Friday 30 January 2015

Mencari Keindahan Disebalik Kejadian


Berapa ramaikah antara kita yang menikmati pemandangan di pantai, yang halus bersih pasirnya, cantik jernih airnya, kelihatan permai di dasarnya dan pada masa yang sama dia memikirkan kekuasaan Yang Maha Pencipta segala keindahan yang disaksikan itu? Berapa ramai pula yang memikirkan jika tanpa dua bebola mata kita ini tidaklah kita mampu melihat keindahan dunia? Dan berapa ramai pula yang melihat kakinya yang dihinggapi pepasir pantai - yang membolehkan dia merasai nikmat berjalan di muka bumi Allah ini? Pernahkah kita terfikir kenapa sekian sekian diciptakan? Apakah tujuan penciptaannya? Apakah hikmah disebalik setiap ciptaan itu?

Terlalu ramai yang terlepas untuk meneliti keindahan atau hikmah disebalik kejadian yang disaksikan. Sedangkan mahu meneliti atau tidak itu adalah pilihan kita untuk menentukannya.

Setiap sesuatu ciptaan Tuhan di alam ini mempunyai sebab ianya diciptakan. Setiap sesuatu kejadian dan ciptaan itu jelas adalah bukti kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta. Hal ini diterangkan dalam ayat Al-Quran :

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Al-Imran, 3:190-191)

Samalah jika kita bandingkan ciptaan tuhan ini dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup kita.

Tidak akan terjadi sesebuah kesenangan, kebahagiaan, kegembiraan, keterujaan, kesedihan, kesakitan, kekecewaan dan kepayahan jika kehadirannya tidak membawa faedah kepada manusia. Apa yang dirasai dalam jiwa saya, jiwa anda yang membaca mahupun segala ciptaan di muka bumi ini, di alam semesta hinggalah kewujudan Syurga dan Neraka sekalipun, semuanya diciptakan mempunyai sebab dan tujuan.

Ramai orang yang apabila mencurah-curah nikmat yang diterima, dia semakin jauh daripada Allah. Kecerdikan, kejayaan, kekayaan, kebahagiaan yang dikecapinya itu, telah membuatkan dirinya terlalu asyik dan hatinya telah terlalu bertaut pada nikmat yang diterima itu. Maka, dalam hal ini, hal keduniaan telah menggantikan tempat yang sepatutnya Allah berada di hatinya. Lalu Allah mampu menjadikan mati hatinya itu buta, gagal melihat betapa banyak nikmat yang Allah telah berikan padanya, betapa banyak Allah telah membantu hal hidupnya. Sehinggakan dia berasakan segala kejayaan yang dimiliki adalah hasil titik peluhnya sahaja dan dia berasakan dialah yang memiliki sepenuhnya kejayaan yang sebenarnya hanyalah pinjaman sementara itu. Dia telah mengikut hawa nafsunya semata-mata. Hawa nafsunya telah menjadi raja yang memenjarakan dirinya sendiri.

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
(Al-Jaathiyah 45:23)

Boleh jadi nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita adalah untuk kita kongsikan bersama manusia lain. Boleh jadi kekayaan kita itu adalah untuk dikongsikan sebahagiannya bersama dengan yang fakir miskin. Boleh jadi kecerdikan yang kita dianugerahkan itu adalah untuk diajarkan kepada orang lain. Tetapi ramai orang tidak sedar hakikat ini dan telah gagal dalam ujian nikmat ini. Maka, amatlah perlu berhati-hati jika kita dilimpahi kurniaan-Nya. Fikirkanlah mengapa kita dikurniakan nikmat, supaya kita lebih bersyukur dan tidak meletakkan segala macam hal keduniaan itu ke dalam hati kita. Percayalah bahawa jika kita bersyukur, Allah akan menambahkan lagi nikmat. Jika tidak, boleh jadi Allah menambahkan lagi nikmat untuk kita terus leka dalam kesenangan hidup (nauzubillah).

