Sunday 22 March 2015

Sistem Nilai yang Hilang Dalam Generasi Kini


          Dunia peradaban awal pembinaan tamadun telah lama meninggalkan kita sejak berkurun yang lalu. Sejak Nabi Adam a.s dilahirkan sehingga era pascakemerdekaan hari ini, manusia telah mengalami pelbagai perubahan baik dari segi pembangunan intelektual individu mahupun spiritual. Bukan manusia sahaja yang bertambah maju, bahkan gedung ilmu pengetahuan tidak kurang juga melebar dalam gelanggangnya yang tersendiri. Hari ini, generasi kita agak beruntung kerana hidup dalam era modenisasi yang mana capaian maklumat mudah didapati, lambakan ilmu dengan pelbagai teori dan ideologi, bergantung kepada kita untuk mengambilnya atau tidak. Bagai gelas yang diisi air dengan penuh, tinggal masa untuk diteguk sahaja.

          Tetapi dalam keghairahan manusia melengkapkan diri dengan ilmu pada zaman ini, pada masa yang sama kita agak terkebelakang dalam pembangunan sosial masyarakat. Bahkan, belakangan ini, isu-isu berkaitan masalah sosial terlalu kerap menjadi paparan media massa baik dari dalam dan luar negara. Jenayah seperti pembunuhan, rompakan, keganasan rumah tangga, ragut dan pecah rumah bukan lagi suatu yang asing dari sisi pandang masyarakat. Atas dasar kemanusiaan yang utuh, ingin sekali penulis mengutarakan isu yang sinonim dengan gender penulis sendiri yang sering menjadi mangsa iaitu jenayah rogol.

       Kajian menunjukkan rata-rata kes jenayah rogol berlaku disebabkan kuasa atau sifat egoistik perogol yang menggunakan pemerkosaan sebagai senjata untuk melakukan jenayah. Stigma masyarakat pada hari ini adalah apabila seseorang wanita itu memakai pakaian yang tidak menutup aurat, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa wanita itu rela tubuhnya menjadi tatapan orang ramai, mudah dieksploitasi dan sebagai ingin mencari perhatian orang ramai. Hasilnya, timbul satu logik yang berpendapat jika wanita yang membuka aurat diperkosa, ianya adalah disebabkan kesalahan wanita itu sendiri. Tetapi jika wanita yang menutup aurat diperkosa, ia adalah takdir. Ini bukan lagi soal ‘double standard’ tetapi soal tahap dimana rasional masyarakat dalam penilaian bertunjangkan kemanusiaan?

           Tidak sedikit masyarakat hari ini gagal mencari persamaan titik lokus temu antara penguasaan ilmu dan sistem nilai yang sepatutnya menjadi panduan berfikir masyarakat. Kegagalan ini merencatkan pertumbuhan akal fikiran dan diterjemah pada pelakuan jasad hingga akhirnya meruntuhkan moral dan akhlak si pelaku. Terpanggil oleh penulis, baik kepada lelaki mahupun perempuan, untuk kita renung semula punca kepada permasalahan sosial yang berlaku. Masyarakat hari ini terlalu rancak berbicara hal-hal pencegahan atau hukum sehingga terabai penekanan pada akar umbinya. Generasi hari ini kurang merenung dan menghayati sistem nilai. Nilai-nilai seperti hormat menghormati, kebersihan mental dan fizikal, kemanusiaan, kasih sayang dan semangat bermasyarakat kurang menjadi penghayatan generasi hari ini. Nilai nilai sebegini tidak lain dan tidak bukan lengkap dapatannya dalam Al-Quran. Tetapi, yang berlaku ialah Al-Quran itu hanya sekadar dibaca. Dibaca tanpa diekstrak pengajarannya. Dibaca hanya sekadar ingin menambah amal tetapi dangkal pada penghayatannya.

[ kredit ]

         Tidak mustahillah mengapa Rasulullah s.a.w dikatakan memiliki akhlak yang paling terbaik. Kerana Al-Quran itu sendiri sudah menjadi gambaran perilaku Rasulullah. Pemuda khususnya, harus mengambil contoh peribadi Rasulullah s.a.w dalam menghargai dan menghormati wanita. Kisah bagaimana akhlak mulia Rasulullah s.a.w menewaskan rancangan wanita yang memberi limau masam dengan tujuan untuk mempermain-main Rasulullah s.a.w. Tetapi dibalasnya dengan senyum dan layanan yang baik kepada wanita itu. Bahkan, Rasulullah s.a.w makan sehingga habis limau yang diberi meskipun rasanya masam yang teramat. Kisah sebegini boleh dijadikan contoh untuk pemuda hari ini. Pemuda harus tanam sikap hormat pada wanita, bukan memandang wanita sebagai objek tetapi sebagai manusia. Bukan hanya hormat pada hijabista moden, pada kelompok yang menggentarkan rusuk kiri atau pada calon-calon zaujah (isteri) tetapi pada keseluruhan manusia yang bernama wanita.

