Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al alaq yang
bermaksud “bacalah, sebutlah dengan nama
tuhanmu yang menciptakan”. Wahyu pertama ini diturunkan tatkala nabi
Muhammad masih bertatih mencari makna dan tujuan hidup. Bagi seorang yang tidak
tahu menulis mahupun membaca sepertimana Nabi ketika itu, amatlah sukar baginya
untuk membaca. Namun Allah tuhan sekalian alam tetap memerintahkan Nabi untuk
membaca. Perkataan ‘baca” itu sendiri sudah membawa seribu satu persoalan.
Apakah yang harus dibaca? Ilmu apakah yang perlu didahulukan dalam pembacaan?
Sekerap manakah kita perlu membaca? Persoalan demi persoalan mula timbul di
benak fikiran sang pembaca.
Namun apa yang ingin ditekankan oleh penulis dalam
coretan ini ialah membaca itu adalah satu perbuatan yang subjektif. Keupayaan
dan kebijaksanaan kita dalam membaca dapat mengubah bukan sahaja diri kita,
malah membantu menyelesaikan beribu macam permasaalahan yang timbul tatkala
kita meniti perjalanan hidup ini. Hendaklah kita ketahui bahawa membaca itu tidaklah
hanya terhad kepada buku dan seumpanya. Janganlah kita berdengus “ah! Buku
chaurasia pun aku tak pernah baca, inikan pula nak baca benda lain”. Wahai
generasi Y, bukalah mindamu, luaskan daerah pemikiranmu, singkaplah jendela
kebijaksanaanmu. Sungguh kehidupan ini bukanlah hitam putih. Jika kita masih
berada di takuk itu, maka amatlah mustahil bagi kita melihat warna kehidupan
yang kian lama terbentang dihadapan kita.
Antara konsep membaca yang perlu dikuasai ialah
membaca situasi. Skop membaca situasi ini adalah amat luas dan memakan masa
yang lama untuk penulis rungkaikan. Kemahiran menaip penulis juga adalah cikai
sahaja. Ilmu yang ada pun hanyalah secangkir. Usia pun baru setahun jagung,
darah masih setampuk pinang. Tapi penulis akan cuba sehabis baik.
Sahabat adalah antara insan yang paling hampir dalam
hidup kita sebagai sang penuntut ilmu. Bagi kita yang berada di perantauan ini,
sahabatlah yang kerap mendampingi kita. Dalam pergaulan, gurau senda, tawa
mesra yang dikongsi bersama sahabat kita, maka kita harus belajar cara untuk
membaca situasi. Ada kalanya sahabat kita berkerut jika jawapan class test
dibincang sejurus selepas tamat peperiksaan. Maka hendaklah kita membaca
situasi ini dengan bijak. Fahamilah bahawa sahabat kita tidak selesa jika kita
berbincang sedemikian. Maka elaklah daripada berbincang soal class test dihadapannya. Sembanglah
mengenai perkara lain seperti ramalan kaji cuaca pada hari itu. Jika masih mahu
berbincang juga, maka bincanglah dengan rakan lain yang serumpun dengan kamu
wahai anak adam.
Setiap insan dikurniakan dengan kelebihan
masing-masing. Adapun dalam situasi kita sebagai mahasiswa, kita asik dibayangi
oleh kurikulum pembelajaran kita. Untuk berjaya menelusuri bidang ini, kita
hendaklah bijak membaca situasi. Jika kita berada di dalam kelompok pelajar
yang memperolehi markah yang cemerlang, maka hendaklah kita turun membantu
rakan-rakan yang masih merangkak dalam pelajarannya. Keluarkan mereka dari zon
bahaya. Bantulah mereka agar tidak perlu mereka merangkak lagi. Berlarilah
bersama menuju Menara gading. Sebaliknya, jika kita berada di dalam zon bahaya,
hendaklah kita bijak membaca situasi ini dan mulalah mencari sahabat yang mampu
untuk membantu kita. Bak kata Leonardo DiCaprio “you jump, I jump”. Kita menang
sama sama, kita kalah sama sama.
Wang adalah satu jenis material yang hampir mustahil
bagi kita untuk tidak menggunakannya. Sebagai seorang penuntut ilmu, kebanyakan
dari kita tidak mempunyai sumber pendapatan. Kita masih lagi meneguk dari ibu
bapa, duit kerajaan dan seumpama dengannya. Jadi masalah kewangan ini kerap
kali menghantui sebilangan besar dari kita. Ada kalanya rakan kita ketandusan
wang. Maka elakkanlah daripada mengajaknya untuk menyertai aktiviti-aktiviti
yang memerlukan wang. Kerna rakan itu akan punyai rasa bersalah jika dia
menolak pelawaan kita. Tapi dia juga akan keberatan untuk sertai kita kerana
dia sedang kekurangan wang. Jadi dalam situasi ini, bacalah dengan bijak. Sama
ada tidak mengajak rakan kita itu atau kita belanja sahaja rakan kita itu.
Banyakkan sedekah. Semoga Allah memberi balasan syurga buat pendambanya.
Membaca situasi adalah vital dalam kehidupan
seharian kita. Ibubapa perlu bijak membaca situasi anak anaknya, Guru perlu
bijak membaca situasi anak muridnya, Seorang doktor perlu bijak membaca situasi
pesakitnya, Seorang pemimpin perlu bijak membaca situasi rakyatnya dan yang
paling penting, kita perlulah bijak membaca situasi diri kita sendiri.
Pelbagai lagi situasi yang memerlukan kita untuk
mengaplikasikan pembacaan situasi ini. Tak kira di mana pun kita berada hatta
di puncak gunung Fujiyama sekalipun, kita hendaklah bijak membaca situasi. Tak
kira dengan siapa sekalipun, ibu bapa, sanak saudara, rakan taulan, guru
pendidik hatta dengan aunty your choice sekalipun kita perlu bijak membaca
situasi.
Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan
diduga. Jika kita tidak menguasai ilmu membaca situasi ini, janganlah kita
anggap bahawa kehidupan kita sudah sempurna. Usah bermimpi di siang hari wahai
pemuda. Bangunlah dari perbaringan mu itu, beradalah di perbatasan. Teguklah
sebanyak mana pun ilmu yang mampu sebagai bekalan tika kemarau berhembus. Hancurkan
segala fatamorgana dan pijaklah di bumi yang nyata. Tadahlah tanganmu, gerakkan
bibir mugilmu untuk berdoa pada sang pencipta. Bumikan dahimu, sujud pada
pemilik alam. Semoga kita sama sama peroleh ilmu dan petunjuk dari Allah s.w.t
“Jika kamu inginkan dunia hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan
akhirat hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan
ilmu.”
~ Imam Syafi’I ~
~ Imam Syafi’I ~
-abanghisyam-
No comments:
Post a Comment