Wednesday 31 December 2014

TAHUN BARU, SEMANGAT BARU.

Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah thummal Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya, nyawa kita masih lagi berterusan sehingga dapat menyaksikan perginya tahun 2014 dan hadirnya tahun 2015. Moga apa yang kita azamkan pada tahun 2014 telah dimakbulkan Allah s.w.t dan kita dapat melangkah ke tahun baru ini dengan azam dan semangat yang baru.

Sepanjang tahun 2014, pelbagai musibah telah menimpa rakyat Malaysia. Antaranya termasuklah kehilangan pesawat MH370, kemalangan pesawat MH17 dan banjir besar yang melanda pantai timur terutamanya negeri Kelantan. Selain itu, mungkin ada dalam kalangan kita yang menghadapi ujian lain yang lebih berat seperti kehilangan harta benda, nyawa orang tersayang, tanaman dan sebagainya. Kesusahan sebeginilah yang mematangkan kita. Bagaimana kita menghadapi masyaqqah (kesukaran) itulah yang membentuk karakter diri kita.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah al-Baqarah:214)

Jadikanlah ujian ini sebagai penguat iman dan yakinlah bahawa pertolongan Allah itu adalah pasti dan sangat dekat. Di kesempatan ini juga, saya mewakili Islamic Youth Association (IYA) Manipal mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dari AUCMS. Semoga kalian dapat segera membiasakan diri dengan suasana baru di Manipal.

Akhir kata, semoga dengan melangkahnya kita ke tahun baru ini, iman dan amal kita akan turut bertambah, insya-Allah.


Luqman Hakim bin Zaharan
Presiden Islamic Youth Association (IYA) Manipal

Wednesday 24 December 2014

HUKUM MENGUCAPKAN 'MERRY CHRISTMAS'

Disember hampir meninggalkan kita dan tahun baru pula semakin menghampiri. Apabila bercakap tentang Disember, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang Krismas kerana realiti kehidupan kita yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Persoalan biasa akan timbul di benak Muslim, ‘bolehkah kita mengucapkan Merry Christmas kepada rakan kita yang beragama Kristian?”. Persoalan ini walaupun lama telah dijawab oleh para ulama, namun masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim itu sendiri. Hal ini adalah kerana ia adalah fitrah Muslim itu sendiri untuk berbuat baik dan menghormati sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Kebanyakan Muslim keliru bagaimana hanya dengan ucapan kecil seperti itu tidak dibenarkan dalam Islam.

Kita perlu faham bahawa Islam mengharamkan seseorang Muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
(Surah al-Nahl, ayat 106).

Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
(Surah al-Mumtahah, 8-9)

Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Nisa, 86).

Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain sama ada secara langsung atau pun tidak langsung,  dan dalam masa yang sama juga ada nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007, muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.    Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2.  Walaubagaimanapun, sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3.  Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik.  Ibn al-Qayyim r.h di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah, beliau berkata:

“Adapun mengucapkan selamat berkenaan dengan syiar-syiar kekufuran yang khusus bagi mereka adalah haram menurut kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat terhadap hari-hari besar mereka dan puasa mereka, walau sekadar mengucapkan, Semoga Hari raya anda diberkati atau anda yang diberikan ucapan selamat berkenaan dengan perayaan hari besarnya itu dan semisalnya.”

Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).

Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

Kesimpulannya, mengucapkan kata-kata seperti "Tahniah!”, “Semoga berbahagia!” dan sebagainya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus. Membuat ucapan sebegini akan lebih terserlah keperluannya jika sekiranya dibuat kepada mereka yang mempunyai hubungan keluarga, kawan karib dan sebagainya, atau mereka juga membuat ucapan yang sama kepada kita ketika hari perayaan kita. Ia juga menggambarkan toleransi Islam kepada penganut agama lain tanpa meleburkan pegangan aqidah seorang Muslim atau menggambarkan keredhaannya dengan ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam.

