Sunday 21 June 2015

Virus Ramadhan


“Nak air apa bang?”
“Aiiiir love you”

****

“Do you prefer teh tarik for iftar?”
“Not really, why?”
“Because I’m tehtarik to you.”

****

“Saya nak berbuka dengan awak boleh tak hari ini.”
“Kenapa?”
“Sebab sunat berbuka dengan benda-benda manis.”

****

“Mari akak, abang, beli kuih kuih”
“Hmm...”
“Awak suka tepung pelita kan?”
“Macam mana awak tahu?”
“Sebab kehadiran awak, menerangi gerai saya.”

****

“Bang, nak ikat tepi ke nak ikat mati?”
“Selepas tengok awak tiba-tiba saya mahukan ikatan yang sah.”

****

Saya kira, ayat-ayat di atas ialah ayat-ayat manis terlebih gula yang menjadi viral pada bulan Ramadhan ini. Aduh! Rasa kecewa dengan segelintir remaja kita yang masih alpa dan leka, sibuk bermain-main ayat-ayat pickup line pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Bagaikan jiwa penghayatan Ramadhan itu tidak wujud dalam diri mereka.

Ramadhan yang suci perlu kita lalui dengan hati yang terpelihara, bukannya dicemari dengan unsur-unsur jiwang karat yang membawa ke lembah maksiat. Ada juga yang pada bulan Ramadhan, iftar dengan pasangan couple masing-masing.  Sweet macam uncang teh dan gula, rasa nak jirus dengan air panas aje. Janganlah biarkan virus ini menjangkiti dan seterusnya mencemari Ramadhan kita.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,

Ramadhan hanya datang sebulan dalam setahun, dan belum tentu juga kita akan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan, bayangkan jika tahun ini merupakan Ramadhan kita yang terakhir. Apakah kita dapat melaluinya dengan sempurna? Apakah dapat kita telusuri bulan Ramadhan ini dengan penuh kefahaman dan kesungguhan ataupun sebaliknya? Jangan kata nak tunggu hari tua, kerana jika esok ajalmu, maka ketahuilah hari ini kamu sudah teramat tua.

Ayuh kita singkap kembali antara peristiwa-peristiwa besar yang pernah berlaku pada bulan Ramadhan agar dapat kita serap aura Ramadhan, sekaligus menghidupkan hati yang kian mati dek virus Ramadhan yang datang dalam pelbagai bentuk. Insya-Allah, jika kita fahami dan hayati betul-betul peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan ini, barulah tahap penghayatan kita menjadi lebih baik.

Berikut merupakan 3 peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan yang saya kira sangat mengajar kita erti Ramadhan. Semoga dengan kisah-kisah ini dapat mengangkat kembali rasa penghayatan bulan Ramadhan dalam diri kita seterusnya menjadikan diri kita immune dari virus-virus Ramadhan.

1)      Perang Badar

[ kredit ]

Perang Badar merupakan perang pertama dalam Islam. Perang ini ialah perang yang berjaya memisahkan antara yang haq dan yang batil. Perang ini berlaku pada hari Jumaat, bersamaan 17 Ramadhan, tahun kedua hijrah.

Disebutkan sebagai peristiwa besar kerana Perang Badar merupakan pertembungan hebat antara pembela Islam dan musuh Islam. Hari perperangan ini turut digelar sebagai ‘Yaum Al Furqan’ (hari pembedaan). Allah mengangkat darjat kebenaran dengan jumlah kekuatan yang terbatas, dan merendahkan kebatilan meskipun jumlah kekuatannya 3 kali ganda. Allah menurunkan pertolongan buat kaum muslimin bagi memenangkan mereka terhadap musuh Islam.

Perang badar membuktikan bahawa umat Islam itu sendiri hebat, mampu berjuang di medan perang pada bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk kita menjadi lemah namun inilah bulan untuk kita menjadi gagah dari kebiasaannya.

Sungguh, sayang sekali apabila hari ini ramai daripada kita lupa akan sejarah atau kononnya tidak suka sejarah. Sedangkan peristiwa sejarah seperti ini tidak patut dilupakan dan perlu tersemat dalam dada masing-masing. Mengingati kembali perjuangan baginda dan para sahabat bermati-matian mempertahankan Islam yang hari ini kita dapat rasai dengan bahagia dan tenang.

Nabi dan para sahabat berdarah dan berkorban untuk kita, tapi kita membalasnya dengan mencemari Ramadhan dengna virus jiwang karat? Malulah semalunya.

2)      Fathu Mekah

Pembukaan kota mekah ialah salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini merupakan titik pemulaan kekuatan Islam dan penyebaran Islam mula tersebar seluruh bumi. Malah peristiwa ini merupakan tarikh keramat bahawa Islam telah mendapat kejayaan yang sangat bermakna. Fathu Mekah berlaku pada hari Selasa 17 Ramadhan tahun 8 hijrah.

Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah masuk ke dalam Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan. Ini merupakan bukti, bahawa Islam tidak pernah memansuhkan bangsa, bahkan Islam menggunakan kekuatan bangsa untuk mengangkat Islam.

Baginda bersolat di dalam Kaabah dan turut memberi ucapan di khalayak ramai. Sabda baginda,

“Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan kamu dari kesombongan jahiliyah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah. Kemudian baginda membaca ayat al-Quran:

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa, berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana.” (Al-Hujuraat : 13)”

Pada hari itu juga, kunci Kaabah dikembalikan semula kepada penjaganya, Bilal r.a. azan di atas Kaabah dan seterusnya peristiwa Al-Bai’ah yakni membuat pengakuan taat setia kepada Rasulullah.

Peristiwa pembukaan kota Mekah ini perlu menjadi pembakar obor semangat di dalam diri kita. Ini membuktikan bahawa Islam boleh mencapai kemenangan terbesar dalam bulan Ramadhan yakni dengan kejayaan pembukaan kota Mekah. Jangan jadikan Ramadhan sebagai alasan untuk kita menjadi lemah gemalai tidak bermaya. Namun jadikanlah Ramadhan sebagai bulan kita penuh hamasah semagat dan seterusnya gagah dalam melakukan amal soleh.

3)      Iqra’

Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Muhammad S.A.W. di gua hira’. Peristiwa ini berlaku pada hari isnin, bersamaan 21 Ramadhan. Malaikat Jibril datang kepada baginda di Gua Hira’.

“Bacalah!”

Rasulullah pun segera menjawab, “Aku tak boleh membaca.”

Lalu Jibril memegang dan memeluk tubuh Muhammad dengan sangat kuat.

“Aku sampai merasakan sesak.” Kata baginda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

Setelah itu Jibril melepaskan pelukannya dan kembali berkata, “Bacalah!”

Muhammad S.A.W. kembali menjawab, “Aku tak boleh membaca.”

Lagi sekali malaikat Jibril memeluk dan memegang tubuh Nabi S.A.W. dengan sangat kuat.

Hingga akhirnya Jibril melepaskan pelukan dan kemudian berkata,

“Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Itulah lima ayat al-Quran, Surah al-Alaq yang diwahyukan Allah S.W.T melalui perantaraan Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan keadaan gementar, Nabi Muhammad S.A.W. bergegas pulang ke rumah menemui isterinya Khadijah.

Demikianlah sedikit sedutan peristiwa yang diambil dari peristiwa turunnya wahyu pertama kepada baginda yang berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia. Melihat pada peristiwa ini, kita perlu merasakan bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan yang biasa-biasa. Namun ianya merupakan sebuah bulan yang penuh pengertian dan sarat dengan aura keinsafan. Hargailah masa yang kita ada, saat dan tika ini, dan seterusnya kita cuba lalui bulan Ramadhan kali ini dengan penuh rasa ketaatan.

Kesimpulan

Kita ada tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan pada bulan ramdhan ini. Jangan sia-siakan masa yang ada dengan virus-virus Ramadhan yang hanya membuang masa dan membawa kita ke lumpur kemaksiatan. Bulan ini bulan yang istimewa, maka manfaatkanlah sebaiknya. Hargailah pengorbanan baginda dan para sahabat yang berjuang mempertahankan Islam melalui perang Badar, lahirkan semangat juang yang tinggi mencontohi peristiwa pembukaan kota Mekah. Banyakkanlah membaca al-Quran di bulan yang mulia ini, dan ingatlah bahawa bulan ini jugalah bulan turunnya wahyu pertama dari Allah. Bukan bulan Rejab atau Syaaban, namun inilah bulan Ramadhan!

Jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan penuh erti, bukan Ramadhan yang syok sendiri, tengelam dalam dimensi memakan diri. Jadikan Ramadhan ini sebagai ‘turning point’ untuk kita berubah menjadi lebih baik. Henshin!


Oleh : headwithserban

Monday 15 June 2015

Kompas Ramadan

[ kredit ]

3 hari berbaki sebelum Ramadan.

Saya kira saat ini mungkin lirik lagu “Ramadan tiba, Ramadan tiba” nyanyian Opick terngiang-ngiang di telinga kebanyakan daripada kita, ataupun mungkin ada yang siap melagukan dengan gembiranya. Corong-corong radio dan stesen televisyen barangkali sudah rancak menayangkan iklan dan promosi sempena Ramadan. Adik-adik kecil kita agaknya sudah mula mendendangkan lagu-lagu raya, sambil membakar bunga api dengan riangnya. Itu mungkin situasi di Malaysia. Tapi bagi pelajar-pelajar luar negara yang terpaksa berdepan dengan realiti menyambut Ramadan di tanah asing (kita), saya yakin anda mungkin mengalami kecelaruan perasaan ketika ini. Seronok dan tak sabar untuk merasai pengalaman baru  berpuasa di tempat lain dan pada masa yang sama sedikit kecewa kerana tiada bazar Ramadan setiap petang, tiada ayam percik, tiada murtabak, tiada kuih-muih tradisional dan paling penting tiada lagi masakan serta minuman pelbagai jenis buatan bonda yang memenuhi ruangan meja makan. Ditambah dengan hakikat bahawa exam yang bakal berlangsung bakal membuatkan kita homesick.

