Monday 13 July 2015

Takut, Harap dan Cinta.

           
Mengapa mengharapkan syurga?
Tidak cukupkah nikmat dan pemberian Tuhan itu
Sudah bagaikan syurga buat kaum yang bersyukur?

Mengapa takut pada neraka?
Bukankah maksiat dan dosa dosa itu
Bagaikan sengsara pada yang mengaku beriman.


            Dua elemen penting yang menjadi asas dalam proses pembaikan kehidupan manusia adalah kewujudan sifat takut dan harap. Takut, dalam erti kata lain, adalah perasaan ragu-ragu, atau keengganan terhadap sesuatu. Di suatu sudut, takut juga membawa erti kegelisahan oleh sebab hukuman yang bakal menimpa. Lantaran itu, wujud dua kelainan jenis tingkah laku yang dipengaruhi oleh sifat takut. Pertama, penolakan terhadap sesuatu perkara. Individu yang masih takut-takut atau ragu dalam melaksanakan sesuatu perkara kerana belum cukup keyakinannya. Ataupun belum cukup ilmunya dalam kesahihan sesuatu maklumat lalu memberanikan dirinya berfikir dan mencari sampai cukup ilmunya, barulah kemudian berani melaksanakan apa yang diketahuinya itu. Orang yang begini mempunyai daya pemikiran yang kritis dan mampu melaksanakan sesuatu berlandaskan hujah dan tujuan. Kerana amalan yang dilakukan adalah atas dasar kefahaman dan ilmu. Tetapi sikap seperti ini juga ada bahayanya. Terlalu ragu-ragu dan ingin benar mencari kesahihan, akhirnya orang ini kendur pada pengamalan dan tidak akan ke mana-mana. Kerana hakikat ilmu yang sebenar bukan pada asas dan hujahnya, tetapi pada keindahan sesudah ilmu itu dikerjakan. Ibarat seorang petani, mudah sahaja baginya menyemai benih, tetapi belum tentu mudah menjaga benih itu sampai besar, berbunga, berputik dan berbuah. Orang yang begini seharusnya hendaklah sabar dalam mencari erti sebenar kehidupan meskipun ada sedikit keraguan dalam diri.

            Tingkah laku yang kedua adalah perbuatan yang dilaksanakan tetapi didorong atas dasar takut kepada hukuman. Ketakutan yang seperti ini menimbulkan tindak balas spontan dari pihak si pelaku. Hukuman itu bagaikan stimulus kepada individu untuk sentiasa melaksanakan tugas. Secara kasarnya, respon yang diberikan adalah memuaskan untuk jangka masa pendek. Kerana tugas yang diberikan akan selalu tertunai meskipun berada dalam ketakutan. Walaubagaimana pun, apabila hanya dorongan hukuman yang ditekankan secara berulang-ulang, kelak respon daripada individu akan beransur-ansur berkurangan pada jangka masa panjang dan akhirnya akan ditinggalkan terus perbuatan tersebut lantaran kurang kefahaman tentangnya. Dan yang lebih buruk lagi adalah apabila gertakan hukuman itu akhirnya tidak memberi kesan langsung ke atas individu tersebut. Kerana yang diperkenalkan adalah ketakutan hukuman, bukan hakikat disebalik perbuatan. Mengambil contoh, seorang anak kecil yang digertak oleh orang tuanya dengan rotan jika tidak melaksanakan solat. Terlalu takut pada hukuman, akhirnya anak kehilangan makna di sebalik solat. Oleh itu, hendaklah ketakutan seperti ini dihindarkan tetapi ditimbal balik dengan asas kefahaman ilmu dan makna supaya yang dilaksanakan itu tidaklah sia-sia dan berkekalan untuk jangka masa panjang.

