Saturday, 17 January 2015

Yakinlah dan Pejamkan Mata!


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi dikurniakan nyawa dan dapat bersama-sama menjalani kehidupan dengan orang-orang yang tersayang. Allahumma solli ‘ala Muhammad, selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Maha Suci Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia serta menjadikan umur kita semakin bertambah setiap hari. Tidak ada sesiapa yang akan menjangka apa yang akan berlaku pada esok harinya secara tepat. Ya, mungkin boleh mengagak, tetapi Allah yang menentukan segalanya.

Kadang kala, perkara yang kita rasa kita tidak mampu buat, tetapi jika Allah izinkan ia berlaku, ia tetap akan berlaku. Kemudian, ada juga orang yang berasa yakin dengan kekuatan dan kebolehannya, tiba-tiba dia gagal dalam hidupnya.

_____________________________

Dalam agama, antara perkara yang ditekankan dalam bab akidah adalah tawakkal. Konsep tawakkal ini ialah berserah diri kepada Allah dengan meletakkan sepenuh kebergantungan kita hanya kepada Allah setelah melalui fasa usaha dan berdoa. Betapa iman manusia itu tidak akan sempurna tanpa meletakkan Allah sebagai tempat bergantung harap. Ya, manusia disuruh untuk berusaha, tetapi manusia perlu faham dan yakin bahawa di atas segala usahanya, ada kuasa lebih besar yang menentukan keberjayaannya dalam sesuatu perkara yang dilakukannya, yakni Allah swt.


Merujuk kepada potongan ayat 2 dan 3 dari Surah At-Talaq ini, Allah ingatkan kepada kita, siapa yang bertakwa kepada Allah, maka Dia akan jadikan untuknya jalan keluar dan Allah akan beri rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Allahu akbar!

Cuba kita senaraikan berapa banyak nikmat yang Allah telah berikan tanpa kita sedar dan tanpa kita minta.  Betapa Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada kita semua kerana Dia ar-Razak, Maha Pemberi Rezeki. Maka, sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, cukuplah Allah baginya.

Sesungguhnya, tawakkal itu adalah keajaiban hidup. Nabi mengajar kita satu doa,



Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan Maha berdiri sendiri,
Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan,
Perbaikilah untukku urusanku semuanya,
Dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

Apabila Allah yang mentakdirkan untuk kita urusan kita, masya-Allah, pasti semuanya akan menjadi cantik dan tersusun! Tetapi, kadang kala Allah akan uji hidup kita dengan berbagai-bagai ujian sehinggakan kita tidak mampu untuk menghadapinya. Disaat kita tidak bisa lagi berdiri, pejamkanlah mata dan ucaplah “Hasbunallah wa nikmal wakeel”. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baiknya penolong dan pelindung bagi kami. Jika kita fikir, sudah berapa banyak ujian yang telah kita lalui dalam hidup ini, tetapi hari ini Allah bantu kita keluar daripadanya.

______________________________

Pada malam yang tegang di padang Badar, terdengar esakan Sang Nabi, “Ya Allah,” lirihnya dengan mata berkaca, “Jika Engkau biarkan pasukan ini binasa, Kau takkan lagi disembah di muka bumi ini! Ya Allah, kecuali jika Engkau memang menghendaki untuk tidak disembah lagi dimuka bumi!” Gementar bahu itu dengan esakannya sehingga selendang dibahunya jatuh seiring dengan gigilan tubuhnya. Dan Abu Bakar, lelaki yang imannya tanpa retak itu datang kepada Rasul Allah, “sudahlah ya Rasulullah, demi Allah, Dia takkan pernah mengingkari janji-Nya kepadamu!”

Rasakanlah getaran doa Sang Nabi, yang mana upayanya nyaris melampaui batas ikhtiar manusiawi.

Ayuh sahabat, marilah kita berusaha sedaya upaya. Namun, jangan lupa untuk meminta dan merintih kepada Allah, Dia Yang Maha Kuasa.

“ya Allah, tolong aku…
“ya Allah kasihanilah aku…
“ya Allah bantulah aku…
Allah adalah sebaik-baik tempat meminta.