Walaupun terdapat ulama yang menolak secara total perkara yang disebutkan di atas, termasuklah mengucapkan selamat kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, melihatkan konteks realiti kehidupan bermasyarakat majmuk di Malaysia atau disekeliling kita, garis panduan di atas adalah lebih sesuai diamalkan.

Namun begitu, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Untuk garis panduan orang Islam turut merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam, anda boleh rujuk di sini.


Lajnah Rujukan Fiqh IYA 2014/2015


Sunday 1 June 2014

Profil Ustaz Ridhauddin (Speaker The Awakening Project)

Assalamualaikum wbt

Tinggal lagi 14 hari sahaja sebelum kita sampai ke acara yang dinanti-nantikan; iaitu The Awakening Project (TAP). Pelbagai info mengenai latar belakang program ini telah dihebahkan melalui medium Facebook page IYA Manipal, tapi kita masih belum dikongsikan dengan latar belakang penceramah kita pada hari tersebut, yang didatangkan khas dari Malaysia. Siapakah beliau? Ada antara kita yang telah begitu mengenali individu ini, dan telah sering merasai auranya yang tersendiri di setiap event yang dikendalikannya, dan ada yang masih tidak. Apa kata kita sama-sama mengenali dengan lebih lanjut latar belakang Ustaz Ridha.




BUTIR-BUTIR PERIBADI

Nama : Mohamad Ridhauddin bin Mohd Salleh
Tarikh lahir : 10 Julai 1982


PENCAPAIAN AKADEMIK

BA (Hons), Fiqh And Usul Fiqh, International Islamic University Of Malaysia (IIUM)

KARIER

Acquisition editor, PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd, Jun 2006- Disember 2006
Guru, Sekolah Setiabudi Sdn. Bhd, Januari 2007- Jun 2007.
Pensyarah, International Education College (INTEC- dikenali sebagai International Education Center sebelumnya), Julai 2007- 27 Julai 2011.
Assistant Registrar at Kolej Universiti Insaniah (KUIN) from April 2013- April 2014

BIDANG KEPAKARAN

Islamic Jurisprudent (Fiqh)

ANUGERAH DAN PENGHARGAAN

Anugerah Pensyarah Cemerlang, INTEC, UiTM 2010 (Kebangsaan)
Anugerah Kakitangan Prihatin, INTEC, UiTM, 2010 (Kebangsaan)
Anugerah Penasihat Kelab/Persatuan Terbaik, INTEC, UiTM, UiTM, 2010 (Kebangsaan)
Anugerah Pegawai Pembangunan Pelajar Terbaik, INTEC, UiTM, 2008, 2009, 2010 (Kebangsaan)

SUMBANGAN TERHADAP ORGANISASI DAN MASYARAKAT

2014
  1. Speaker jemputan di Malaysian Student Gathering di Jordan (penyertaan dari pelbagai universiti) membentangkan tajuk "Memahami Konsep Prinsip Wasatiah Dalam Menguruskan Manhaj Wasatiy" dari 4 hingga 5 Disember 2014.
  2. Speaker jemputan untuk pelajar Malaysia di University of Adelaide, Australia pada April 2014.
  3. Speaker jemputan di International Medical University (IMU) pada 23 Mac 2014
2013
  1. Speaker jemputan untuk Komuniti Malaysia di Arab Saudi
  2. Speaker jemputan untuk pelajar Malaysia di United Kingdom dari 20-26 Disember 2013
  3. Speaker jemputan di Seminar Baitul Muslim 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 Februari 2013.
  4. Speaker jemputan di Seminar Akhir Zaman pada 12 Januari 2014 di Auditorium Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan SUK Shah Alam, Selangor.
  5. Panel jemputan di Kolokium Fiqh Da'wah Media Baru di Auditorium Asy-Syafie, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi pada 30 November 2013.