Atau tiada satu pun yang disebut di atas menggambarkan perasaan anda?

Tak mengapa. Masing-masing punya perasaan berbeza bila menjelangnya Ramadan, bukan? Tetapi saya ingin berkongsi kisah segolongan manusia yang berkobar-kobar rasa cinta dan rindu mereka taktala menyambut ketibaan Ramadan. Ajaibnya, setiap antara mereka mempunyai perasaan dan pandangan yang sama, tanpa seorang pun terkecuali. Mereka adalah para salafus soleh. Dalam satu hadis ada menyebut mereka berdoa selama 6 bulan sebelum masuk Ramadan supaya Allah memanjangkan umur mereka agar sampai ke bulan penuh berkah itu. Kemudian selama 6 bulan setelah Ramadan berlalu, mereka berdoa supaya setiap amal ibadah mereka di bulan itu diterima Allah. Masya-Allah. Mereka benar-benar mengimani bait-bait pesanan Rasulullah s.a.w di akhir Sya’ban, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Salman al-farisi. Baginda bersabda:

“Wahai sekalian manusia. Kalian akan dinaungi oleh bulan yang agung nan penuh berkah. Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam. Allah menjadikan puasa di bulan itu sebagai kewajiban dan qiyamnya sebagai perbuatan sunnah. Siapa yang mendekatkan diri kepada-Nya dengan amal kebaikan seolah-olah ia telah melakukan kewajiban di bulan lain. Dan barangsiapa melakukan kewajiban pada bulan itu maka ia seolah telah melakukan tujuh puluh kewajiban di bulan lain. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu adalah jalan menuju surga. Ia adalah bulan keteladanan dan bulan dimana rezki dimudahkan bagi orang mukmin. Siapa memberi buka kepada orang yang berpuasa maka ia mendapatkan ampunan atas dosa-dosanya dan lehernya diselamatkan dari api neraka. Ia juga mendapatkan pahalanya tanpa mengurangi pahala orang itu sedikit pun.” [HR Ibnu Khuzaimah]

Bertambah kagum saya apabila mengetahui dahsyatnya persediaan para sahabat sebelum menyambut Ramadan.  Mereka benar-benar memasang tekad memanfaatkan  bulan Ramadan untuk saling berlumba-lumba mengejar ahsanu amala (amal terbaik), terutamanya Umar ibn Khattab yang  menyambutnya dengan menyalakan lampu-lampu penerang di masjid-masjid untuk ibadah dan membaca Al-Qur’an.

Diriwayatkan Anas bin Malik bahawa:

Para sahabat Nabi saw jika melihat bulan sabit Sya’ban mereka serta merta meraih mushaf mereka dan membacanya. Kaum Muslimin mengeluarkan zakat harta mereka agar yang lemah menjadi kuat dan orang miskin mampu berpuasa di bulan Ramadhan. Para gabenor memanggil tawanan, barangsiapa yang meski dihukum segera mereka dihukum atau dibebaskan. Para pedagang pun bergerak untuk melunasi apa yang menjadi tanggungannya dan meminta apa yang menjadi hak mereka. Sampai ketika mereka melihat bulan sabit Ramadhan segera mereka mandi dan I’tikaf.”

Jelas sungguh matlamat mereka, sehingga setiap kerja buat mereka ‘all-out’ hanya kerana Allah semata-mata. Bukan hanya dari sudut amal mereka, malahan perasaan dan persediaan mereka untuk menyambut Ramadan sudah cukup untuk membuatkan kita bermuhasabah diri kembali. Sejauh mana sebenarnya kita memaknai maksud sebenar Ramadan? Adakah sekadar dengan berpuasa, bersahur, berbuka, bertadarus, terawih, sahaja? Sungguh kalau betul sekadar itu, maka kita sudah mensia-siakan peluang besar yang Allah anugerahkan selama ini.

Cuba anda fahamkan analogi ini.

Apabila seorang pelajar memasuki sekolah perubatan, maka hasilnya adalah seorang doktor bukan? Apabila anda mendaftarkan diri ke kelas memasak, bukankah hasilnya adalah anda menjadi seorang yang mahir memasak? Nah, sama halnya dengan Ramadan. Apabila Allah masih membuka peluang untuk kita merasai Ramadan, bererti Dia menginginkan kita untuk mencapai kualiti sebenar produk madrasah Ramadan, sepertimana firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” [al-Baqarah:183]

BERTAQWA.