Iman adalah mata yang terbuka,
Mendahului datangnya cahaya
Tapi jika terlalu silau, pejamkan sahaja matamu,
Lalu rasakan hangatnya keajaiban!
-salim A.fillah-



Sunday, 11 January 2015

PILIHAN ALLAH ITU YANG TERBAIK

Alhamdulillah, syukur kepada Allah sebagai pemilik sekalian alam kerana masih memilih kita untuk terus hidup bernafas dan berjuang di bumi milik-NYA. Baiknya Allah kerana Dia Maha Kaya dengan sifat pemurah dan belas kasihan iaitu “Rahman” kepada seluruh manusia tanpa seorang pun yang diabaikan-Nya. Terpulang kepada manusia untuk membuat pilihan sama ada untuk terus patuh dan taat kepada-Nya atau mungkar kepada setiap seruan-Nya. Jikalau manusia berupaya untuk membuat pilihan dalam hidupnya, bagaimana pula dengan pilihan Allah untuk manusia?

Pilihan Allah adalah yang terbaik. Tiada sianya dalam Allah menciptakan sesuatu untuk hamba-Nya. Boleh jadi seseorang yang ditimpa dengan takdir yang menyakitkan dan tidak disukai oleh dirinya menjadi tidak sabar, berasa sedih dan mengira bahawa takdir tersebut adalah sebuah pukulan yang akan memusnahkan setiap harapan hidup dan cita-citanya. Akan tetapi, setiap kali kita melihat di sebalik putus asanya seseorang itu, ternyata Allah memberikan kebaikan kepadanya dari arah yang tidak pernah disangka-sangka. Sebaliknya, berapa banyak pula kita melihat seseorang yang berusaha keras dalam mendapatkan sesuatu yang kelihatannya baik, berjuang mati-matian untuk mendapatkannya, akan tetapi yang terjadi adalah di sebalik daripada apa yang dia inginkan. Sungguh Allah telah berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al Baqarah:216)

[kredit]

Mungkin cerita di bawah ini boleh jadi pengajaran berharga bagi kita walaupun kebenaran cerita ini belum diketahui kesahihannya namun kita boleh memetik ibrah berharga dari cerita ini bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik.

Suatu masa, ada seorang Raja yang sangat menyayangi rakyatnya. Setiap kali rakyatnya mendapat musibah dia selalu mengatakan bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik, sehingga hati rakyatnya menjadi lapang apabila mendengar hal ini.

Pada suatu hari, Sang Raja mendapat musibah iaitu jari tangannya telah putus, lalu Sang Raja mengadu kepada salah seorang menteri kesayangannya. Menteri tersebut mengatakan kepada raja akan hal yang sama raja katakan kepada rakyatnya iaitu pilihan Allah adalah yang terbaik.

Mendengarkan hal ini, Raja murka dan memenjarakan perdana menteri tadi. Pada suatu hari, Raja bersama pasukannya pergi berburu dan mereka tersesat jauh di dalam hutan dan ditangkap oleh sekelompok penyembah roh. Satu persatu pasukan Raja disembelih untuk dipersembahkan ke dewa penyembah roh tadi sehingga apabila tiba giliran Sang Raja untuk disembelih, melihatkan jari Sang Raja yang putus, mereka tidak jadi menyembelih raja kerana dianggap cacat. Akhirnya Raja selamat dan kembali ke istananya.

Raja segera membebaskan menteri yang dipenjarakan tadi dan berkata “benar apa yang engkau kata wahai menteri, pilihan Allah adalah yang terbaik”. Kemuadian Sang Raja menceritakan apa yang terjadi kepada dirinya kepada menteri tadi lalu Sang Raja bertanya kepada menterinya itu, “apakah penjara bagimu adalah yang terbaik daripada pilihan Allah?” Sang menteri menjawab, “benar wahai raja, pilihan Allah adalah yang terbaik”.

Sang Raja bertanya terus “apakah hikmahnya bagimu wahai menteri?” Menteri menjawab, seandainya saya tidak masuk penjara tentunya saya akan ikut bersama raja berburu dan tentunya saya sudah disembelih bersama pasukan lainnya. Namun Allah menyelamatkan saya dengan memasukkan saya ke dalam penjara.

Begitulah sahabat, apa yang nampak pahit di mata kita, ternyata penuh kebaikan di hadapan Allah dan sebenarnya Allah berikan kebahagiaan yang sangat berharga akan setiap pilihan-Nya. Indah bukan perancangan Dia?

Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Bukankah kita sepatutnya melihat hikmah yang begitu besar di sebalik semua itu?

Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa  bersyukur, berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku, selalu berfikiran positif kepada Allah, tidak berprasangka buruk akan setiap pilihan-Nya dan sentiasa tabah atas ujian dan tribulasi daripada-Nya sehingga kita berjaya memetik hasilnya di dunia mahupun di pintu syurga kelak. Amin.

Wallahualam.

[Tinta seorang Mujahadah]

Friday, 2 January 2015

RASULULLAH CONTOH IKUTAN TERBAIK



Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk sampai ke sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang sudah entah ke berapa kalinya kita sambut sepanjang kehidupan kita. Walau betapa banyak kalinya kita sambut, persolannya adakah Rasulullah sudah berada dekat dalam hati kita?  Adakah siang dan malam kita seperti siang dan malam baginda? Adakah bibir kita sudah terbiasa memberikan senyuman sebagaimana baginda yang terkenal dengan murah senyumannya? Yang paling penting sekali, berapa banyakkah sunnah-sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita telah kita amalkan? Tepuk dada, tanya iman masing-masing.

                Wahai sahabat-sahabat sekalian, para ulama bersepakat untuk mengadakan sambutan Maulidurrasul setiap tahun bukan untuk mempertuhankan mahupun memuja-muja Rasulullah s.a.w. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kita bahawa kita ada Rasulullah. Kita punya seseorang untuk kita ikuti. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita terkapai-kapai saat ujian diberikan. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar konflik. Seringkali sahaja kita menjadikan hawa nafsu kita sebagi raja dan kita sebagai hamba. Tanpa sedar, kita sendiri yang meletakkan nilai diri kita pada tahap yang sebegitu rendah.  Pada saat kita bermasalah, emosi kita menguasai diri dan menjadikan akal sukar untuk membuat keputusan. Apabila kita punya masalah, kita berharap bahawa orang sekeliling kita akan membantu. Kita perlu ingat bahawa setiap orang punya konflik masing-masing. Apabila kita terlalu berharap pada orang lain tetapi orang tersebut tidak bertindak seperti yang kita harapkan, akhirnya kita akan berasa kecewa dan melihat dunia ini serabut serta bercelaru. Lalu kita cuba menguruskannya sendiri dengan ‘fatwa’ rekaan sendiri.

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab:21)

                Turunnya Rasulullah s.a.w. adalah sebagai suri teladan seperti dinyatakan dalam ayat al- Quran di atas. Suri teladan bermakna memberi contoh yang baik. Serabutnya kita adalah kerana kita jauh dengan Rasulullah s.a.w. Kita lupa akan baginda. Kita lupa bahawa ada seseorang yang telah mengajar kita menjadikan agama sebagai paksi kehidupan.

Apabila kita menguruskan sesuatu perkara, perlu kita ketahui bahawa antara cara terbaik untuk menguruskan urusan kita adalah dengan menggunakan konsep perceptual position. Kita cuba untuk meletakkan diri kita di luar masalah kita dan melihatnya sebagai orang ketiga. Lalu perlu untuk kita berfikir, bagaimanakah cara yang akan Rasulullah s.a.w akan lakukan jika baginda berada di tempat kita. Jika kita berterusan tenggelam dalam lingkungan masalah kita sendiri, maka kita tidak akan perasan cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Kebiasaannya, manusia lebih bijak mengkritik orang lain kerana mereka cukup mahir dalam berperanan sebagai orang ketiga. Namun yang lebih hebat lagi ialah kita menjadikan baginda sebagai orang ketiga tersebut. Dengan izin Allah s.w.t., dada kita akan menjadi lapang dan kita akan menjadi orang yang lebih bahagia. Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w kerana kita mengikuti cara baginda. Setiap perkara yang baginda lakukan mempunyai rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri. Cubalah mengamalkannya dengan penuh yakin dan istiqamah. Moga-moga kehidupan kita akan menjadi lebih baik dengan meletakkan Rasulullah s.a.w dekat dengan kehidupan kita kerana ini adalah kunci kepada kejayaan kita di dunia dan akhirat, insya-Allah.

Dalam kita menyambut maulidur rasul ini, marilah kita perbanyakkan lagi selawat dan salam kita kepada baginda. Moga-moga amal yang sedikit ini mampu menjadi asbab kepada pertolongan baginda di akhirat kelak. Wallahu’alam.


اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