Dengan nama Allah yang Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang.
Izinkan saya menggunakan tajuk di
atas daripada kata-kata Ustaz Hasrizal yang begitu cantik ayatnya. Ayat yang
mempunyai aura dan dapat memberi makna hidup pada diri kita. Jika dalam bahasa
asing kita terbiasa dengan ‘you get what you give’ dan jika dalam bahasa
Arabnya, ‘tangan di atas itu lebih baik dari tangan yang dibawah’.
ALLAH always give, give, give and forgive.
We human always get, get, get and forget.
Itulah lumrah manusia, nikmat
yang berada di depan mata, yang berada pada diri tidak dihargai dan tidak
disyukuri. Kita lupa untuk besyukur pada Yang Maha Memberi. Cukup sekadar
merenung nikmat oksigen yang Allah beri pada kita dalam kehidupan seharian.
Adakah kita masih hidup andai Allah tarik nikmat ini daripada kita? Pasti
tidak, bukan? Kita lupa bahawa ramai di luar sana yang serba kekurangan. Pesan
Sang Nabi agar kita memandang orang yang di bawah bukan yang di atas agar kita
bersyukur. Ingatlah semuanya milik Allah.
“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka
dari Allah-lah (datangnya)…”
[Surah An-Nahl, 16 : 53]
Bersyukurlah dengan nikmat yang
ada ini dengan berkongsi kepada orang lain. Hatta hanya dengan senyuman
sekalipun. Pesan kekasih Allah juga, sebaik-baik umat ialah yang bermanfaat
kepada orang lain. Kadang kala dengan memberi, tanpa kita sedari hidup akan
berasa lebih tenang dan seakan berada dalam rahmat-Nya kerana yakinlah dengan
janji Allah.
“… rahmat Allah beserta orang yang berbuat baik.”
[Surah Al-A’raf, 7 : 56]
Rasulullah s.a.w. adalah contoh
teladan yang paling hampir dengan kita. Begitu dalam kasih saying baginda kepada
kita. Memasak pegangan akidah dalam diri para sahabat sehingga mereka memberi
harta dan jiwa mereka berjihad di jalan Allah. Sabar melayan kerenah umatnya
yang boleh dianggap manja kerana masalah yang timbul pasti dibawa rujuk kepada
Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang
menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku
berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa
ingin mendekati api itu.
(riwayat Bukhari dan Muslim)
PAKSA DIRI
Mungkin pada awalnya kita berasa
susah untuk memberi. Untuk melakukan apa-apa sahaja yang kita tidak suka atau
tidak biasa, paksa itu kuncinya. Jika kita melihat kali pertama Nabi menerima
wahyu, Jibril a.s. memeluk erat Nabi dan menyuruh
baginda untuk membaca. Tiga kali baginda dipeluk. Tiga kali baginda disuruh
membaca.Selama beberapa hari
baginda dirudung resah dan gelisah. Dan suatu hari, baginda terlihat Jibril a.s
sekali lagi, dalam rupanya yang sebenar di kaki langit.
"Wahai Muhammad! Aku Jibril dan engkau adalah utusan
Allah!"
Berlari-lari
baginda penuh ketakutan dan minta untuk diselimutkan oleh Khadijah r.a. Zammiluni!
Zammiluni! Selimutkan aku! Selimutkan aku! Ketika itulah, paksaan kedua
dalam bentuk wahyu yang mulia, turun dari langit.
"Wahai
orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berillah peringatan!"
[Surah Al-Muddatsir, 74:1-2]
Bukankah
itu satu arahan yang membangkitkan? Bukankah itu suatu bentuk paksaan? Ya, kita
belajar bahawa dalam melakukan apa jua dan untuk meraih keredaan-Nya, paksaan
itu perlu. Kita tahu bahawa ada masanya kita mesti memaksa diri kita untuk
bangkit. Dan daripada perjalanan hidup baginda yang penuh dengan liku-liku itu,
kita faham bahawa paksaan itu wajar dalam menggerakkan hidup kita.
Jadikan cintaku padaMu ya Allah,
Berhenti di titik ketaatan,
Meloncati rasa suka dan tak suka.
Karena aku tahu,
mentaatiMu dalam yang tak kusukai,
Adalah kepayahan, perjuangan, dan gelimang pahala,
Karena seringkali ketidaksukaanku,
hanyalah bagian dari ketidaktahuanku.