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim, 14:7)

Apabila segala macam bah kesedihan, kekecewaan, kepayahan dan kesakitan melanda hidup kita, janganlah biarkan kita hanyut dalam arus tersebut. Lama-kelamaan kita semakin susah untuk timbul ke permukaan arus dan semakin tenggelam di dalamnya sehingga melemaskan diri sendiri. Jika kita tidak memikirkan apakah keindahan ataupun hikmah disebalik peristiwa yang mendukacitakan ini, maka yang kita nampak hanyalah keburukan pada lahiriahnya sahaja. Sedangkan dalam titisan air mata itu, dalam perit luka yang berdarah itu, tersembunyi hikmah yang amat besar yang Allah ingin kurniakan kepada kita. Manusia akan mudah mencari Tuhan apabila ditimpa musibah ataupun ujian. Jadi janganlah kita merugikan diri sendiri jika ditimpa ujian. Jika jatuh, carilah kekuatan untuk bangun semula. Jika rasa tidak mampu untuk bangkit, janganlah berputus asa. Biar jatuh berkali-kali, asalkan kita terus berusaha untuk bangun semula. Lambat laun, Allah pasti akan membantu kita jika kita benar-benar memohon pertolongan daripada-Nya, asalkan bukan memohon daripada ciptaan-Nya.

Mungkin kekecewaan yang berlaku adalah untuk mengajar kita agar tidak bergantung pada manusia. Mungkin kesedihan yang berlaku adalah untuk mendidik kita supaya lebih berusaha dalam hal yang kita kerjakan. Mungkin keperitan yang dialami adalah untuk mengajar kita untuk tidak mengejar cinta selain Tuhan, sebaliknya meletakkan Allah Yang Satu dalam hati sanubari kita. Sungguh, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada tujuan. Tidak sia-sia pengalaman pahit yang kita rasakan. Jangan sesekali mengatakan “aku menyesal… kalau dulu aku tak sekian sekian sekian…… mesti aku sekarang…..” kerana itu tandanya kita tak menerima takdir Tuhan. Syukurlah apabila menerima ujian. Kerana kita insan terpilih, diuji untuk dibawa ke syurga.

Sahabat sekalian,

Antara resepi KETENANGAN dalam hidup adalah memandang baik ciptaan tuhan dan mencari keindahan disebalik setiap peristiwa yang terjadi dalam hidup ini. Jika perkara kebaikan menjelma, jangan diagungkan hal itu, Sebaliknya, agungkan lah Yang Maha Pemberi Rezeki itu. Kerana kekayaan, kejayaan dan sebagainya itu adalah sementara. Allah itu yang abadi. Jika keburukan menimpa, ingatlah yang itu juga sementara. Matahari kan bersinar kembali. Allah pasti akan membawa kita ke jalan keluar dari setiap sengketa kita. Bersangka baiklah kepada Allah kerana Allah mengikut prasangka hamba-Nya.

“Aku adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku di khalayak ramai, aku akan mengingatinya di hadapan khalayak ramai yang lebih mulia, iaitu para malaikat dan para nabi. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekati-Nya dalam keadaan berlari.”
(HR. Bukhari dan Muslim)

Sematkan di dalam hati bahawa setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah. Setiap orang berbeza-beza jalan hidupnya, berbeza-beza juga ujian hidupnya, berbeza-beza cabaran, tapi pengakhiran kita mahukan yang sama iaitu Syurga. Lihatlah segala yang berlaku dalam hidup kita ini adalah untuk membawa kita syurga. Reaksi kita terhadap kesenangan dan kesusahan yang berlaku ke atas kita pun mestilah juga reaksi yang boleh membawa kita ke syurga. Bagaimana kita hendak ke syurga jika kita mendustakan nikmat Allah atau berputus asa dalam kesusahan? Tanyalah iman dan hati sendiri.