            Elemen yang kedua adalah harapan. Harapan adalah umpama sesuatu yang menunggu di hujungnya. Harapan, adalah bagai buah fikiran yang bertugas menggerakkan seluruh sendi supaya bekerja ke arah destinasi yang sama. Kerana manusia meletakkan harapan, maka dikerahkan seluruh anggotanya supaya sentiasa bergerak dalam merealisasikan harapan tersebut. Dalam erti kata lain, harapan juga disamakan seperti batu loncatan yang menjadi motivasi kepada individu meskipun pekerjaan itu mengambil masa yang agak lama untuk dikutip hasilnya. Semakin jauh atau susah perkara yang diharapkan, semakin banyak usaha yang dilakukan dalam mencapai target tersebut. Tetapi jika hanya harapan yang ditekankan tanpa dihadirkan sedikit rasa takut, kelak akan mengundang kekecewaan. Terlalu meletakkan harapan tanpa mengambil kira aspek lain yang mempengaruhi akibat dan kesan, akan menyebabkan individu ini khayal dalam keindahan sebuah retorik dan angan-angan. Walhal tidak realistik. Kerana individu seperti ini terlampau fokus pada satu jalan tetapi menutup mata mereka untuk melihat lensa kehidupan yang lebih luas. Akhirnya apabila hasil yang muncul tidak seperti yang diharapkan, individu ini akan bermula semula pada titik permulaan dan proses yang sama. Dan seterusnya kekecewaan yang sama akan berulang. Mengharapkan output yang berbeza, tapi masih bermula pada lokus yang sama. Mana mungkin hasil yang timbul akan berbeza. Hakikatnya, takut dan harap adalah dua entiti yang harus diletakkan pada kedudukan tertentu dan digerakkan dalam fasa yang sejajar, sesuai dengan situasi yang berlaku.

Takut dan harap yang hilang dalam falsafah cinta

[ kredit ]

             Sementara kita masih lagi berteka-teki tentang di mana letaknya takut dan harap, cinta telah lebih dahulu menaiki tangga teratas mengatasi segalanya. Ahli falsafah terdahulu mentafsirkan cinta sebagai sendi segenap keutamaan dunia. Jika tiada cinta, nescaya kemanusiaan akan hancur. Paulo Coelho di dalam makalahnya yang berjudul The Alchemist pula menyifatkan cinta sebagai bahasa dunia yang menghubungkan ciptaan kepada pencipta. Cinta pula mengandungi bahagiannya yang tersendiri. Cinta seorang ibu kepada anaknya, suami kepada isteri, seorang kakak kepada adiknya, dan yang lain-lain. Tetapi yang ingin ditekankan di sini bukanlah kecintaan kekeluargaan, tetapi tentang hakikat kecintaan Tuhan yang tiada tolak bandingnya.

            Sepertimana seorang lelaki berkehendak cinta daripada seorang perempuan, tetapi mampukah cinta itu sendiri hadir tanpa melihat kepada keayuan wajahnya? Jika selama ini kita hanyut pada tulisan dan bait-bait kata pengarang yang indah sehingga ingin benar bertemu dengan penulisnya, maka bagaimana pula perasaan kita sewaktu membacakan ayat suci Al-Quran dari Tuhan? Cinta Tuhan itu bagaikan ketukan di muka pintu. Kita buka, dan jika ketukan itu mengena pada kita maka kenallah kita pada-Nya. Tetapi mampukah kita menjemput-Nya bertandang di ruang tamu bawah kesedaran kita? Tidak mungkin. Kerana cinta itu hadir luar dari kesedaran kita. Cinta bebas dari perangkap ilusi bawah sedar manusia, malah ia juga tidak terhad di luar kesedaran semata-mata. Manusia tidak mampu menanggapi hakikat cinta Tuhan yang sebenar. Malah mustahil untuk manusia mencapainya kerana keterbatasan hakikat manusia itu sendiri.  Supaya kita merasai keindahan cinta, Tuhan merembeskan cinta-Nya kepada kita melalui ayat-ayat-Nya, melalui kalam Allah yang agung yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w buat umatnya.   Tuhan berbicara kepada kita melalui bahasa yang difahami manusia itu sendiri. Tetapi hadir-Nya tetap luar dari kebiasaan. Cinta Tuhan tidak bersemayam pada bahasa tetapi luar dari korpus bahasa itu sendiri. Sebagaimana Dia melarikan makna “Alif lam mim” daripada kita. Kita akhirnya tetap akui bahawa agung-Nya cinta daripada Tuhan itu seluas rahmat kepada seluruh alam.

