Sunday 22 March 2015

Sistem Nilai yang Hilang Dalam Generasi Kini


          Dunia peradaban awal pembinaan tamadun telah lama meninggalkan kita sejak berkurun yang lalu. Sejak Nabi Adam a.s dilahirkan sehingga era pascakemerdekaan hari ini, manusia telah mengalami pelbagai perubahan baik dari segi pembangunan intelektual individu mahupun spiritual. Bukan manusia sahaja yang bertambah maju, bahkan gedung ilmu pengetahuan tidak kurang juga melebar dalam gelanggangnya yang tersendiri. Hari ini, generasi kita agak beruntung kerana hidup dalam era modenisasi yang mana capaian maklumat mudah didapati, lambakan ilmu dengan pelbagai teori dan ideologi, bergantung kepada kita untuk mengambilnya atau tidak. Bagai gelas yang diisi air dengan penuh, tinggal masa untuk diteguk sahaja.

          Tetapi dalam keghairahan manusia melengkapkan diri dengan ilmu pada zaman ini, pada masa yang sama kita agak terkebelakang dalam pembangunan sosial masyarakat. Bahkan, belakangan ini, isu-isu berkaitan masalah sosial terlalu kerap menjadi paparan media massa baik dari dalam dan luar negara. Jenayah seperti pembunuhan, rompakan, keganasan rumah tangga, ragut dan pecah rumah bukan lagi suatu yang asing dari sisi pandang masyarakat. Atas dasar kemanusiaan yang utuh, ingin sekali penulis mengutarakan isu yang sinonim dengan gender penulis sendiri yang sering menjadi mangsa iaitu jenayah rogol.

       Kajian menunjukkan rata-rata kes jenayah rogol berlaku disebabkan kuasa atau sifat egoistik perogol yang menggunakan pemerkosaan sebagai senjata untuk melakukan jenayah. Stigma masyarakat pada hari ini adalah apabila seseorang wanita itu memakai pakaian yang tidak menutup aurat, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa wanita itu rela tubuhnya menjadi tatapan orang ramai, mudah dieksploitasi dan sebagai ingin mencari perhatian orang ramai. Hasilnya, timbul satu logik yang berpendapat jika wanita yang membuka aurat diperkosa, ianya adalah disebabkan kesalahan wanita itu sendiri. Tetapi jika wanita yang menutup aurat diperkosa, ia adalah takdir. Ini bukan lagi soal ‘double standard’ tetapi soal tahap dimana rasional masyarakat dalam penilaian bertunjangkan kemanusiaan?

           Tidak sedikit masyarakat hari ini gagal mencari persamaan titik lokus temu antara penguasaan ilmu dan sistem nilai yang sepatutnya menjadi panduan berfikir masyarakat. Kegagalan ini merencatkan pertumbuhan akal fikiran dan diterjemah pada pelakuan jasad hingga akhirnya meruntuhkan moral dan akhlak si pelaku. Terpanggil oleh penulis, baik kepada lelaki mahupun perempuan, untuk kita renung semula punca kepada permasalahan sosial yang berlaku. Masyarakat hari ini terlalu rancak berbicara hal-hal pencegahan atau hukum sehingga terabai penekanan pada akar umbinya. Generasi hari ini kurang merenung dan menghayati sistem nilai. Nilai-nilai seperti hormat menghormati, kebersihan mental dan fizikal, kemanusiaan, kasih sayang dan semangat bermasyarakat kurang menjadi penghayatan generasi hari ini. Nilai nilai sebegini tidak lain dan tidak bukan lengkap dapatannya dalam Al-Quran. Tetapi, yang berlaku ialah Al-Quran itu hanya sekadar dibaca. Dibaca tanpa diekstrak pengajarannya. Dibaca hanya sekadar ingin menambah amal tetapi dangkal pada penghayatannya.

[ kredit ]

         Tidak mustahillah mengapa Rasulullah s.a.w dikatakan memiliki akhlak yang paling terbaik. Kerana Al-Quran itu sendiri sudah menjadi gambaran perilaku Rasulullah. Pemuda khususnya, harus mengambil contoh peribadi Rasulullah s.a.w dalam menghargai dan menghormati wanita. Kisah bagaimana akhlak mulia Rasulullah s.a.w menewaskan rancangan wanita yang memberi limau masam dengan tujuan untuk mempermain-main Rasulullah s.a.w. Tetapi dibalasnya dengan senyum dan layanan yang baik kepada wanita itu. Bahkan, Rasulullah s.a.w makan sehingga habis limau yang diberi meskipun rasanya masam yang teramat. Kisah sebegini boleh dijadikan contoh untuk pemuda hari ini. Pemuda harus tanam sikap hormat pada wanita, bukan memandang wanita sebagai objek tetapi sebagai manusia. Bukan hanya hormat pada hijabista moden, pada kelompok yang menggentarkan rusuk kiri atau pada calon-calon zaujah (isteri) tetapi pada keseluruhan manusia yang bernama wanita.