Menurut saya, sudah jelas dan nyata matlamat sebenar Ramadan. Jadi, jika sudah bertahun-tahun kita telah menerima kedatangan Ramadan tapi masih belum meraih nilai ketaqwaan, di mana silapnya? Saban tahun kita beriya-iya meraikan Hari Raya, berasakan bahawa kita sudah berjaya melepasi Ramadan, sedangkan hakikat pahitnya kita hanya mendapat lapar dan dahaga selama sebulan berpuasa. Hal demikian sangat dikhuatiri oleh Nabi Muhammad SAW, sabda Baginda:

“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersolat malam, tetapi tiada yang dia perolehi selain daripada rasa mengantuk”

Nauzubillahi min zalik.

Mungkin entri ini tidak cukup untuk menambah kefahaman dan pengetahuan anda tentang Ramadan, tapi tujuan sebenar saya menulis adalah untuk kita bersama-sama mengambil sedikit masa untuk merenung kembali Ramadan-Ramadan kita yang lepas dan meluruskan kembali niat kita sebelum sekali lagi melangkah masuk ke bulan mulia yang penuh maghfirah ini. Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh ke lubang yang sama.  Jika kita boleh bersungguh-sungguh membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan, seharusnya kita merancang berlipat kali ganda lebih hebat dalam menyambut tibanya Ramadan yang ganjarannya jauh lebih besar; ganjaran akhirat. Manfaatkan peluang Ramadan ini untuk kita mengumpul sebanyak mungkin bekal dan amal, sebagai kekuatan untuk kita bertahan dengan ujian-ujian mendatang.

“During Ramadan you’re only fighting yourselves, your nafs.”

Ingin saya kongsikan satu hadis kegemaran saya sebagai penutup entri ini.

Abu Hurairah berkata,
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ramadan yang bermaksud: “sesiapa yang mendirikan (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”.

Allahumma ballighna Ramadan.
InsyaAllah.


Oleh:
Pelajar Perubatan Tahun 2,
Melaka Manipal Medical College

Saturday 6 June 2015

Ramadhan : Bersiap Siaga


Sejadah sudah habis dibentang. Tinggallah Afiq dan Danial menunggu diruang solat sedang yang lain masih bergilir-gilir mengambil Wudhu’.

“Danial, dah lama kita tak ber’taaruf’.” Afiq bersuara sambil menyelak Al-Quran terjemahannya, seakan mencari muka surat yang dia berhenti membacanya sebelum ini.

Danial yang masih ralek bermain dengan telefonnya tersentap sebentar daripada lamunannya.

“Ahh… dulu, waktu belajar preparation, kita rajin buat taaruf sama-sama antara Maghrib dengan Isyak.” Afiq menyambung. Sudah jumpa muka surat yang dicari.

“Hah, taaruf?” Danial mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kenapa pula si Afiq ini nak taaruf semula. Tahulah aku yang taaruf ini proses jangka masa panjang. Tetapi, tak adalah sampai perlu buat satu sesi khas nak kenal antara satu sama lain semula. Kita dah 3 tahun berkenalan. Aku cukup masak benar dengan perangai dia.

“Bila nak mula balik? Taaruf?” Afiq masih lagi bertanyakan dengan muka seakan tak bersalah apa pun.

“Serius? Taaruf?” Habis berkerut mukanya cuba nak faham apa yang dimaksudkan kawannya itu.

Lama Danial merenung. Datang idea.

Oh, benda itu ke. Nasiblah minda bawah sedarnya masih berfungsi. Nampak Al-Quran. Ingat sikit-sikit pasal waktu kat Malaysia dulu.

“Maksud kau Taddabur ke?”

Afiq yang mendengar soalan itu terus menutup mukanya dengan Al Quran.

“Haa… Taddabur. Taddaburlah…” Malu habis.

“Haha. Patutlah semacam sahaja bunyinya. Taaruflah sangat ya, Afiq?”

Tidak lama kemudian, ruang solat mula didatangi pelajar lain. Wajah Afiq masih merah padam. Dia cuba memberi isyarat kepada Danial supaya tak menceritakan perihal itu kepada orang lain. Jegil-jegil sedikit.

Namun, masa sekarang bukan lagi untuk bergurau senda, kena serius. Cukuplah terleka dengan dunia sebentar. Masanya untuk pupuk diri rendah pada Pencipta.

Iqamah dilaungkan.
Barisan saf diluruskan.
Seragam, takbir diangkat.
Bermulalah menghadap Tuhan.


*****


Memoir Ramadhan.

Sedar atau tidak sedar, kita sudah tinggal kurang daripada 2 minggu untuk menyambut bulan Ramadhan. Ramai daripada kita mengenali bulan ini sebagai bulan berpuasa, bulan untuk beramal soleh, sebagai madrasah untuk mengasah iman dan taqwa, sebagai tarbiyyah ruhiyyah khusus mendidik jiwa. Tidak lari juga dengan tanggapan bulan Ramadhan sebagai bulan dimana masjid-masjid mula meriah.

Pastinya sahabat-sahabat sudah mula mengambarkan memori-memori indah jauh di kampung sana. Setiap malam bergerak bersama-sama keluarga atau sahabat untuk memeriahkan masjid. Ada masjid di kawasan kita yang galak dengan majlis ilmu. Tidak terlupa juga suasana gembira membantu ibu menyediakan santapan untuk berbuka dan berbuka bersama ahli keluarga tersayang.

