telah tiba saatnya aku bertaubat…

Ayat inilah yang telah menyedarkan Fudhail bin Iyadh dari kelalaian yang panjang sehingga akhirnya dia masuk Islam dan menjadi ulama senior dalam kalangan tabi’in. Malah, dia juga dikenali sebagai ahli ibadah yang zuhud.

Jadi, apa lagi yang kita tunggu? Masih belum sampaikah masanya untuk kita kembali kepada fitrah kita sebagai manusia itu sendiri?

Wahai sahabat, Allah itu Maha Pengampun. Pintu keampunan-Nya sentiasa terbuka untuk hamba-hamba-Nya yang ingin bertaubat. Masih belum terlambat untuk kita membetulkan segala kesilapan kita. Masih belum terlambat juga untuk kita mencorak kembali masa depan kita agar kembali mengikut acuan Islam yang sebenar.

Jika bukan sekarang, bila lagi?

[kredit]

 

No comments:

Post a Comment