 Adakah ini bermakna wanita itu tidak perlu menutup aurat? Bebas berpakaian?

      Ya, bebas. Setiap wanita bebas memakai apa yang disukainya. Tetapi kebebasan yang bagaimana? Mereka bebas memakai apa-apa sahaja asalkan pakaian itu menutupi aurat mereka. Penjelasan tentang keperluan menutup aurat bukan menuntut kita untuk menghambur mereka yang mendedahkan aurat dengan visual kepanasan api yang membakar semata-mata. Pemahaman yang hanya berlandaskan pemahaman sebegini hanya menimbulkan ketakutan dalam diri masing-masing tanpa mengenal hakikat sebenar syariat yang diturunkan Allah. Bukan juga menuntut mereka disajikan dengan analogi mentah seperti perbandingan gula-gula berpembalut dan gula-gula dihurung semut. Tetapi ia lebih kepada persoalan pokok yang tiada mampu terjawab, tentang hakikat sebenar keperluan manusia untuk hidup bertuhan. Tentang tujuan kehidupan insan yang mengaku wujudnya Tuhan. Bagaimana seharusnya perilaku seorang abid (ahli ibadah) terhadap Tuhannya.

          Perilaku seorang abid kepada Tuhannya tidak sama seperti perihal majikan dan buruh. Majikan itu memberi pekerjaan kepada buruh, kerana tiada daya si majikan untuk melakukan kerja berseorangan. Lalu, digajinya beberapa orang buruh untuk membantunya melaksanakan kerja. Pulangannya pula bakal memberi kebaikan yang lebih kepada si majikan itu sendiri. Tetapi hubungan hamba dengan Tuhan tidak begitu. Seorang abid yang melaksanakan perintah Tuhannya, kebaikannya dipulang semula pada si pelaku. Tuhan itu tidak berkehendak, malah tidak rugi walau si hamba tidak melaksanakan perintah-Nya. Tetapi kerugian itu ditimpa semula atas si pelaku. Beza manusia dengan haiwan bukan pada makan, minum dan tidur, tetapi kerana manusia mampu merenung hakikat sesebuah syariat dan penciptaan dengan makna yang mendalam, sambil mempertemu hikmah dalam pencarian. Hikmah ini menjadi asas kepada buah fikiran dan refleksinya dipersembah melalui peribadi individu. Perlunya manusia kepada syariat Tuhan tidak sama seperti keperluan pesakit kepada doktor. Pesakit memerlukan doktor untuk merawat jasadnya. Tetapi syariat Tuhan diturunkan untuk merawat jiwa dan rohani hambaNya.

             Siapa antara kita yang tidak mahu menuju kesempurnaan? Siapa antara kita yang mahu terus berada dalam kegelapan? Walau telah banyak ilmu dan hikmah yang diperoleh sekalipun, malah sempurna pada pengamalan nilai-nilai, yakinkah kita akan selamat dan sampai pada tujuan kehidupan? Yakinkah kita telah sempurna tuntutan Yang Menjadikan kepada yang dijadikan? Siapa yang ingin dilanggar ketika membawa kenderaan? Tidak ada. Tetapi supaya tidak dilanggar, supaya tiada yang cedera, dijadikan aturan jalan yang harus dipatuhi. Demikian juga tentang perjalanan hidup manusia. Orang yang akalnya sihat tidak ingin dirinya rosak dan binasa. Tetapi supaya sampai kepada tujuan perjalanan yang lurus, diadakan aturan suci dari Allah yang mesti dituruti. Manusia yang bijak, yang mempunyai akal sihat, mampu mencari korelasi seimbang, antara penghayatan sistem nilai dan syariat pemberian Tuhan.

             Harapan penulis semoga setiap yang membaca tulisan ini termasuk penulis sendiri merenung dan mengkaji semula nilai-nilai Al-Quran yang barangkali beransur hilang dalam peribadi masing-masing. Meski kita telah menuntut ilmu daripada pelbagai sudut sekalipun, adalah tanggungjawab seorang muslim itu sendiri untuk menggunakan segala apa yang dimilikinya untuk sampai kepada Tuhan. Kerana, apa gunanya hidup, jika pengakhirannya bukan di sana? Sana – Syurga nan abadi.


No comments:

Post a Comment