 Adakah ini bermakna wanita itu tidak perlu menutup aurat? Bebas berpakaian?

      Ya, bebas. Setiap wanita bebas memakai apa yang disukainya. Tetapi kebebasan yang bagaimana? Mereka bebas memakai apa-apa sahaja asalkan pakaian itu menutupi aurat mereka. Penjelasan tentang keperluan menutup aurat bukan menuntut kita untuk menghambur mereka yang mendedahkan aurat dengan visual kepanasan api yang membakar semata-mata. Pemahaman yang hanya berlandaskan pemahaman sebegini hanya menimbulkan ketakutan dalam diri masing-masing tanpa mengenal hakikat sebenar syariat yang diturunkan Allah. Bukan juga menuntut mereka disajikan dengan analogi mentah seperti perbandingan gula-gula berpembalut dan gula-gula dihurung semut. Tetapi ia lebih kepada persoalan pokok yang tiada mampu terjawab, tentang hakikat sebenar keperluan manusia untuk hidup bertuhan. Tentang tujuan kehidupan insan yang mengaku wujudnya Tuhan. Bagaimana seharusnya perilaku seorang abid (ahli ibadah) terhadap Tuhannya.

          Perilaku seorang abid kepada Tuhannya tidak sama seperti perihal majikan dan buruh. Majikan itu memberi pekerjaan kepada buruh, kerana tiada daya si majikan untuk melakukan kerja berseorangan. Lalu, digajinya beberapa orang buruh untuk membantunya melaksanakan kerja. Pulangannya pula bakal memberi kebaikan yang lebih kepada si majikan itu sendiri. Tetapi hubungan hamba dengan Tuhan tidak begitu. Seorang abid yang melaksanakan perintah Tuhannya, kebaikannya dipulang semula pada si pelaku. Tuhan itu tidak berkehendak, malah tidak rugi walau si hamba tidak melaksanakan perintah-Nya. Tetapi kerugian itu ditimpa semula atas si pelaku. Beza manusia dengan haiwan bukan pada makan, minum dan tidur, tetapi kerana manusia mampu merenung hakikat sesebuah syariat dan penciptaan dengan makna yang mendalam, sambil mempertemu hikmah dalam pencarian. Hikmah ini menjadi asas kepada buah fikiran dan refleksinya dipersembah melalui peribadi individu. Perlunya manusia kepada syariat Tuhan tidak sama seperti keperluan pesakit kepada doktor. Pesakit memerlukan doktor untuk merawat jasadnya. Tetapi syariat Tuhan diturunkan untuk merawat jiwa dan rohani hambaNya.

             Siapa antara kita yang tidak mahu menuju kesempurnaan? Siapa antara kita yang mahu terus berada dalam kegelapan? Walau telah banyak ilmu dan hikmah yang diperoleh sekalipun, malah sempurna pada pengamalan nilai-nilai, yakinkah kita akan selamat dan sampai pada tujuan kehidupan? Yakinkah kita telah sempurna tuntutan Yang Menjadikan kepada yang dijadikan? Siapa yang ingin dilanggar ketika membawa kenderaan? Tidak ada. Tetapi supaya tidak dilanggar, supaya tiada yang cedera, dijadikan aturan jalan yang harus dipatuhi. Demikian juga tentang perjalanan hidup manusia. Orang yang akalnya sihat tidak ingin dirinya rosak dan binasa. Tetapi supaya sampai kepada tujuan perjalanan yang lurus, diadakan aturan suci dari Allah yang mesti dituruti. Manusia yang bijak, yang mempunyai akal sihat, mampu mencari korelasi seimbang, antara penghayatan sistem nilai dan syariat pemberian Tuhan.