            Justeru, bagaimana seharusnya cinta seorang hamba kepada Tuhan? Cinta memerlukan bukti dan pengorbanan. Pengorbanan yang memerlukan latihan spiritual yang perlu selalu diperbaiki. Latihan spiritual adalah persoalan mencari makna tersirat disebalik setiap perbuatan menggunakan hati. Latihan spiritual juga termasuk persoalan mencari diri sendiri, mempersoal hakikat kewujudan diri dan persoalan mengapa aku dicipta. Dengan mengenali diri dan mencintai diri, seiring dengan itu akan wujud sifat cinta kepada pencipta diri.   Untuk membuktikan kecintaan kepada Tuhan, maka disempurnakan segenap rukun Islam yang menjadi asas didikan pertalian diri dengan Tuhan. Tetapi penumpuan pengukuhan kecintaan dengan Tuhan semata-mata tidaklah cukup dalam survival kehidupan ini. Apa gunanya mencari cinta Tuhan lalu mengasingkan diri jauh-jauh dan tidak disebarkan kebahagiannya?

Dari Anas R.A Nabi s.a.w bersabda, “Tidak beriman seseorang daripada kamu sebelum ia cinta kepada saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri.

            Kecintaan sebenar dalam kehidupan manusia adalah mencintai tanpa meletakkan sepenuh pergantungan, atau menjadi penyebab kepada kebergantungan itu. Mencintai kehidupan adalah melepaskan kehidupan berlalu pergi tanpa perlu terikat dengan ilusi dan fantasi. Begitu juga kecintaan manusia kepada yang lain. Mencintai makhluk ciptaan-Nya adalah membiarkan insan yang dicintai menjadi dirinya sendiri. Bukan sahaja kecintaan kepada insan, tetapi kepada seluruh nikmat pemberian Tuhan. Kecintaan terhadap ciptaan Tuhan adalah dengan memahami proses pemisahan. Pemisahan bukanlah bermakna pengasingan diri secara total atau kita tidak memiliki apa-apa, tetapi adalah membiarkan diri bebas dari dimiliki oleh apa-apa kebergantungan selain Allah s.w.t. Kuncinya adalah dengan menyedari segala yang dimiliki di dunia ini bukanlah kepunyaan kita. Kerana yang kita sangka adalah milik kita sebenarnya tidak pernah sama sekali menjadi kepunyaan kita pada asalnya. Sekiranya ia hilang dan kita menyedarinya, hakikatnya kita tidak pernah kehilangan apa-apa. Kerana segala-galanya di dunia ini adalah kepunyaan Allah s.w.t, pemilik cinta yang paling agung.

            Jika kita menyedari hakikat cinta Tuhan dan falsafah di sebalik cinta, takut dan harap yang dibicarakan awal tadi bukanlah sesuatu yang menjadi permasalahan dalam memupuk sifat ketaatan kepada Tuhan. Malah takut dan harap itu hanyalah permainan emosi yang sering bertukar-tukar kedudukannya. Sedang takut dan harap mencari duduk letaknya di mana, kewujudan cinta lantas melarutkan sifat takut dan harap lalu tenggelam terus ke dasar kerana anugerah kehebatan cinta daripada Allah s.w.t yang tiada tandingan.

Wallahu’alam.

___________________________________________


Rujukan:

1) Falsafah Hidup, Prof. Dr. Hamka
2) Agong Tanpa Tengkolok, Fathi Aris Omar


Tuesday 7 July 2015

Ada Apa Dengan Ramadhan?


