Friday 1 January 2016

Nota Ringkas Tahun Ini


Aku berdiri dipenjuru sebuah bilik,
Bertemankan cahaya yang serba samar,
Berhadapan sebuah jendela yang luas,
Rapat dengan jendela itu melintang sebuah katil yang empuk mata memandangnya,
Dingin biliknya terasa seperti tiupan angin sejuk dari utara,
Menerusi jendela itu aku menatap,
Tompokan cahaya putih diselubungi gelap malam.

Mataku tertarik pada sebuah almari disebelah kirinya,
Pintunya terbuka,
Menarik diri untuk melihat apa yang ditawar.
Kulihat didalamnya bersangkutan tiga pakaian berbeza.
Aku mengamati pakaian itu,
Libur, formal dan lagi satu…

Oh,maaf,aku kena fikirkan sebentar dahulu,
Mataku beralih kembali ke jendela berlangsir lesu,
Merenung dan menelaah apa yang boleh dilihat lebih dari itu.

Manusia.
Keluarga. Sahabat. Sekeliling.
Masyarakat. Negara. Dunia
Kebijaksanaan dan kejahilan
Keimanan dan pertarungan.
Keadilan dan kezaliman
Sejuk dan panas. Hah, orang asyik berbicara ekstrim itu panas sahaja.

Tanggungjawab. Terhenti sebentar.
Tanggungjawab itu pilihan. Pilihan untuk memikul sebaiknya,
Atau pilihan untuk melihat ia punah pada tangan bukan ahlinya.
Pilihan untuk mengambil tanggungjawab dengan amanah,
Atau mengambil tanggungjawab itu dengan culas.
Kita boleh pilih dan kita boleh merasai dapatannya,
mungkin anak cucu kita?

Kita. Aku tidak faham mengapa Al Kitab bicara kita ini sebaik-baik makhluk,
Namun hari ini kita begitu lemah beralasan kerna sedia adanya kita.
Aku percaya kita kuat, cuma hari ini kita tak dapat melihatnya kerna kita takut.

Ketakutan.
Itulah yang menyembunyikan potensi kita sebaik-baik makhluk ini.
Kita menipu diri kita dengan watak ego yang berani.
Kita terlalu lama bermain-main dengan ketakutan,
Ibarat gelapnya malam,terlupa siang akan kemari.

Heh. Mengapa aku disini?
Aku menyambar pakaian di dalam almari tadi,
Bukan libur untuk selesa, bukan formal yang hanya memisahkan aku dengan realiti.
Aku memilih yang ketiga,
Kerna ketiga itu lengkap. Ia bukan sahaja boleh dikenakan untuk libur dan formal,
Tetapi menyeluruh,
dia membawa aku kepada matlamat yang paling jelas.
Tanpa bermuka-muka, tanpa rasa bersalah.

Aku melangkah keluar dari bilik sempit itu,
Meninggalkan dingin dan jendela pemerhati,
Bukan untuk menyakiti jiwa ini,
Tetapi kerna tangisan di luar sana terlalu perit untuk ditahan lagi.
Kerna peranan kecil aku dikehendaki.

Sebaik sahaja kulangkah keluar,
Siapa sangka ia luas mata memandang, tenang mengalun jiwa,
Siapa sangka bukan aku seorang sahaja, ramai lagi yang menapak,
Ramai juga yang keluar dari bilik sama buat kali pertama seperti aku,
mengenakan pakaian yang sama.

Selama ini sangkaanku meleset,
Aku sangkakan ketakutan lebih dashyat di luar sana, lebih sempit barangkali,
Rupanya ketakutan itu menghantui di dalam bilik sempit tadi,
Itulah yang menjadi tali-tali pengikat aku dari kebebasan.

Tinggalkan ketakutan itu,
Melangkahlah keluar buat sekali ini,
Kita kuat.

Dan teruslah melangkah.
Kerna inilah kita.

Pena diangkat, dengan tanda koma.

[ kredit ]








No comments:

Post a Comment