             Harapan penulis semoga setiap yang membaca tulisan ini termasuk penulis sendiri merenung dan mengkaji semula nilai-nilai Al-Quran yang barangkali beransur hilang dalam peribadi masing-masing. Meski kita telah menuntut ilmu daripada pelbagai sudut sekalipun, adalah tanggungjawab seorang muslim itu sendiri untuk menggunakan segala apa yang dimilikinya untuk sampai kepada Tuhan. Kerana, apa gunanya hidup, jika pengakhirannya bukan di sana? Sana – Syurga nan abadi.


Thursday 12 March 2015

Media Sosial dan Etika Muslim


Sumbangan pemikir Muslim pada zaman kegemilangan tamadun Islam dalam penghasilan ilmu pelbagai yang begitu menyeluruh seperti perubatan, astronomi, biologi, matematik, sastera dan bahasa, logik dan teologi. Di samping perbincangan tentang bidang-bidang tersebut, sebahagian besar ilmu yang dihasilkan juga terfokus kepada bidang etika dan konsep adab dan moraliti. Dalam karya agung Imam Al-Ghazali, “Ihya’ Ulumuddin”, satu per empat dari 40 jilid yang ditulisnya difokuskan kepada konsep etika dan adab.

Ini tidaklah menghairankan kerana kitab al-Quran yang diturunkan Allah S.W.T. selain menerangkan tentang ilmu teologi, juga banyak menimbulkan persoalan tentang konsep adab dan etika. Sebagai contoh, dalam Surah al Hujurat, Allah SWT menyatakan tentang adab berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi SAW, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu boleh terhapus sedangkan kamu tidak menyedarinya.”
(Surah Al-Hujurat:Ayat 2)

Malah, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW pernah bersabda:

Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak-akhlak mulia.”
(Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Jadi apa yang kita dapat lihat dalam sejarah Islam ialah kepentingan konsep adab dan etika dalam hidup seseorang Muslim. Perubahan dan perkembangan dalam dunia hari ini sudah tentu melahirkan pelbagai pengalaman dan situasi baru bagi komuniti Muslim dalam setiap zaman. Interaksi komuniti Muslim tersebut dengan zamannya seharusnya selari dengan konsep adab dan etika yang digariskan dalam Islam biarpun situasi yang muncul itu baru dan berbeza.

Dalam masa sepuluh tahun yang lalu, situasi baru ini wujud melalui perkembangan bidang teknologi maklumat (IT) yang telah melahirkan platform baru, yakni media sosial, yang membawa perhubungan antara manusia, penyebaran maklumat, serta memberi ‘suara’ kepada individu yang sebelum ini berada di luar skop awam. Facebook, Twitter dan Whatsapp menjadi sebahagian daripada hidup Muslim hari ini.

[ kredit ]

Platform-platform ini telah menjadi antara medium komunikasi yang terpenting kita dengan sahabat dan kenalan. Malah, platform-platform ini sudah mula berfungsi sebagai sumber primer bagi mendapatkan maklumat dan berita semasa.

Sebagai seorang pengguna media sosial, perkembangan seperti ini sudah tentu memberi banyak kelebihan dan kemudahan untuk mencapai maklumat terbaru. Namun, dengan perkembangan seperti ini juga, wujud pula suatu dilema sebagai Muslim apabila penggunaan media sosial ini mencenderungkan kita melanggar etika dan adab yang membentuk identiti Muslim kita. Garis masa (timeline) media sosial seringkali dipenuhi dengan post-post yang sama ada bersangka buruk, membuka aib, menokok tambah cerita mahupun ada yang jelas sekali bersifat fitnah.

Yang lebih memalukan ialah apabila pelakunya bergelar Muslim. Apakah hilang segala adab dan etika yang kita praktikkan dan imani apabila kita mendaftar masuk ke alam maya? Tidak dinafikan, perkara-perkara tersebut mungkin juga berlaku dalam kehidupan harian kita. Namun kita harus sedar, bahawa dalam alam maya, audiens kita jauh lebih luas dan perlakuan sebegitu mempunyai kesan yang berganda lebih teruk berbanding di dunia luar.

Mungkin kita perlu diingatkan dengan firman-firman Allah SWT seperti:

“(Ingatlah) ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun dan kamu mengganggapnya remeh, padahal dalam pandangan Allah itu soal yang besar.”
(Surah An-Nur: 15)

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain…..”
(Surah Al-Hujurat: 12)

Dalam isu membuka aib pula, pemerhatian penulis kebanyakannya berlaku dengan niat murni. Seringkali selepas berlakunya bencana atau pun keganasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Syria, maka imej dan video dari kawasan tersebut akan disebarkan dengan meluas. Dalam imej dan video yang disebarkan, sering juga mengandungi perkara seperti gambar mangsa dan mayat dalam keadaan mengaibkan. Mungkin niat penyebaran seperti ini untuk melahirkan keinsafan dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu yang penting sebegini.