“Ramadhan tiba… Ramadhan tiba... Ramadhan tiba. marhaban ya Ramadhan... marhaban ya Ramadhan…”

Kedengaran riang apabila bait-bait lagu ini dialunkan disertai dengan semangat untuk menyambut kedatangan Ramadhan kareem.

1, 2, 3, 4 hari berlalu…  18, 19, 20…

Hari silih berganti, masa terus berjalan, Ramadhan juga sudah mula beransur pergi. Hati kecilku sering tertanya-tanya, ada apa dengan Ramadhan? Apa istimewanya Ramadhan?

Allah s.w.t. mengurniakan kita dengan satu bulan yang penuh dengan keberkatan dan pengampunan serta dibukakan-Nya pintu-pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu-pintu neraka serapat-rapatnya. Pada bulan ini juga manusia berlumba-lumba dalam membuat kebaikan, bersedekah, dan beribadah sepenuh hati. Subhanallah.

Namun begitu, istimewanya Ramadhan kareem (mulia) ini bukanlah sekadar merasai keperitan menanggung lapar dan dahaga, bersedekah pada yang kurang berkemampuan atau berterawih 20 rakaat setiap hari di masjid-masjid, tetapi ada sesuatu yang lebih istimewa daripada itu.

Ya, itulah dia lailatul qadr.

Malam yang mana dijanjikan oleh Allah sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, diturunkan satu kitab agung dari Luh Mahfuz ke baitul izzah (langit dunia) yang menjadi panduan hidup kita kaum muslimin hingga ke hari ini. Malam di mana wahyu pertama diturunkan kepada baginda yang menjadi titik perubahan dalam kehidupan baginda seterusnya.

Tidak cukup dengan itu, malaikat-malaikat juga berpusu-pusu turun ke dunia dengan izin-Nya untuk mengurus semua urusan di dunia membawa bersama keberkahan daripada Ilahi. Mereka mencari jiwa-jiwa yang hidup pada malam kemuliaan itu semata-mata untuk menggapai reda dan keampunan-Nya. Dan sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar.

Diriwayatkan oleh ibnu Abbas, bahawa Rasulullah ada menyebut tentang seorang lelaki dari Bani Israel, namanya Syam’un. Beliau merupakan seorang pahlawan Islam yang berjuang di jalan Allah selama seribu bulan. Beliau tidak pernah dikalahkan oleh musuhnya.
Disebabkan baginda terpegun akan kehebatan lelaki itu, maka Rasulullah berdoa:
“Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit tetapi besar ganjarannya).”
Lalu, Allah memakbulkan doa baginda dengan memberikan lailatul qadr kepada umat nabi Muhammad s.a.w. di mana jika seseorang menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari lelaki Bani Israel yang berjihad selama 1000 bulan itu.

[ kredit ]

Subhanallah…

Dia telah menyediakan hadiah untuk kita yang berupa satu malam yang penuh barokah yang tidak diketahui kapan berlangsungnya. Kerana apa? Kerana Dia ingin melihat siapa dalam kalangan hamba-Nya yang berusaha dengan sebenar-benarnya untuk mencari maghfirah-Nya.

Amatlah rugi jika kita sendiri dengan rela hati menolak hadiah yang telah Allah sediakan untuk kita.
Ibaratnya seperti ayah anda telah membelikan kereta untuk anda tetapi kuncinya disorokkan di suatu sudut yang tidak anda ketahui untuk anda sendiri mencarinya. Jika tiada usaha dari diri anda untuk mencari kunci itu, maka andalah yang akan berasa rugi kerana tidak dapat menikmati kereta yang sepatutnya dapat anda pandu.

