Friday 1 January 2016

ISIS: IYA Manipal Tampil Mengikis Salah Faham Mahasiswa

MANIPAL, 30 DISEMBER  - Menutup tirai 2015, IYA Manipal mengambil peluang untuk berkongsi tentang ‘highlight’ tahun ini iaitu tentang Islamic State of Iraq and Syrian (ISIS) yang turut terkait dengan figura Donald Trump dan serangan di Paris. Isu ini berjaya menarik ramai pelajar, termasuklah  yang bukan beragama Islam untuk berkumpul di ruang tangga MMMC dan ini menunjukkan bahawa ISIS adalah isu kemanusiaan dan memerlukan perhatian global.

 

Forum yang bermula pada pukul 7.30 malam ini menampilkan 3 panelis iaitu Umar Ramzan, Afiq Arsyad dan Najmi Nawawi bersama moderator  Luqman Hakim. Diskusi 2 jam yang padat itu menjawab beberapa persoalan umum berkenaan ISIS. Antaranya termasuklah asal-usul mereka yang dikaitkan dengan militan al-Qaeda di Iraq pada tahun 2002 hinggalah kepada Abu Bakar Al-Baghdadi yang dilantik sebagai “Khalifah” merela pada 29 Jun 2014 secara tidak langsung mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai autoriti ke atas dunia Islam secara keseluruhan.

 

Perbincangan turut membawa para pelajar merefleksi kekejaman yang telah dilakukan oleh golongan anti-Islam ini bukan sahaja di negara ‘jajahan’ mereka malah mana-mana pihak yang disyaki mempunyai perancangan untuk menentang mereka turut menjadi sasaran. Bertopengkan bendera Islam, kumpulan ISIS ini membawa ideologi jihad bagi menentang golongan bukan Islam seperti Kristian dan Yazidi yang bermastautin di Iraq dan golongan Syiah di Syria. Bukan itu sahaja, mereka turut mensasarkan pembunuhan besar-besaran terhadap 600 banduan lelaki di Penjara Badoush di Mosul. Berikutan perkara ini, para ulama tersohor seperti Dr. Yusuf Qaradawi dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengisytiharkan bahawa ISIS adalah golongan terseleweng dan mereka yang menyertai mereka boleh membawa kepada kekufuran.

Diskusi malam itu membuka mata hadirin tentang ancaman masa kini yang bukan sahaja berisiko kepada negara-negara luar malah mampu membarah dalam kalangan rakyat Malaysia. Interaksi antara panelis dan pelajar membuka lagi ruang lingkup perbincangan yang lebih menjurus ke arah persiapan diri agar tidak terperangkap dalam permainan ISIS ini. Kumpulan militan ini memberi tumpuan untuk merekrut tentera baru dalam kalangan pemuda dan anggota tentera kerana golongan ini yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan berfizikal sihat. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan jarum-jarum halus bagi memerangkap remaja wanita bagi menjadi hamba seks tentera ISIS di Iraq.

 

Perbincangan malam itu membawa kepada satu konklusi bahawa ISIS merupakan ‘boneka’ negara Barat bagi menjayakan agenda mereka untuk menguasai geopolitik. Persaingan antara negara anggota NATO (North Atlantic Treaty Organization) dan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) menjadi asas yang paling kukuh kewujudan ISIS. Seperti yang kita maklum, musuh-musuh Islam ini berjaya memecahbelahkan negara Timur Tengah dan menanam kebencian masyarakat dunia terhadap Islam. Salah anggap terhadap istilah ‘jihad’ turut menyebabkan Muslim dilabel sebagai ‘terrorist’. Serangan negara Barat bukan sahaja menerusi bom dan roket, tapi juga menyerang pemikiran kita agar tidak bersatu-padu dan mementingkan diri sendiri.

Mengenali ISIS merupakan permulaan bagi kita untuk cakna isu ummah. Kita seharusnya membuka luas mata kita tentang erti sebenar menjadi seorang Muslim kerana sesungguhnya Islam menganjurkan agar kita berpengetahuan luas dan bersolidariti dalam menentang kekejaman. Untuk mengubah dunia, seharusnya permulaan itu bermula dari seorang individu yang mempunyai kesedaran untuk berubah.

 



Laporan disediakan oleh,
N. Aqila.


No comments:

Post a Comment