Monday 25 May 2015

Antara Bilal dan Mus'ab


[ kredit ]

Hujan di bumi aku jernih,
Basah di bumi aku, masih coklat-coklat warna tanah
Tak pernah aku bayangkan basah bumiku merah.

Merah di baju aku bukan darah,
Merah di baju aku, debu holi
Merah baju kamu bau besi, dari tubuh ibumu
lalu menitis basah bumi merahmu.

Rupanya yang basah merah itu bukan bumimu seorang
lalu aku lihat kiri dan kananku dan menangis
Sungguh aku tertimbus macam Qarun dengan hartanya
Rupanya aku yang buta pekak dan bisu
Rupanya akulah yang paling celaka hatinya
Akulah yang nanti berdiri satu kaki antara syurga neraka!

Maafkan aku Ayesya dan Umar
Ketawalah engkau dalam syurga
Maafkan aku Vimal Patak
Sungguh Rasulku bukan begitu!
Maafkan aku Shaima, lahirmu sendiri di dunia ini
saat ibumu dirodok Zionis
dengan aku hanya membisu.

Aku tinggal menanti saat bumi ini kan pecah dua
Macam yang kau bobrok-bobrokkan dalam TV
Boleh jadi aku teman seksamu
Apa bezanya kita kalau tiada sumbangku?


(1945; 29/10/2013)


         Menghadap pemandangan di bumi Manipal ini, akalku melayang memikirkan keadaan saudaraku di Syria dan Palestin. Tentang bagaimana mereka bermati-matian mempertahankan maruah agama dan bangsa dan bagaimana aku sekadar lentok di buku Chaurasia Volume 3 sambil telinga berdentum lagu-laguan dunia, menjadi hamba peperiksaan sekadar saja. Tentang apa ertinya hidup dalam dakapan Allah, segala hidup dan mati yang dedikasinya hanya untuk Allah, dan apa ertinya menjadi Muslim sejati, dan bukanlah muslim biasa.

         Bukanlah aku tidak mengerti perlunya untuk aku bangkit, tetapi apakan daya; mungkin resapan ilmu dalam usrah-usrah belum cukup untuk membangkitkan aku dari lena, atau memang kesengajaan aku untuk mematikan nilai-nilai yang memanusiakan aku kerana terlalu taksub dengan nilai dunia dan akhirnya tanpa sedar aku jadi robot tanpa bateri.

      Semakin lama aku dalam jalan ini, terlalu banyak kejadian-kejadian yang akhirnya menyedarkan aku tentang hakikat kemiskinan jiwa-jiwa manusia yang hanya mampu diangkat dengan ketaqwaan dan kebergantungan kepada Yang Maha Kaya. Sedikit demi sedikit, aku mula memahami yang bukanlah harta dunia yang manusia dambakan, tetapi ketenangan jiwa dari Ilahi. Aku bertatih mencintai Allah, dan murabbi-murabbiku. Aku belajar mencintai saudara-saudara seagamaku dan bagaimana rasanya cinta yang sebenar-benarnya menenangkan.

     Luruh darah, gemuruh jiwa saat gema gempita bumi Rabiah melaungkan takbir membangkitkan jiwa-jiwa yang hampir tunduk kalah. Seluruh jiwaku rasa disiat-siat saat melihat anak-anak kecil menemui Tuhannya dengan kain kapannya pakaian seragam sekolah. Tangisku jatuh bersama titis air mata ibu-ibu yang merindui kekasih-kekasihnya yang telah dulu menemui Sang Pencinta. Mimpi-mimpiku membayangkan Badar antara anak-anak berbatu kerikil bertempur segala kecanggihan senjata pembunuh.

Aku rasa begitu hampir.
Or so I say.