-Salim A. Fillah, Jalan Cinta Para Pejuang-
Kita perlu memaksa diri kita kerana
kita hidup bukan untuk diri sendiri. Tapi hidup untuk memberi. Memberi dan
menyerah diri kita kepada Allah sebagai hamba. Memberi tenaga, masa dan harta
untuk memakmurkan dunia sebagai khalifah di muka bumi ini. Paksalah diri kerana
orang beriman itu tidak sepatutnya ada sikap mementingkan diri. Orang beriman itu saling tolong menolong dan
merasai kesusahan yang dihadapi oleh orang lain. Orang beriman ingin kebaikan
yang dimiliki dirasai juga oleh orang lain. Hidayah dan indahnya Islam dikongsi
bersama orang lain.
LELAH MEMBERI
Namun dalam proses memberi, kita
akan diuji. Kita akan berasa penat dengan kerenah orang yang tidak berpuas
hati, tidak menghargai dan tidak bereaksi seperti apa yang kita mahukan. Kita
seakan mahu berhenti. Maka di saat itu, carilah ketenangan diri dan berehat
sebentar. Dan rehat yang terbaik adalah melalui hubungan vertikal hamba dan
tuannya. Mengadulah pada Dia dalam sujud tahajud lagi-lagi di waktu sunyi,
menangis dan mintalah kekuatan daripada Dia. Muhasabah diri agar sentiasa perbetulkan
niat. Kepada siapa dan untuk apa kita memberi. Jika untuk pujian dan santapan
pandangan manusia, maka penat ini sia-sia. Namun, jika penat ini untuk mencapai
reda-Nya, penat ini ialah penat yang bermakna. Penat dan bersusah payahlah di
dunia, kerana rehat yang abadi hanya di Syurga.
“Sesungguhnya bangun di waktu malam itu adalah lebih tepat (untuk
khusyuk)
dan bacaan di waktu itu lebih berkesan”
[Surah Al-Muzammil, 73 : 6]
‘Dunia penjara bagi mukmin, dan syurga bagi orang kafir.’
(Hadis Riwayat Muslim)
Dunia merupakan penjara bagi orang-orang yang beriman
kerana mereka yakin akan kekalnya kehidupan
akhirat, sehingga mereka lebih memilih untuk
“memenjarakan” nafsu duniawi. Merekalah yang percaya dan yakin pada janji Allah
Ta’ala:
“Dan adapun
orang-orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan
hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya,”
[Surah An-Naziat,
79 : 40-41]
Dunia merupakan “syurga” bagi orang-orang yang tidak
beriman yang bebas melakukan apa sahaja sedangkan syurga yang abadi sahajalah
yang tiada larangan untuk berbuat sesuatu. Mereka menjalani hidup dengan
melampaui batas serta mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat kerana
mereka tidak mempercayai kehidupan akhirat.
“Adapun
orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka
sehungguhnya nerakalah tempat tinggalnya,”
[Surah
An-Naziat, 79 : 37-39]
Pengajarannya, jadikan dunia dan kemewahannya sebagai jambatan untuk bekalan
akhirat. Jangan dunia menguasai kita sehingga melalaikan dari akhirat.
Rasulullah s.a.w, para sahabat dan penyambung risalah agama Islam semua telah
berpenat lelah, maka di manakah usaha kita?
MEMBERI MAKNA
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin,
anak yatim dan orang yang ditawan, (sambil berkata) “Sesungguhnya kami memberi
makanan kepadamu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mengharap
balasan dan terima kasih dari kamu.”
[Surah Al-Insan, 76:8-9]
Berilah apa yang kita
sukai.
Berilah kepada mereka
yang memerlukannya.
Memberi untuk mencapai
redhaNya.
Menambah saham
sebagai bekalan.
Itulah cara kita
memaknai erti memberi.
Hidup perlu memberi,
bukan cuma menerima.
Ibarat sang matahari, tak pernah serik memancar cahaya.
Andai sudah biasa
memberi, teruslah memberi.
Walau sedikit asal
berkekalan.
Jangan sesekali lelah
dan bosan.
Bersabarlah wahai sahabat!
Memberi memerlukan pengorbanan.
Kerana yang dirindui
bukan calang-calang.
Kerana cerita terbaik
ingin dibawa pulang.
Untuk dibanggakan di
depan Ilahi.
Biar penat di dunia,
asal tenang di syurga.
Kerana Allah Maha
Melihat usaha hambaNya
Memberi,
Kerana pada memberi
itu ada kehidupan.
Kerana memberi
menghidupkan jiwa-jiwa kita.
Kerana nilai
kehidupan ini tidak terletak pada apa yang kita suka dan cinta
Tetapi terletak pada
apa yang Allah suka dan redha.
[ kredit ] |
“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan
boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah
mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
[Al-Baqarah; 216]
No comments:
Post a Comment