Akhir kata, jalanilah kehidupan ini seperti seorang yang memerhatikan sesebuah lukisan. Sama ada baik atau buruk pun lukisan itu, cubalah memerhatinya dengan teliti. Jangan sekadar lihat dan pergi, tanpa mengambil apa-apa nilai daripadanya. Lihatlah lembaran lukisan itu dari setiap sudut, meniliti setiap bentuk dan menghargai setiap warna yang ada padanya. Kerana sesebuah lukisan itu dilukis untuk menyampaikan mesej kepada pemerhati. Mesej itu ingin disampaikan oleh si pelukis melalui sebuah lukisan. Perhatikanlah dan telitilah. Supaya kita dapat menyelami mesej yang si pelukis hendak sampaikan kepada kita. Secara tak langsung, akhirnya kita mengenali siapakah dan bagaimanakah sifat si pelukisnya. Begitulah jua dalam kehidupan. Allah (Si Pelukis) memperlihatkan kepada kita bermacam kejadian dan peristiwa (lukisan) dalam hidup ini. Kita sebagai manusia (pemerhati lukisan) harus mengamati setiap kejadian dan peristiwa itu supaya kita dapat menerima mesej/teguran daripada Allah. Akhirnya barulah kita tahu, Allah memperlihatkan kepada kita macam-macam perkara adalah kerana Allah sayangkan kita sebagai hamba-Nya. Oleh sebab itu, tugas-Nya adalah menegur kita melalui ujian nikmat dan kesusahan sebagai tanda kasih dan sayang-Nya.

Wallahua’lam.



Disediakan oleh,
Kadoq



Saturday 24 January 2015

Kita Semua Adalah Pendakwah!

Biasa orang kata,

"aku tak cukup ilmu nak nasihat dia",
"aku pun tunggang langgang lagi macam mana nak betulkan orang?",
"layak ke aku ni?",
"kau lah buat, kau kan lagi tahu"

Serta macam-macam lagi perkataan-perkataan yang mana di dalam pemikiran mereka, mereka itu tiada tempat dalam mengajak orang lain kepada kebaikan.

Mengapa rendahkan diri sebegitu? Jangan merendah diri tak bertempat!

Sabda Rasulullah S.A.W:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
"Sampaikanlah dariku walau satu ayat..."
(HR Bukhari)

Persoalannya, ke mana tudingan hadith ini? Adakah kepada orang-orang soleh? Adakah kepada para ilmuan, guru-guru, ustaz-ustaz, profesor-profesor, graduan-graduan yang sarat dengan ilmu Islam? Yang menjadi rujukan apabila ada masalah, dicari bila ditimpa musibah? Atau kepada mereka yang dirasa lebih bersifat muslim/muslimah?

Jadi, kepada siapa? Tidak lain kepada anda yang sedang membaca, saya yang menulis dan nun yang di luar sana, kepada mereka-mereka yang terasa. Dan secara umum, seluruh umatnya, tidak kira alim atau tidak.

Maknanya di sini, semua orang layak membimbing. Ya! Semua.

Walaupun kita kurang ilmu, tak mengapa. Yang penting adalah usaha dan nekad. Jangan biarkan orang lain terumbang-ambing.

Kerana di akhirat kelak, manusia akan mula mencari segala apa yang dapat mengelakkan dirinya dari azab. 

Dan yang akan turut dicari, adalah antaranya kita yang tidak pernah berusaha menolak kebatilan yang mereka lakukan di depan mata kita.

Insya-Allah pada setiap usaha sama ada besar, sederhana, mahupun sekecil zarah, akan terdapat ganjaran padanya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Demi Allah, sekiranya seorang lelaki memperoleh hidayah (daripada Allah) kerana (usaha) kamu, itu lebih baik daripada nilai unta merah*."
(HR Bukhari)
*sejenis unta yang terbaik dan termahal kerana badannya yang tinggi dan besar bersesuaian dengan zaman Rasulullah. 