           

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
(Surah Al-Ankabut - 29:2)


Suatu hari aku buka page MMMC Confession di laman Facebook, sekadar untuk mengambil tahu perkembangan semasa. Sebuah post jujur yang aku kira datang dari seorang non-muslim yang mempersoalkan tentang sifat hipokrit orang-orang Islam di Malaysia khususnya yang seolah-olah hanya membenci kezaliman Yahudi Zionis tetapi memejamkan mata daripada isu isu kezaliman seluruh dunia sebagaimana yang berlaku di Rohingya, Thailand, Nigeria, dan banyak lagi; oleh tangan-tangan tidak mengira para Pseudoislamists mahupun siapa sahaja.

Ditambah pula dengan sifat orang kita yang terlalu cepat melatah; membalas keburukan dengan keburukan. Bukankah Allah telah menceritakan tentang sifat-sifat Ibaadurrahman dalam Al-Quran: 

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini”
(Surah Al-Furqan - 25:63)

Aku tertampar. Lalu aku persoalkan semula pada imanku, kalaulah benar aku cinta, mengapa ada diskriminasi? Apakah kerana miskinnya dan hitamnya kulit bangsa Rohingya membuatkan mereka kurang “Islam”? Apakah aku selama ini merasa hampir dengan orang orang Mesir dan Palestin itu kerana Arabnya mereka? Ah, dalam tak sedar aku sama sahaja dengan puak Amerika yang rasis meninggikan yang putih dan menghinakan yang hitam.


Dan lalu aku bertanya, apakah aku kalau hidup di zaman Rasulullah akan sama jadi sekutu Umayyah bin Khalaf; menghina Bilal, dan mencintai dan memuja-muja Mus’ab bin Umair yang kacak dan lebih “Arab”?

_________________________________________________


      Aku di sini bukanlah sekadar hendak menyampaikan rasa-rasa sekadar sahaja. Aku juga seperti kamu, bercita-cita mahu lakukan perubahan. Bahkan aku mahu menjadi Abu Bakar yang menyerahkan segala harta dan meninggalkan buat keluarganya tidak lebih daripada Allah dan Rasulnya, untuk membangunkan Islam. Bahkan, aku juga punya cita-cita hendak menyara seluruh anak-anak di Palestin kerana tingginya rasa cintaku. Hati aku juga besar, sama seperti kamu.

Tetapi hakikatnya bukanlah itu yang menjadi titik sandaran.
Tidak lebih Islam seseorang, kalau dia menyara 1001 anak yatim diseluruh dunia
Tidak lebih Islam seseorang, kalau dia menghafal Al-Quran dan 1001 hadis
Tidak lebih Islam seseorang, kalau dia mengetahui kisah 1001 orang sahabat pun

Melainkan segala yang dikerjakan itu hanyalah kerana Allah Azzawajal.


Aku pernah membaca, bahawa “agama itu memanusiakan”. Untuk mendidik manusia beragama, haruslah dididiknya menjadi manusia terlebih dahulu. Kerana yang beragama tetapi bukan manusia, akan menjadi ibarat si keji yang membunuh dengan nama Tuhan, yang saling mengeji saat berlainan fikrahnya, dan si buta tuli yang merasakan hanya dialah  yang benar.

     Rasailah bahawa semua umat Islam itu bersaudara; tetapi tidak pula bermakna meninggalkan yang bukan Islam saat mereka ditindas. Bencilah kezaliman, tidak kiralah andai ia berlaku ke atas musuh-musuhmu sekalipun, kerana umat Islam itu mencintai keamanan. Fi amanillah.




Sunday 17 May 2015

Mendung Kemanusiaan


Sering kali jika ada pesakit yang didiagnos mengalami Appendicitis, kesakitan yang dialami bukan hanya di kawasan pinggang sebelah kanan sahaja. Pesakit juga akan mengadu mengalami sakit yang mencucuk di kawasan sekeliling pusat yang pada logik akalnya adalah posisi usus dan bukannya appendiks. Fenomena saintifik ini dipanggil referred pain di mana kawasan yang berkongsi asal saraf yang sama akan turut menunjukkan reaksi sakit walaupun punca kesakitan yang sebenar berada jauh darinya.