Itulah antara gambaran norma masyarakat kita tentang Ramadhan.

Namun, Ramadhan apabila difahami sebenarnya lebih daripada mengisi ruang memori indah untuk kita. Sebaiknya, Ramadhan ialah satu tempoh untuk membentuk diri kita menjadi Muslim yang lebih baik dan bertaqwa.

Masing-masing sudah melalui hampir lebih 20 tahun berpuasa. Namun, persoalan yang selalu bermain di fikiran kita ialah bagaimana Ramadhan telah membentuk kita? Apakah kesan Ramdhan terhadap kita?

Ada yang boleh berpuas hati. Ada yang tersingkap sedih kerana tidak memanfaatkannya dengan terbaik pada tahun-tahun sebelumnya. Usah biarkan bisikan syaitan mula menanamkan putus asa terhadap Rahmat Allah. Sangatlah patut untuk kita memanjatkan kesyukuran kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada kita untuk bersama Ramadhan lagi pada tahun ini, insya-Allah. Maka, sebaiknya kita berusaha yang terbaik untuk Ramadhan kali ini seumpama ia menjadi Ramadhan terakhir untuk kita.

Menuju ke garisan penamat bersama

Sahabat sekalian,

Seumpama sebuah pertandingan larian merentas desa. Seseorang yang mahu lariannya konsisten dan baik sehingga ke garisan penamat tidak akan terus berlari tanpa persiapan. Seharusnya, pelari perlu ada latihan berlari atau paling kurang memanaskan badan dahulu sebelum berlari.

Begitulah jua dalam menghadapi Ramadhan. Kita boleh memilih untuk memulakan amal soleh dan bacaan Al-Quran sebaik satu Ramadhan. Tetapi, pecutan sebegitu akan membuatkan kita mudah terasa penat. Hasrat kita mahu memaksimakan sebaik mungkin tempoh itu. Jadi sebaiknya, kita sudah mula melatih diri kita membaca Al-Quran, melakukan ibadah sunat serta puasa sunat sendiri sebelum Ramadhan itu bermula.

Penulisan ini bermula dengan sedikit cerita mengenai Al-Quran. Begitulah hasrat penulis untuk menekankan persediaan kita dengan Al-Quran. Di sini, kita tiada lagi arahan ustaz untuk wajib buat tadarus Al-Quran setiap petang. Sebaliknya, semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jadi, marilah bersama kita mempersiapkan diri kita dengan bermula membaca Al-Quran. Lagi baik ialah sekiranya Ramadhan kali ini kita bukan sekadar membaca Al-Quran tetapi berinteraksi dengan Al-Quran dengan berusaha memahaminya. Inilah konsep dipanggil Taddabur.

[ kredit ]

Apa itu Taddabur? Macamana nak Taddabur?

Ini penulis serahkan kepada para pembaca sebagai tugasan. Kepada yang tidak tahu, rujuklah yang sudah tahu dan yang tahu, usah disimpan lama, beritahu kepada yang tidak tahu.

Ini juga boleh jadi cara untuk mempersiapkan diri.

Sudah rasa terlambat untuk bersiap sedia?

Sahabat, sedang pintu Taubat tidak ditutup sehingga Kiamat, apatah lagi persiapan kita untuk Ramadhan. Sekiranya kita benar-benar jujur mahu membina diri kita. Insya-Allah, Allah akan mempermudahkan urusan hamba-Nya yang mahu berubah.

Usah dilengahkan lagi. Rancanglah persiapan kita sebaik sahaja pembacaan ini berhenti. Rancanglah juga bagaimana mahu memaksimakan peluang Ramadhan ini. Tidak rugi buat yang merancang. Moga kita mengapai Taqwa digarisan penghujung itu. Sekaligus, barulah berasa bernilainya kita apabila melaungkan Takbir pada satu Syawal. Insya-Allah.



Tuesday 2 June 2015

Tertegaknya Islam Atas Hujah dan Dalil


[ kredit ]

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduaya, iaitu: Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya”. [HR. Malik]

Firman Allah s.w.t,
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [Surah al-Isra ayat 36]

Berdasarkan dalil di atas, penulis mengajak sahabat-sahabat agar jadilah kita orang yang bertaqwa iaitu orang yang berhati-hati seolah-olahnya berjalan di atas duri seperti yang diumpamakan Saidina Umar al-Khattab. Jadilah kita orang yang berhati-hati dalam amalan seharian.

[1] Hukum asal dalam ibadah adalah haram kecuali ada nas yang mensyariatkannya. Maka dalam soal ibadah, kita tidak boleh melakukan hingga terbukti ianya dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. atau diperintah oleh Baginda agar amalan kita tidak termasuk dalam bid’ah. Antara wasiat dari Baginda yang diriwayatkan dari Imam Ahmad adalah berhati-hatilah terhadap perkara-perkara yang diada-adakan karena setiap perkara yang diada-adakan adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah adalah sesat.

Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, bid‘ah dalam agama adalah amal ibadah yang tidak disyari‘atkan Allah dan Rasul-Nya. Bid‘ah adalah amal ibadah yang tidak diwajibkan dan tidak pula dianjurkan.
Al-Imam asy-Syathibi mendefinisikan bid‘ah sebagai berikut: “Bid‘ah adalah suatu cara yang diada-adakan dalam agama, yang bentuknya menyerupai syari‘at, dan yang dimaksud dari penerapannya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah Ta'ala.” [2]

Namun, perkara baru dalam amalan bukan ibadah seperti muamalah (yang berkaitan dengan tindakan manusia dalam urusan duniawi, dalam pergaulan sosial, misalnya dalam persoalan jual beli, hutang piutang) tidaklah dikira bid’ah kerana bukan khusus pada amalan ibadah seperti solat dan sebagainya. Hukum asal muamalah adalah harus/mubah, kecuali yang ditentukan oleh al-qur’an dan Sunnah rasul.[3]

Al-Quran sentiasa terpelihara kesahihannya, ayat-ayatnya mudah difahami namun sumber hadith terbatas akan kesahihannya. Maka tidak dapat tidak, untuk mendapat ilmu yang benar, perlunya pada pembacaan sahih yang amat sukar pada zaman internet di hujung jari ini dan perlunya berguru dengan guru yang mahir. Penulis tidaklah mahir, hanya ada sedikit ilmu asas yang ingin dikongsi bersama dengan kalian.

HADITH[4]


Hadith Nabawi : Perkataan, perbuatan, takrir (diam Nabi) atau sifat yang disandarkan pada Nabi Muhammad s.a.w

Hadith Qudsi : Sesuatu yang dikhabarkan Allah kepada Nabi melalui mimpi/ilham, kemudian Nabi sampaikan mengguna perkataan Nabi sendiri.

Al-Quran           : Kalam Allah yang diturunkan/diwahyukan kepada Nabi melalui malaikat.

 “…dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)…”
[An-Najm; 3-4]
Hadis Nabawi
Hadis Qudsi
Al-Qur’an
Makna dan lafaz dari Rasulullah sa.w
Makna daripada Allah, lafaz daripada Rasulullah s.a.w
Makna dan lafaz daripada Allah
Diriwayatkan secara mutawatir (oleh ramai orang) dan ahad(seorang)
Diriwayatkan secara mutawatir sahaja
Tak ada unsur mukjizat
Mukjizat Rasulullah s.a.w
Tak boleh dibaca dalam solat
Boleh dibaca dalam solat
Wahyu daripada ilham, mimpi dan ijtihad
Wahyu diturunkan malaikat Jibril
Tak ada nama surah
Ada nama surah
Baca hurufnya bukan ibadah
Baca hurufnya ibadah
Tak dijamin terpelihara daripada diubah
Dijamin terpelihara daripada diubah
Sumber syariah islam

*Al-Qur’an ditulis dalam mushaf-mushaf dan disampaikan kepada kita secara mutawatir (diriwayatkan oleh banyak orang), sehingga terpelihara keasliannya.

Komponen-Komponen Dalam Hadith


Umumnya, sebuah laporan hadith terbahagi kepada tiga komponen: matan, sanad dan taraf

Matan
Teks hadith itu sendiri.

Sanad
Rantaian periwayat hadith tersebut setelah ia didengari daripada Rasulullah s.a.w. Contohnya, sebuah hadith yang berasal daripada Abu Hurairah (perawi pertama) diriwayatkan kepada seorang perawi hingga kepada seorang yang lain, sehingga sampailah kepada Imam Bukhari (perawi terakhir) yang kemudiannya memasukkan hadith tersebut ke dalam kitabnya (sahih Bukhari).

Taraf
Tingkatan hadith itu


Tingkatan Hadith[5]



Maksud
Hukum beramal
Sahih
Ialah hadith yang diriwayatkan rangkaian perawi yang adil dan dhabit, bersambng sanad, tiada syaaz dan tiada illah.

Menjadi hujah dan dalil syara’
Hasan
-hadith yang memenuhi syarat-syarat hadith sohih seperti perawi adil, bersambung sanad, tiada illah dan tiada syaz tetapi kurang sempurna dari segi sifat dhobitnya sahaja.

Boleh dijadikan hujah dan dalil syara’ kerana termasukhadith makbul (diterima).
Dhaif
(lemah)






Hadith yang tak memenuhi satu/lebih daripada syarat hadith makbul (sahih dan hasan).





Dasarnya tak boleh diamalkan.
Namun untuk mengamalkannya, perlu memenuhi syarat;
1.Berkaitan Fadhail A’mal (Kelebihan Amal)
2. mafhum terdapat dalam nas syara’ yang sohih
3. ketika beramal, mengharapkan kesohihannya
4. Faktor kedhoifannya sederhana.