Firman Allah S.W.T:

"...Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
(Al-Hajj - 22:40)

Sudah dijanjikan, orang yang membantu Allah, akan kembali bantuan kepadanya. Bila kita menasihati orang lain, secara automatik kita pun sedikit sebanyak akan mempraktikkan apa yang disampaikan. Bukankah itu merupakan bantuan Allah untuk memperkasa iman kita? Itulah ganjaran yang sebenar-benarnya. Yang selebihnya hanya bonus.

TAK TAHU???

Tak tahu macam mana nak mula? Bagaimana nak mencuba langkah? Lihat keluarga, lihat rakan sebaya, lihat sekeliling kita. Mulakan dengan yang rapat. Yang kita selesa berbicara. Kalau berhadapan dengan yang lebih tua atau lebih tinggi darjat, lakukan secara lebih berhikmah. Tak bermakna mereka lebih tua, lebih berpengaruh, amalan dan peribadi mereka terjaga tanpa sebarang comot. Kita bukanlah maksum, tiada cacat celanya.

Buat sikit-sikit tak apa, yang penting istiqamah. Janganlah terus dicurahkan air sebaldi, kemudian habis begitu sahaja. Biarlah sedikit demi sedikit, asalkan berterusan alirannya.

Kemudian apabila kita sudah berada pada kedudukan yang lebih atas, lebih arif, lebih tahu, jangan lupa yang di bawah. Mereka bukan untuk dikeji, dipandang rendah, walaupun dari mata kita mereka itu jahat, suka bermaksiat, banyak berdosa, atau sebagainya. Mungkin suatu hari, mereka adalah yang lebih baik dari kita.

Sebengis-bengis Saiyyidina Umar R.A, begitu mudah luntur dengan ayat al-Quran. Semulia-mulia Abu Talib bapa saudara nabi, tak mampu menerima syahadah sehingga nafas terbenam. Bukti betapa mudahnya manusia berubah dengan hidayah Allah. Siapalah kita untuk menilai dengan hati kita, hati manusia, hati yang sering bergelumang dosa.

Bukanlah aku orang yang banyak ilmu agama,
bukanlah aku orang yang banyak amalannya,
tapi inilah yang mampu ku kongsi bersama.




Saturday 17 January 2015

Yakinlah dan Pejamkan Mata!


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Hari ini kita masih lagi dikurniakan nyawa dan dapat bersama-sama menjalani kehidupan dengan orang-orang yang tersayang. Allahumma solli ‘ala Muhammad, selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Maha Suci Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia serta menjadikan umur kita semakin bertambah setiap hari. Tidak ada sesiapa yang akan menjangka apa yang akan berlaku pada esok harinya secara tepat. Ya, mungkin boleh mengagak, tetapi Allah yang menentukan segalanya.

Kadang kala, perkara yang kita rasa kita tidak mampu buat, tetapi jika Allah izinkan ia berlaku, ia tetap akan berlaku. Kemudian, ada juga orang yang berasa yakin dengan kekuatan dan kebolehannya, tiba-tiba dia gagal dalam hidupnya.

_____________________________

Dalam agama, antara perkara yang ditekankan dalam bab akidah adalah tawakkal. Konsep tawakkal ini ialah berserah diri kepada Allah dengan meletakkan sepenuh kebergantungan kita hanya kepada Allah setelah melalui fasa usaha dan berdoa. Betapa iman manusia itu tidak akan sempurna tanpa meletakkan Allah sebagai tempat bergantung harap. Ya, manusia disuruh untuk berusaha, tetapi manusia perlu faham dan yakin bahawa di atas segala usahanya, ada kuasa lebih besar yang menentukan keberjayaannya dalam sesuatu perkara yang dilakukannya, yakni Allah swt.