Bila kita melihat senario ini, benarlah hadis Rasulullah SAW tentang memaknai erti ukhuwwah dan persaudaraan.


“Perumpamaan kaum mukmin dalam kasih sayang dan belas kasih serta cinta adalah seperti satu tubuh. Jika satu bahagian anggota tubuh sakit maka akan merasa sakit seluruh tubuh dengan tidak boleh tidur dan berasa demam.”
(HR. Bukhari dan Muslim)


Baru-baru dunia digemparkan dengan berita gempa  bumi berkekuatan 7.9 scala richter menggegarkan timur Nepal diikuti gempa susulan 7.3 scala richter dua minggu selepas itu. Diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga, proses mengesan mayat yang berjumlah hampir 8000 orang ditambah lagi dengan 48 kematian dan 1000 orang tercedera.

Tidak cukup dengan musibah ‘jiran sebelah’, ‘orang kampung’ turut kecoh dengan isu pelarian Rohingya yang dihalang untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia selepas ‘dihalau’ oleh Thailand dan Indonesia. Pesisiran Langkawi rela menjadi tanah perkuburan bagi mereka yang sakit dan mati kelaparan di atas bot penyeludup yang memuatkan beratus orang dalam satu-satu masa.

[ kredit ]

Tidak cukup dengan itu lagi, kudeta Mesir menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Dr Morsi, mantan Presiden Mesir atas tuduhan yang tak logik dek akal. Selepas menyabitkan hukuman penjara 20 tahun kepada Dr Morsi, As-Sisi sekarang sedang menunggu approval dari Mufti Mesir untuk menjalankan hukuman kepada 105 ahli Ikhwanul Muslimin yang lain.

Dunia sedang merintih kesakitan dan apa yang berlaku adalah seakan-akan kita anaesthetized dengan kesibukan sebagai pelajar perubatan dan hal-hal remeh yang tidak membawa kepada sebarang perubahan kepada diri mahupun masyarakat sekeliling kita. Ibaratnya kita sudah lali dengan jerit raung pesakit di hospital yang merintih diselamatkan sehingga mampu memandang mereka dengan sebelah mata sambil mencebik bibir.

“Sudahlah, makan ubat sembuhlah nanti..”

“Alaa, nurse kan ada boleh buat.. doktor lain pun ada.. aku busy tak nampak ke?!”

Ini adalah paradoks yang maha besar apabila Allah berfirman dalam al-Quran bahawa manusia ini diciptakan untuk menjadi seorang mukmin yang bertakwa dan memakmurkan bumi dengan kesejahteraan dan keadilan sejagat, realitinya manusia berpaling dan menidakkan pertanggungjawaban ini. Hanya disebabkan perbezaan warna passport, ijazah dan kulit muka, manusia mula sombong dan “mengkastakan” orang lain tanpa sedar.

Rasulullah dan para sahabat yang beriman dengan al-Quran memerangi kezaliman dan ketidakadilan dengan senjata dan strategi perang. Begitu juga kita yang beriman dengan al-Quran, mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dan etika yang merupakan fitrah Islam dengan cara yang terbaik.

Ambil tahu dengan ilmu.

Buat sedikit kajian berkenaan isu yang berlaku dengan membaca sumber-sumber yang berlainan, boleh jadi dari media tempatan ataupun antarabangsa bagi mendapatkan berita yang sahih. Sebagai contoh, isu Palestin boleh dijejaki dengan peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948. Realitinya, agak sukar untuk mendapatkan buku-buku dari tokoh-tokoh yang dipercayai di Manipal, ada beberapa blog ataupun laman Facebook yang boleh diikuti bagi mendapatkan pendapat dan ulasan pakar yang tidak berat sebelah.

Ajar dan sebar.