Maudhu
(palsu)



Ini hadith yang direka-reka , bukan daripada Nabi



Haram menyebarkannya .
Barangsiapa yang berbohong atas namaku maka dia telah menempah tempatnya di neraka.”
(HR Al-Bukhari dan Muslim).

Munkar





Hadith yang lemah perawinya, malah jelas kefasikannya sementara isi hadithnya pula bertentangan dengan isi hadith lain daripada riwayat golongan perawi yang terpercaya (thiqaah).


Di sini, hadith palsu adalah satu cabang dari hadith dhaif. Tapi tidak bermakna kita nilai semua hadith dhaif sebagai palsu dan tidak bermakna kita tolak hadith daif ringan secara total kerana hadith daif ringan boleh diamalkan dalam Fadhail al-A’aml dengan syarat diatas.

Syarat hadith sohih, perawinya;


Adil
muslim, baligh, berakal, tidak fasiq dan terjaga maruahnya/tak buat perkara aib

Dhabit
ketepatan seseorang dalam hafalannya [dhabit hafaz] dan penulisannya [dhabit al-kitab]
·         tiada perubahan ingatan jika diriwayat secara lisan
·         tiada perubahan tulisan jia diriwayat secara penulisan.
·         mampu hafaz hadith, faham apa yang didengari dari guru yang tsiqah
·         boleh jelaskan hadith dengan terag dan tepat
·         teliti
Bersambung sanad
Perawi yang meriwayat menerima hadith daripada gurunya secara langsung bermula dari awal sanad hingga sanad terakhir tanpa berlaku keciciran pada sanad.

Tidak ada syaz
Tiada percanggahan dengan riwayat lain yang mana para perawinya dipercayai [tsiqah]

Tidak ada illah
Tiada kecacatan atau kelemahan yang tersembunyi, dan tak dapat dikesan dengan mudah.
Kewujudannya menjejaskan kesahihan hadith


SYA’BAN


Bulan Sya’ban adalah merupakan bulan persiapan untuk memasuki bulan Ramadhan, bulan yang selalu dinantikan oleh orang-orang yang beriman dan yang sentiasa mengharapkan ridha Allah SWT. Sehingga jasmani mampu mempersiapkan diri seperti yang dilakukan warga Manipal dalam membersihkan tempat ibadah Masjid Manipal serta segala yang dapat memberi kelancaran dalam menjalankan ibadah kelak.

Puasa Di Bulan Sya’ban


Diriwayatkan kapadaku bahwa Sahabat Nabi Usamah bin Zaid.ra berkata kepada Nabi SAW, “Ya Rasulullah, aku belum pernah melihat engkau berpuasa di bulan lain lebih banyak dari puasamu di bulan Sya’ban.” Kata Nabi, “Bulan itu sering dilupakan orang, karena diapit oleh bulan Rajab dan Ramadhan, padahal pada bulan itu, diangkat amalan-amalan (dan dilaporkan) kepada Tuhan Rabbil Alamin. Karenanya, aku ingin agar sewaktu amalanku dibawa naik, aku sedang berpuasa.”(HR Ahmad dan Nasai – Sunah Abu Dawud).

Dari ‘Aisyah r.a telah berkata: Adalah Rasulullah s.a.w jika berpuasa sampai kami mengatakan tidak pernah berbuka, dan jika sedang tidak berpuasa sampai kami mengatakan tidak pernah berpuasa. Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasanya satu bulan penuh kecuali puasa di bulan Ramadhan dan aku tidak melihat di suatu bulan yang paling banyak digunakan oleh Rasulullah untuk berpuasa kecuali di bulan Sya’ban”. [6] 

Hadith di atas adalah hadith makbul (diterima).

Bulan Sya’ban dilupai kerana kerana orang sibuk mengejar amalan dalam bulan rejab yang termasuk dalam 4 bulan haram berperang. Yang lainnya adalah bulan zulkaedah, zulhijjah dan Muharram yang mana terdapat kelebihan dalam bulan-bulan haram ini. Penting untuk dicatat, puasa yang dilakukan Rasulullah s.a.w di bulan Sya’ban tidak dikhusus pada hari tertentu. Yang beliau lakukan, memperbanyak puasa selama Sya’ban.

Nisfu Sya’ban


Iaitu malam pertengahan, malam yang ke-15. Tiada amalan khusus pada malam nisfu sya’ban kerana tidak ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Fadhilatnya ada, tapi tidak ada amalan khusus seperti baca Yasin tiga kali. Islam tidak melarang berbuat baik tapi tidak mengkhususkan (amalan bid’ah) atau mewajibkan dirinya untuk ibadah tersebut hanya pada malam nifsu sya’ban dan pada malam lainnya tidak dikerjakan.

Maka jika ingin puasa pada malam nisfu Sya’ban, dibolehkan tapi dengan berpegang pada hadith yang lebih kuat/sahih seperti puasa putih 13, 14, 15 setiap bulan mengikut kalendar Islam.