Merujuk kepada potongan ayat 2 dan 3 dari Surah At-Talaq ini, Allah ingatkan kepada kita, siapa yang bertakwa kepada Allah, maka Dia akan jadikan untuknya jalan keluar dan Allah akan beri rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Allahu akbar!

Cuba kita senaraikan berapa banyak nikmat yang Allah telah berikan tanpa kita sedar dan tanpa kita minta.  Betapa Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada kita semua kerana Dia ar-Razak, Maha Pemberi Rezeki. Maka, sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, cukuplah Allah baginya.

Sesungguhnya, tawakkal itu adalah keajaiban hidup. Nabi mengajar kita satu doa,



Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan Maha berdiri sendiri,
Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan,
Perbaikilah untukku urusanku semuanya,
Dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

Apabila Allah yang mentakdirkan untuk kita urusan kita, masya-Allah, pasti semuanya akan menjadi cantik dan tersusun! Tetapi, kadang kala Allah akan uji hidup kita dengan berbagai-bagai ujian sehinggakan kita tidak mampu untuk menghadapinya. Disaat kita tidak bisa lagi berdiri, pejamkanlah mata dan ucaplah “Hasbunallah wa nikmal wakeel”. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baiknya penolong dan pelindung bagi kami. Jika kita fikir, sudah berapa banyak ujian yang telah kita lalui dalam hidup ini, tetapi hari ini Allah bantu kita keluar daripadanya.

______________________________

Pada malam yang tegang di padang Badar, terdengar esakan Sang Nabi, “Ya Allah,” lirihnya dengan mata berkaca, “Jika Engkau biarkan pasukan ini binasa, Kau takkan lagi disembah di muka bumi ini! Ya Allah, kecuali jika Engkau memang menghendaki untuk tidak disembah lagi dimuka bumi!” Gementar bahu itu dengan esakannya sehingga selendang dibahunya jatuh seiring dengan gigilan tubuhnya. Dan Abu Bakar, lelaki yang imannya tanpa retak itu datang kepada Rasul Allah, “sudahlah ya Rasulullah, demi Allah, Dia takkan pernah mengingkari janji-Nya kepadamu!”

Rasakanlah getaran doa Sang Nabi, yang mana upayanya nyaris melampaui batas ikhtiar manusiawi.

Ayuh sahabat, marilah kita berusaha sedaya upaya. Namun, jangan lupa untuk meminta dan merintih kepada Allah, Dia Yang Maha Kuasa.

“ya Allah, tolong aku…
“ya Allah kasihanilah aku…
“ya Allah bantulah aku…
Allah adalah sebaik-baik tempat meminta.

Iman adalah mata yang terbuka,
Mendahului datangnya cahaya
Tapi jika terlalu silau, pejamkan sahaja matamu,
Lalu rasakan hangatnya keajaiban!
-salim A.fillah-



Sunday 11 January 2015

PILIHAN ALLAH ITU YANG TERBAIK

Alhamdulillah, syukur kepada Allah sebagai pemilik sekalian alam kerana masih memilih kita untuk terus hidup bernafas dan berjuang di bumi milik-NYA. Baiknya Allah kerana Dia Maha Kaya dengan sifat pemurah dan belas kasihan iaitu “Rahman” kepada seluruh manusia tanpa seorang pun yang diabaikan-Nya. Terpulang kepada manusia untuk membuat pilihan sama ada untuk terus patuh dan taat kepada-Nya atau mungkar kepada setiap seruan-Nya. Jikalau manusia berupaya untuk membuat pilihan dalam hidupnya, bagaimana pula dengan pilihan Allah untuk manusia?