Ambil masa untuk berdiskusi dengan sahabat ataupun pensyarah bagi menyebarkan kesedaran tentang betapa pentingnya peranan setiap individu dan institusi bagi menyelesaikan masalah global terutamanya hak-hak kemanusiaan dan kesihatan. Berada dalam kelompok profesional, kita seharusnya mampu mencambahkan resolusi baru terutamanya dalam hal-hal pentadbiran kesihatan komuniti dan mental. Gunakanlah kesempatan keemasan ini untuk lebih mengetahui tentang selok-belok undang-undang dan demografi masyarakat dunia.

Agen perubahan.

Revolusi di Mesir bagi menumbangkan rejim Hosni Mubarak adalah bermula dengan tweet dari seorang pemuda. Ia mampu mencetuskan gelombang yang akhirnya membangkitkan semangat pemuda-pemuda Mesir yang sebelum ini dicandu oleh kemewahan dunia dan penipuan oleh kerajaan. Perubahan seharusnya bermula dari kehendak diri sendiri dan langkah kita seterusnya adalah permulaan gelombang ombak Pantai Malpe yang mampu menghakis tembok kezaliman.


Sejauh mana tingginya harapan seorang doktor untuk pesakitnya sembuh dan discharge dari hospital, setinggi itulah juga harapan kita untuk melihat Islam bangkit semula bagi menjadi sistem yang paling sempurna untuk mentadbir dunia. Yakinnya kita berlalu musim monsoon di Manipal, begitulah seharusnya kita mendambakan summer yang akan datang. Akhirnya tiada lagi mendung kemanusiaan, yang tinggal hanyalah pelangi kedamaian. 

Thursday 14 May 2015

Israk Mikraj - Suatu Perjalanan Agung


Dalam tak sedar, kita telah pun berada di penghujung bulan Rejab. Kurang lebih dalam sebulan lebih sahaja lagi sebelum kita bertemu dengan Ramadan. Semoga kita terus dipanjangkan usia untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun ini. Untuk itu, saya mencadangkan anda semua untuk sentiasa membaca doa ini;


Secara umumnya, bulan Rejab dikaitkan dengan suatu peristiwa besar yang berlaku kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Sedari sekolah rendah lagi, kita telah mendengar ceramah berkisarkan peristiwa ini saban tahun.

Israk dan Mikraj

Israk dan mikraj merupakan peristiwa yang amat besar dan luar biasa berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada baginda untuk memperlihatkan keagungan dan kekuasaan Dia selain sebagai cara merawati kesedihan Rasulullah yang telah kehilangan isteri tercintanya dan bapa saudara kesayangannya.

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perhatikan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. SesungguhnyaDia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Isra’ – 17:1)

Israk bermaksud perjalanan – perjalanan menakjubkan yang dialami oleh Rasulullah bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Mikraj pula adalah peristiwa yang berlaku selepas itu – baginda diangkat naik ke lapisan-lapisan langit, dari Masjid al-Aqsa sehingga ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh. Kemudian, beginda kembali semula ke Mekah. Perkara yang paling menakjubkan sekali ialah peristiwa ini hanya berlaku dalam tempoh satu malam sahaja. Allahu akhbar!

Israk dan mikraj ialah mukjizat Rasulullah yang tak terjangkau dek akal. Masakan perjalan dari Mekah ke Palestin, kemudian naik ke langit, kemudian pulang semula ke Mekah hanya mengambil masa satu malam sahaja? Sesungguhnya, Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Beberapa pengajaran dan penghayatan yang boleh kita ambil daripada peristiwa israk dan mikraj ini.

1.       Memantapkan keimanan.

Peristiwa israk dan mikraj ini menunjukkan kepada kita tentang kekuasaan Allah yang tidak terbatas. Dengan kuasa Allah, baginda telah melalui perjalanan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan ke Sidratulmuntaha. Peristiwa ini merupakan ujian keimanan bagi setiap muslim untuk percaya dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah.

Peristiwa ini jika difikirkan dari logik akal memang akan nampak begitu mustahil dan sukar dipercayai. Hanya dengan keimanan dan keyakinan yang utuh sahaja akan membuat kita percaya dan menerima kejadian luar biasa ini. Sungguhlah, amat penting untuk setiap dari kita memantapkan keimanan kita kepada Allah swt.