Di akhir bicara ini, saya ingin mengajak anda semua termasuk diri saya sendiri, untuk kita bersama-sama meningkatkan prestasi amal kita dalam beberapa hari Ramadhan yang masih berbaki ini. Rebutlah sepuluh malam terakhir Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah kita dilalaikan dengan persiapan untuk menyambut aidilfitri sedangkan Allah telah menyediakan hadiah yang lebih istimewa untuk kita. Kita gunakan peluang kita beraya di perantauan yang kurangnya suasana untuk menyambut Syawal sebagai batu loncatan untuk kita lebih beramal dalam sepuluh hari terakhir Ramadhan ini.

Carilah… carilah lailatul qadr. Semoga ianya dapat mengubah kehidupan kita kepada yang lebih baik sebagaimana ianya mengubah kehidupan seorang insan bernama Muhammad.


Semoga kita bertemu dengan lailatul qadr. Biiznillah.

Sunday 5 July 2015

Menghayati Makna Sebenar Solat


            Seringkali apabila berbicara tentang solat fardhu, kita sinonimkan ia dengan pasak kepada agama. Slogan yang acapkali diutarakan baik generasi tua mahupun muda adalah “Solat itu tiang agama”. Solat, yang merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan Syahadah, dikatakan sebagai amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah ketika di padang mahsyar kelak. Malah ada juga yang mentakrifkan solat sebagai pencegah kepada segala kemaksiatan. Walaubagaimana pun, kita tidak menafikan bahawa meskipun solat itu setia dilaksanakan lima kali sehari semalam, masih juga terdapat masyarakat muslim sendiri yang tewas dalam gelanggang akhlak ketika berada  luar dari solat. Masyarakat muslim hari ini sedikit mundur dari segi perangai dan sikap baik dari pihak yang memegang tampuk kuasa mahupun pihak yang diperintah.

            Permasalahan berkaitan ini memerlukan kita untuk kembali berfikir sejenak tentang sejauh mana penghayatan kita ketika solat dalam membentuk pandangan hidup. Adakah solat yang kita laksanakan hanya sebagai ritual semata? Sebagai ikut ikutan budaya masyarakat Muslim? Atau kerana telah terbiasa melakukan solat dari kecil maka agak janggal jika ditinggalkan sewaktu  telah dewasa? Justeru, haruslah kita refleksi seketika bagaimana seharusnya penghayatan spiritual dalam solat mampu digunapakai oleh individu untuk dibawa ke tengah ruang sosial dalam  menyelesaikan masalah masyarakat.

            Islam mewajibkan penganut agamanya untuk melaksanakan solat. Di dalam solat itu sendiri, tersimpan hikmah membesarkan Ilahi dengan cara yang bagus sekali. Kerana solat melibatkan kerjasama antara seluruh anggota tubuh demi mencapai kesempurnaan dalam penyembahan kepada Allah s.w.t. Kita mulai solat dengan niat. Niat bukan hanya pada lafaz, tetapi pada hati itu sendiri. Niat adalah laksana pemisahan diantara kesibukan dunia dan jambatan menuju Ilahi. Ketika berniat untuk solat, kita umpama telah memisahkan diri dari segala permasalahan masyarakat, kekalutan pemikiran serta kenikmatan dunia yang nyata hanyalah permainan dalam kehidupan kita. Kemudian diteruskan pula dengan ucapan “Allahuakbar”. Ungkapan ini membawa erti segala pekerjaan, harta dan pangkat, kekayaan dan kemahsyuran dunia adalah barang kecil belaka ketika dihadapkan dengan kebesaran Allah yang Maha Esa. Kerana segala kekuatan yang kita miliki seketika hanyalah pinjaman dan bersifat sementara.