Akan tetapi, kita juga harus sedar bahawa imej dan video mengaibkan sebegitu mengandungi insan-insan yang punya keluarga dan orang tersayang. Mereka mempunyai perasaan dan tentu akan sedih dan terluka melihat imej saudara atau orang tersayang mereka dalam keadaan sebegitu sewenang-wenangnya tersebar di media sosial. Situasi sebegini memerlukan sensitiviti tersendiri untuk kita tangani dan perlunya kita mencari keseimbangan antara meningkatkan kesedaran dan menjaga maruah orang agar kita tidak menyebarkan aib orang secara sedar atau sebaliknya.

Baru-baru ini media sosial hangat dengan pertelingkahan antara seorang mufti dan seorang pendakwah bebas. Pertelingkahan tersebut banyak berkisar tentang interpretasi dan teknik dakwah yang digunakan sama ada sesuai atau pun sebaliknya. Walaupun perkara ini telah pun selesai dengan baik, kita - pengguna media sosial - harus mengambil pengajaran daripada episod ini kerana sedar atau pun tidak, perkara ini tidak akan menjadi hangat dan berlarutan tanpa tokok tambah dan sangkaan buruk yang disebarkan merentasi media-media sosial. Ini jelas bagi sesiapa yang mengikuti sesi diskusi antara dua tokoh tersebut dalam sebuah rancangan televisyen selang beberapa hari selepas mereka menyelesaikan isu tersebut dengan sesi diskusi tertutup.

Perkara-perkara yang dibangkitkan dalam tulisan ini bukanlah isu baru cuma bentuknya yang kita perlihatkan sekarang di media sosial ini merupakan bentuk yang belum pernah terjadi sebelumnya dari segi skala dan kekerapannya. Ini seharusnya akan mengingatkan kita untuk kembali kepada asas adab dan etika dalam Islam. Kita perlu melihat serius perkara sebegini supaya kita dapat menepati ciri “Khairu Ummah” yang disebut dalam Al-Quran. Seperti sabda Baginda SAW:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”
(Riwayat At-Tirmidzi)

Wallahu ‘alam.




Saturday 7 March 2015

Ujian


Menjadi kebiasaan bagi kita melafazkan kalimah alhamdulillah setelah memperoleh sesuatu kegembiraan atau kebaikan. Masih teringat kenangan sewaktu mengambil keputusan PMR 7 tahun lepas, seorang sahabat telah sujud syukur sejurus melihat slip peperiksaan lantaran terlalu gembira walaupun keadaan agak sesak dengan pelajar dan guru. Itulah fitrah kita. Fitrah kita yang sangat suka pada kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan.

Tetapi, jalan hidup kita ini bukannya dihamparkan dengan permaidani merah dan dihiasi mawar merah. Lurus tanpa simpang, kering tanpa lopak, rata tanpa kerikil. Ada waktu, kita akan dihimpit dengan kesulitan. Ada waktu, kita jatuh hingga tiada daya untuk bangkit semula. Masalah kewangan, keluarga, konflik diri, penyakit, kematian dan sebagainya. Setiap dari kita pasti pernah melewati episod kesedihan dalam hidup kita. Saat ini, bila kita kenangkan kembali detik-detik kesusahan yang kita pernah lalui, apakah kita terfikir, macam mana aku laluinya?

Ramai orang gagal bangkit dari masalah kerana mereka tidak pandai atau mungkin tidak tahu bagaimana cara meguruskan masalah. Adalah normal sekiranya seseorang tidak dapat berfikir secara rasional ketika mengalami masalah kerana perasaan terlebih dahulu merajai hati dan minda sebelum kewarasan akal. Oleh itu, seseorang individu itu perlu bersikap lebih matang dan bijak mengawal diri sendiri dalam apa jua keadaan. Ya, cakap mungkin senang diperkatakan tetapi melunasinya amat sukar.

We are what we think.