Pilihan Allah adalah yang terbaik. Tiada sianya dalam Allah menciptakan sesuatu untuk hamba-Nya. Boleh jadi seseorang yang ditimpa dengan takdir yang menyakitkan dan tidak disukai oleh dirinya menjadi tidak sabar, berasa sedih dan mengira bahawa takdir tersebut adalah sebuah pukulan yang akan memusnahkan setiap harapan hidup dan cita-citanya. Akan tetapi, setiap kali kita melihat di sebalik putus asanya seseorang itu, ternyata Allah memberikan kebaikan kepadanya dari arah yang tidak pernah disangka-sangka. Sebaliknya, berapa banyak pula kita melihat seseorang yang berusaha keras dalam mendapatkan sesuatu yang kelihatannya baik, berjuang mati-matian untuk mendapatkannya, akan tetapi yang terjadi adalah di sebalik daripada apa yang dia inginkan. Sungguh Allah telah berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al Baqarah:216)

[kredit]

Mungkin cerita di bawah ini boleh jadi pengajaran berharga bagi kita walaupun kebenaran cerita ini belum diketahui kesahihannya namun kita boleh memetik ibrah berharga dari cerita ini bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik.

Suatu masa, ada seorang Raja yang sangat menyayangi rakyatnya. Setiap kali rakyatnya mendapat musibah dia selalu mengatakan bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik, sehingga hati rakyatnya menjadi lapang apabila mendengar hal ini.

Pada suatu hari, Sang Raja mendapat musibah iaitu jari tangannya telah putus, lalu Sang Raja mengadu kepada salah seorang menteri kesayangannya. Menteri tersebut mengatakan kepada raja akan hal yang sama raja katakan kepada rakyatnya iaitu pilihan Allah adalah yang terbaik.

Mendengarkan hal ini, Raja murka dan memenjarakan perdana menteri tadi. Pada suatu hari, Raja bersama pasukannya pergi berburu dan mereka tersesat jauh di dalam hutan dan ditangkap oleh sekelompok penyembah roh. Satu persatu pasukan Raja disembelih untuk dipersembahkan ke dewa penyembah roh tadi sehingga apabila tiba giliran Sang Raja untuk disembelih, melihatkan jari Sang Raja yang putus, mereka tidak jadi menyembelih raja kerana dianggap cacat. Akhirnya Raja selamat dan kembali ke istananya.

Raja segera membebaskan menteri yang dipenjarakan tadi dan berkata “benar apa yang engkau kata wahai menteri, pilihan Allah adalah yang terbaik”. Kemuadian Sang Raja menceritakan apa yang terjadi kepada dirinya kepada menteri tadi lalu Sang Raja bertanya kepada menterinya itu, “apakah penjara bagimu adalah yang terbaik daripada pilihan Allah?” Sang menteri menjawab, “benar wahai raja, pilihan Allah adalah yang terbaik”.

Sang Raja bertanya terus “apakah hikmahnya bagimu wahai menteri?” Menteri menjawab, seandainya saya tidak masuk penjara tentunya saya akan ikut bersama raja berburu dan tentunya saya sudah disembelih bersama pasukan lainnya. Namun Allah menyelamatkan saya dengan memasukkan saya ke dalam penjara.

Begitulah sahabat, apa yang nampak pahit di mata kita, ternyata penuh kebaikan di hadapan Allah dan sebenarnya Allah berikan kebahagiaan yang sangat berharga akan setiap pilihan-Nya. Indah bukan perancangan Dia?

Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Bukankah kita sepatutnya melihat hikmah yang begitu besar di sebalik semua itu?

Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa  bersyukur, berlapang dada dengan setiap perkara yang berlaku, selalu berfikiran positif kepada Allah, tidak berprasangka buruk akan setiap pilihan-Nya dan sentiasa tabah atas ujian dan tribulasi daripada-Nya sehingga kita berjaya memetik hasilnya di dunia mahupun di pintu syurga kelak. Amin.

Wallahualam.