[ kredit

            Pelaksanaan solat adalah meliputi perbuatan zahir dan batin. Perbuatan zahir adalah dengan pengungkapan bacaan solat diikuti dengan penghayatan batin yang menginsafi diri, sedar sebagai seorang hamba yang hina dina dihadapkan ke kuasa Yang Maha Besar. Dalam rukuk dan sujud, kita hadirkan puji pujian kepada Tuhan dan syukur atas gandaan nikmat yang diberikan dariNya. Kita menundukkan diri, lalu bersujud dan meletakkan anggota tubuh yang paling mulia sekali iaitu wajah (kepala) hanya kepada Allah. Ketika di luar solat, wajah adalah anggota paling penting dalam urusan keduniaan. Malah tidak sekali kali kita biarkan anggota ini untuk tunduk kepada sesiapa pun. Tetapi di dalam solat, kita merelakan diri menghamparkan wajah ke bumi, menyedari diri yang nyata seorang hamba, dan tidak takut pada kuasa luar selain Allah s.w.t.

            Sebelum mengakhiri solat, kita disuruh mengerjakan tahiyat akhir. Di dalam tahiyat akhir itu sendiri terdapat dua komponen penting, iaitu mengucap dua kalimah syahadah dan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. Pengucapan dua kalimah syahadah di akhir solat adalah bagaikan suatu peringatan. Peringatan daripada Allah kepada hambaNya sebelum keluar dari solat untuk kembali menguruskan urusan keduniaan. Syahadah adalah bagai suatu penyaksian seorang hamba kepada Tuhan, suatu akur janji yang membentuk pandangan hidup. Syahadah di penghujung solat adalah sebagai bai’ah daripada seorang hamba kepada Tuhan tentang misi yang bakal dijalankan usai keluar dari solat. Setelah berjanji, maka sepatutnya adalah wajib bagi kita melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan dengan sikap telus dan amanah. Demikian setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, kita turuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan kerabatnya, Nabi Ibrahim a.s sebagai manifestasi kesyukuran kita. Kerana dengan melalui merekalah, kita mengenali Islam yang sebenar.

            Kemudian kita mengucapkan salam ke kanan dan ke kiri kita, bukan lah hanya kepada malaikat yang menjaga kita siang dan malam semata mata. Tetapi adalah kerana kita menyebarkan salam kepada segenap makhluk yang berada di kanan dan di kiri kita. Bermakna, setelah kita menguatkan tali pergantungan kita hanya kepada Allah, kita tebarkan perasaan kasih dan sayang ke ruang pergaulan kita. Kita tebarkan damai, ketenteraman dan tali persaudaraan kepada seluruh alam.

            Ada individu yang berpendapat solat bukanlah solusi terbaik dalam menuju Tuhan. Cukuplah sekadar melakukan kebaikan, mengamalkan nilai nilai sejagat yang disepakati bersama serta mengingati Allah dalam hati. Tetapi hikmah di sebalik solat tidak begitu. Bagaimana hanya hati yang merasai kenikmatan berTuhan, tetapi tidak bagi anggota yang lain? Kerana sewaktu solatlah, kita disuruh menggerakkan sendi-sendi ke arah kiblat yang sama dalam mengagungkan Tuhan. Sewaktu solat, hati adalah laksana pemandu, dan anggota badan yang lain bagaikan penumpang yang menuju ke sebuah destinasi yang sama. Adakah lagi jalan mencapai kesempurnaan kehidupan yang lebih baik daripada ini? Adakah lagi ibadat dan syariat lain yang lebih baik dari solat?

            Sekiranya seluruh umat Islam memahami falsafah di sebalik solat, dan mampu mengaplikasi penghayatan ini ke tengah pergaulan dalam bermasyarakat, maka akan terbukti benarlah bahawa kewujudan syariat dalam Islam itu sendiri mampu membentuk pandangan hidup dan nilai seseorang manusia. Agama dari langit ini bukan sia-sia Tuhan turunkan kepada manusia, melainkan untuk mengangkat kembali martabat kemanusiaan itu sendiri dalam hidup bertujuan. Dan mengapa solat dikatakan sebagai tiang kepada agama adalah kerana dalam solat itu sendiri, tersisip makna terbesar dalam membentuk peribadi dan sikap dalam menjalani tugas sebagai abid dan khalifah di muka bumi.

Wallahualam.