Positifkan diri dalam apa jua situasi. Apabila ditimpa ujian, pulanglah kepada Tuan pemilik hati. Bunyinya agak klise, tetapi inilah hakikatnya. Apabila kita menyedari bahawa semua yang datang kepada kita adalah asalnya daripada Dia sama ada baik atau buruk, kita tidak akan berasa bahawa sesuatu yang terjadi itu sia-sia belaka. Kosong. Pasti ada hikmah dan pengajaran di sebalik perkara yang berlaku dapat kita diambil. Kita juga akan lebih menghayati detik-detik yang kita lalui untuk mencari makna dalam setiap langkah kita yang telah disusun cantik oleh Allah s.w.t. Dan pengertian inilah yang akan menguatkan semangat kita untuk terus kuat mengorak langkah menentang segala rintangan. "Allah uji aku sebab sayang". Kesusahan, keperitan dan kesedihan itu tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk menarik kita semula agar berada di landasan yang benar. Boleh jadi kita terlalu leka dengan kesenangan, alpa dengan kemewahan dan lalai dengan kelapangan pada waktu itu.

Menelusuri kisah-kisah Rasulullah s.a.w semasa hayatnya, pasti sudah ramai maklum tentang peristiwa Isra' dan Mikraj. Kesedihan atas kehilangan dua orang kesayangan dalam hidup baginda tidak dapat dibendung lagi. 'Baginda kan kekasih Allah, mana mungkin diuji sebegini hebat?' Rasulullah s.a.w juga manusia biasa, menjalani harinya sama seperti kita. Tetapi, masya-Allah, perjalanan hidup baginda sangat sulit dan itulah yang membentuk keperibadian baginda! Jika kita selami sirah kehidupan Rasulullah s.a.w, Subhanallah, terlalu banyak perkara yang kita dapat belajar. Satu daripadanya adalah hebatnya kebergantungan baginda kepada Allah s.w.t. Kalau mengikut teori Darwin, manusia merupakan suatu reformasi dari seekor beruk yang mengalami proses transformasi menjadi seorang manusia. Namun, lain pula yang Allah ceritakan dalam kitab suci Al-Quran yang wajib kita imani seperti mana yang termaktub dalam rukun iman yang keempat. Kita diciptakan melalui proses yang sangat menakjubkan dan tak tercapai dek akal! Begitu agungnya ilmu Allah s.w.t. Oleh itu, tiada yang lain yang lebih mengenali kita melainkan pencipta kita. Dia mengetahui apa yang tersirat tanpa perlu kita luahkan. Dia memahami perit jerih kita dan Dia sangat mengetahui keterbatasan kita sebagai hamba yang lemah. Dalam kesempitan, Dia akan lapangkan. Dalam kesulitan, Dia akan permudahkan. Berusahalah untuk bangun malam seperti saranan baginda Rasulullah s.a.w. Menangis seperti anak kecil, merintih dan berdoa. Subhanallah... ketenangan yang sukar diungkapkan. Saat itu juga kita akan berasakan kasih yang tiada kata dapat menafsirkannya. Cukup hati menghayatinya dan memberi sebab untuk kita terus kuat menempuh hari esok yang masih belum pasti.

[ kredit ]

Ujian, masalah, kesusahan, jika diertikan merujuk kepada kamus bahasa pasti membawa maksud yang negatif. Bahkan, sesuatu yang sangat dihindari oleh manusia. Perlu kita sedar bahawa hidup ini sendiri adalah ujian dan ia tidak berputar atas pilihan kita. Apa yang mendatang itulah yang akan mencorakkan hari kita. Oleh sebab itu kita perlu mempersiapkan diri dengan segala kemungkinan. Bermula dengan minda yang positif, semuanya akan berjalan lancar dengan izin-Nya. Jika sesuatu perkara itu kita lihat buruk, maka buruklah ia. Cuba kita lihat dengan pandangan iman. Berikan definisi yang lebih baik. Secara automatik badan akan dapat bekerjasama dengan otak untuk membuat sesuatu pekerjaan dengan lebih sistematik, teratur dan penuh kematangan. Hayat yang kita tidak tahu bila penamatnya terlalu singkat untuk kita sia-siakan dengan kemurungan dan keluhan. Hadirkan jiwa dan carilah makna dalam setiap perbuatan kita kerana sebuah pengertian sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada kita walau sesukar mana pun terpaksa kita untuk bertahan. Apabila lelah dengan kesulitan itu, pejamkan mata dan berbicaralah dengan Tuhan. Saat itulah kita akan berasakan segala kedinginan yang mendamaikan dan peroleh kekuatan yang baru. Semoga segala ujian yang kita tempuhi dengan sabar sebelum ini dapat menebus dosa-dosa yang menjadi noda hitam dalam hati kita.


Wallahualam.