[Tinta seorang Mujahadah]

Friday 2 January 2015

RASULULLAH CONTOH IKUTAN TERBAIK



Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, kita masih lagi dipanjangkan umur untuk sampai ke sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang sudah entah ke berapa kalinya kita sambut sepanjang kehidupan kita. Walau betapa banyak kalinya kita sambut, persolannya adakah Rasulullah sudah berada dekat dalam hati kita?  Adakah siang dan malam kita seperti siang dan malam baginda? Adakah bibir kita sudah terbiasa memberikan senyuman sebagaimana baginda yang terkenal dengan murah senyumannya? Yang paling penting sekali, berapa banyakkah sunnah-sunnah yang baginda tinggalkan untuk kita telah kita amalkan? Tepuk dada, tanya iman masing-masing.

                Wahai sahabat-sahabat sekalian, para ulama bersepakat untuk mengadakan sambutan Maulidurrasul setiap tahun bukan untuk mempertuhankan mahupun memuja-muja Rasulullah s.a.w. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kita bahawa kita ada Rasulullah. Kita punya seseorang untuk kita ikuti. Tuhan tidak pernah meninggalkan kita terkapai-kapai saat ujian diberikan. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar konflik. Seringkali sahaja kita menjadikan hawa nafsu kita sebagi raja dan kita sebagai hamba. Tanpa sedar, kita sendiri yang meletakkan nilai diri kita pada tahap yang sebegitu rendah.  Pada saat kita bermasalah, emosi kita menguasai diri dan menjadikan akal sukar untuk membuat keputusan. Apabila kita punya masalah, kita berharap bahawa orang sekeliling kita akan membantu. Kita perlu ingat bahawa setiap orang punya konflik masing-masing. Apabila kita terlalu berharap pada orang lain tetapi orang tersebut tidak bertindak seperti yang kita harapkan, akhirnya kita akan berasa kecewa dan melihat dunia ini serabut serta bercelaru. Lalu kita cuba menguruskannya sendiri dengan ‘fatwa’ rekaan sendiri.

Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab:21)

                Turunnya Rasulullah s.a.w. adalah sebagai suri teladan seperti dinyatakan dalam ayat al- Quran di atas. Suri teladan bermakna memberi contoh yang baik. Serabutnya kita adalah kerana kita jauh dengan Rasulullah s.a.w. Kita lupa akan baginda. Kita lupa bahawa ada seseorang yang telah mengajar kita menjadikan agama sebagai paksi kehidupan.

Apabila kita menguruskan sesuatu perkara, perlu kita ketahui bahawa antara cara terbaik untuk menguruskan urusan kita adalah dengan menggunakan konsep perceptual position. Kita cuba untuk meletakkan diri kita di luar masalah kita dan melihatnya sebagai orang ketiga. Lalu perlu untuk kita berfikir, bagaimanakah cara yang akan Rasulullah s.a.w akan lakukan jika baginda berada di tempat kita. Jika kita berterusan tenggelam dalam lingkungan masalah kita sendiri, maka kita tidak akan perasan cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Kebiasaannya, manusia lebih bijak mengkritik orang lain kerana mereka cukup mahir dalam berperanan sebagai orang ketiga. Namun yang lebih hebat lagi ialah kita menjadikan baginda sebagai orang ketiga tersebut. Dengan izin Allah s.w.t., dada kita akan menjadi lapang dan kita akan menjadi orang yang lebih bahagia. Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w kerana kita mengikuti cara baginda. Setiap perkara yang baginda lakukan mempunyai rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri. Cubalah mengamalkannya dengan penuh yakin dan istiqamah. Moga-moga kehidupan kita akan menjadi lebih baik dengan meletakkan Rasulullah s.a.w dekat dengan kehidupan kita kerana ini adalah kunci kepada kejayaan kita di dunia dan akhirat, insya-Allah.

Dalam kita menyambut maulidur rasul ini, marilah kita perbanyakkan lagi selawat dan salam kita kepada baginda. Moga-moga amal yang sedikit ini mampu menjadi asbab kepada pertolongan baginda di akhirat kelak. Wallahu’alam.


اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