Diriwayatkan dari A’isyah ra berkata,"Suatu malam Rasulullah solat, kemudian beliau bersujud panjang, sehingga aku menyangka bahwa Rasulullah telah diambil, kerana curiga maka aku gerakkan telunjuk beliau dan ternyata masih bergerak. Setelah Rasulullah usai solat beliau berkata: “Hai A’isyah engkau tidak dapat bagian?”. Lalu aku menjawab: “Tidak ya Rasulullah, aku hanya berfikiran yang bukan-bukan (menyangka Rasulullah telah tiada) kerana engkau bersujud begitu lama”. Lalu beliau bertanya: “Tahukah engkau, malam apa sekarang ini”. “Rasulullah yang lebih tahu”, jawabku. “Malam ini adalah malam nisfu Sya’ban, Allah mengawasi hambanya pada malam ini, maka Ia memaafkan mereka yang meminta ampunan, memberi kasih sayang mereka yang meminta kasih sayang dan menyingkirkan orang-orang yang dengki”.  (H.R. Baihaqi)

Diriwayatkan dari Siti Aisyah r.a bercerita bahwa pada suatu malam ia kehilangan Rasulullah SAW. Ia lalu mencari dan akhirnya menemukan beliau di Baqi’ (kubur) sedang menengadahkan wajahnya ke langit. Beliau berkata: “Sesungguhnya Allah Azza Wajalla turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampuni (dosa) yang banyaknya melebihi jumlah bulu domba Bani Kalb.” (HR Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Majah) 
 Pengajarannya, melawat kubur waktu malam lebih memberi kesan pada hati dan diri untuk bermuhasabah. Berbanding waktu siang yang bising dengan suara sekeliling. Namun, masyarakat kita tidak mengamalkan kerana takut dengan hantu-hantu yang telah ditakutkan pada kita sejak kecil lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari RA bahwa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya Allah pada malam nishfu Sya’ban mengawasi seluruh mahluk-Nya dan mengampuni semuanya kecuali orang musyrik atau orang yang bermusuhan.”  (HR Ibnu Majah, Ibn Hibban, al-Bazzar)

Hadith yang dinilai dhaif/maudhu’

Ali bin Abu Thalib berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila malam nisfu Sya’ban (pertengahan bulan Sya’ban), maka shalatlah di malam harinya dan berpuasalah di siang harinya. Sesungguhnya Allah turun ke langit bumi pada saat itu ketika matahari terbenam, kemudian Dia berfirman: “Adakah orang yang meminta ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya? Adakah orang yang meminta rizki maka Aku akan memberinya rizki? Adakah orang yang mendapat cobaan maka Aku akan menyembuhkannya? Adakah yang begini, dan adakah yang begini…hingga terbit fajar. “ (Riwayat ibn majjah dan al-baihaqi)
Hadith ini dinilai palsu kerana terdapat perawi bernama Abu Bakar bin Abdillah bin Abi Sabrah yang dikatakan perawi pendusta[7]. Ada yang menilai hadith ini dhaif sedangkan ia palsu. Sebenarnya tidak ada percanggahan kerana hadith palsu adalah salah satu cabang dari hadith dhaif. Maka jika ingin puasa, dibolehkan tapi dengan berpegang pada hadith yang lebih kuat/sahih seperti yang diriwayatkan dari Usamah dan Aisyah R.A. Atau berpuasalah dengan berpegang pada hadith sohih, puasa putih 13, 14, 15.

Kesimpulan


Beramal perlu dengan ilmu, barulah mendapat ibadah yang sahih dan tidak sia-sia.
Beramallah dengan hadith yang sahih (yang paling kuat adalah hadith dari Imam Bukhari dan Imam Muslim).
Perbincangan ilmiah seeloknya tidak didasari dengan emosi dan kebencian. Bahkan ia mesti didasari dengan sikap hormat dan kasih sayang untuk mencari kebenaran.

Wallallahua’lam.
Haza min fadhli Rabbi.

Segala yang kurang dari kelemahan penulis.

_______________________________________________________________

Rujukan

[1] http://drmaza.com/home/?p=2115 
[2] http://pustakaimamsyafii.com/definisi-bidah.html
[3] http://artikelilmiahlengkap.blogspot.in/2013/03/pengertian-fiqih-muamalah.html
[4] Buku teks Pendidikan Qur’an Sunnah tingkatan 4
[5] http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/10/pengenalan-ilmu-hadith.html#axzz3bpW0UT7R
[6] [HR. Al Bukhari (1868), Muslim (1156), Abu Dawud (2434), Ahmad (24801), Ibnu Hibban (3648), Al Baihaqi dalam As Sunan Al Kubra (8245), An Nasa'i dalam Sunan An Nasa'i Al Kubra(2660)]
[7] Dr. Rozaimi Ramle, pensyarah UPSI, Master hadith UIAM, PhD hadith Jordan.

Rakaman Youtube
Dr Maza, UAI, Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Dr Abdul Basit.