2.       Kepentingan solat.

Kita semua sedia maklum bahawa dalam peristiwa ini, solat fardu lima waktu disyariatkan. Dikisahkan bahawa pada mulanya kita disyariatkan untuk solat 50 waktu sehari. Namun, atas dasar sayangnya baginda pada kita, baginda meminta ia dikurangkan. Jadilah kita solat lima waktu sehari sekarang.

Penting dan istimewanya solat ini, Allah telah menjemput sendiri Rasulullah untuk menyampaikan pensyariatan rukun Islam kedua ini. Penyampaian ini tidak dilakukan melalui perantaraan malaikat, sebaliknya terus kepada Rasulullah. Solat menjadi tiang agama. Andai seseorang itu mengabaikan solatnya,maka runtuhlah agamanya. Ia juga merupakan penghubung buat kita sebagai hamba dengan Dia Yang Maha Mencipta.

[ kredit ]
3.       Institusi masjid.

Peristiwa israk dan mikraj berkait rapat dengan masjid. Malah, Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa telah menjadi transit Rasulullah dalam perjalanan tersebut. Secara fitrahnya, manusia memerlukan antara satu sama lain – saling melengkapi, memberi dan menerima. Keperluan ini hanya akan dipenuhi apabila berlakunya perkenalan.

Masjid sebagai tempat ibadah, pusat pembangunan ummah dan pertemuan komuniti menjadi medan untuk perkenalan ini. Rasulullah juga telah menjadikan pembinaan masjid sebagai projek pembangunan pertama baginda apabila dilantik sebagai pemimpin Madinah.

Namun begitu, masjid kini telah hilang fungsinya. Masjid-masjid hanya dibina dan dibiarkan menjadi simbolik Islam sahaja. Oleh itu, kita sebagai muslim haruslah berusaha sebaiknya untuk mengembalikan fungsi institusi masjid ini.

4.       Kepentingan Masjid al-Aqsa

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal lagi. Hal Ini kerana dari segi sejarah telah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini. Apakah hikmah Allah swt tidak mikrajkan Nabi s.a.w. dari Masjid al-Haram di Makkah terus ke langit, tanpa melalui Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis?

Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis itu mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah swt. Andainya Rasulullah dimikrajkan terus dari Masjid al-Haram di Makkah tanpa singgah di Masjid al-Aqsa, maka sukar bagi umat Muhammad untuk memahami sejauh mana kelebihan masjid tersebut.

Apabila ia dikaitkan dengan peristiwa israk mikraj dan Rasulullah mendirikan solat di masjid Al-Aqsa bersama para nabi yang lain, maka umat Islam dapat merasai kehebatan dan kelebihannya melalui peristiwa tersebut. Ini juga untuk mengingatkan umat Islam tentang keadaan semasa yang berlaku di Masjid al-Aqsa. Seluruh umat Islam bertanggungjawab untuk berjuang membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkaman kaum Yahudi dengan apa-apa cara sekali pun. Sentiasa peka dan prihatin dalam segala usaha membebaskan Aqsa dan paling minimum kita mendoakan saudara kita di Palestin yang dihimpit seribu penderitaan dalam perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa daripada penjajahan kaum yahudi laknatullah.

5.       Memelihara hubungan dengan Allah.

Manusia mesti sentiasa memelihara hubungan dengan Allah, baik ketika ditimpa kesusahan mahupun ketika mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Rasulullah telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi israk mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk israk mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt.

Hal ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah swt sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Sesungguhnya setiap kesusahan itu akan disertai dengan kesenangan yang dijanjikan Allah. Pastinya terus meningkatkan ketaqwaan dan amal ibadat serta meneruskan usaha berdakwah di jalan Allah di mana-mana sahaja kita berada.

Kesimpulan

Peristiwa Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Pelbagai peristiwa yang berlaku menjadi pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketaqwaan, prestasi ibadah dan memperbaiki akhlak mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.