Belum mendaftar? Bagi pelajar MMMC, daftar segera melalui wakil batch IYA anda, dan kepada peserta luar Manipal, daftar kepada wakil yang telah ditetapkan di tempat anda, seperti yang tertera dalam gambar di bawah.


DAFTARLAH SEKARANG!


Friday 9 May 2014

Sesuatu Yang Aku percaya


Oleh : Iman Imtinan 





Aku bukanlah dalam kategori perempuan yang bertudung labuh dan yang ikut usrah di menara gading ni. Sedari dari aku sekolah menengah pernah juga terlintas untk menjadi perempuan seperti mereka itu tetapi entah mengapa aku diselubungi rasa segan tatkala melihat diri sendiri. Banyak aib yang tersimpan. Ish!

“Ada orang cakap kalau betul-betul kita ada niat nak jadi baik, pasti Allah akan tunjukkan jalan.”

                Betul atau tidak statement itu memang aku tak tahu sehingga sampai satu saat aku sendiri diterpa dengan kehadiran dia. Dia bukanlah tentang putera idaman hati, bukan juga Majnun yang dicari, tetapi dia itu seorang ukhti yang mengajar aku mengenali diri dan Allah. Pertama kali pertemuan itu sungguh aku tak pernah lupa hingga saat ini.

Pertemuan dalam bulatan gembira itu bermula dengan perkhidmatan pesanan ringkas yang aku terima. Aku rasa aku ni gila agaknya apabila aku boleh gerakkan kaki untuk terima pelawaan ke usrah itu. Tetapi perasaan waktu itu sukar untuk ditebak, aku rasa diri aku antara pertengahan normal dan tidak. Yang paling tidak dapat ditahan, hati ini akhirnya berkehendak untuk melangkah juga ke usrah itu.

Siapa kata nak membentuk manusia ke arah manusia yang kenal Allah itu satu perkara yang mudah. Setahun, dua tahun, mungkin juga makan masa bertahun-tahun belum tentu menjamin manusia itu mampu dibentuk. Sama juga dengan aku. Aku, perempuan yang keras kepala, susah nak terima nasihat daripada orang lain, dan yang paling susah adalah aku seorang yang susah nak mengubah sesuatu yang bukan kebiasaan dalam hidup.

Aku sendiri pun tak dapat bayang apabila kebaikan itu datang dan hal itu akan mengubah kebiasaan aku yang kurang baik yang aku sangat susah untuk lepaskan. Aduhai!

“Rahmat Allah itu luas, dan Allah tak pernah tutup rahmat pada hambaNya meski hamba itu dahulu jauh dari Dia.” Ukhti itu berkata dengan lontaran makna yang mendalam.

Aku sentap. Perkataan jauh itu buat aku rasa kerdill. Aku memang pernah belajar islam, solat dan semua itu tetapi aku tidak pernah memahaminya.Tahu semua itu tetapi tidak sedar dan tidak faham. Lantas selepas zaman sekolah, tikar sembahyang juga entah terbang ke mana pun aku tak tahu. Pergerakan dan bacaan solat aku hafal namun itu semua hanya di bibir dan perbuatan sahaja. Hati aku benar-benar tidak tersentuh dengannya.

Bermula dengan usrah itu, aku mula berlatih kembali untuk memahami apa yang selama ini aku lakukan.
“Amalan dan ibadah seharian untuk siapa?”
“ Tujuan aku ke mana?”
“Apa fungsi aku dalam dunia?”

Aku mula tersentuh untuk terus berada dalam bulatan gembira ini. Dan sungguh cabaran dengan manusia adalah kebiasaan yang harus ditempuhi. Aku mula buat perangai lama. Usrah yang aku ikuti aku tinggalkan atas alasan malas dan entah apa-apa lagi alasan. Dan jahiliah itu kembali terpalit dalam jiwa. Namun, satu saat aku rasa sesuatu yang tak best! Aku rasa seronok tetapi jujurnya aku tak merasa bahagia. Apakah?

“Aku rasa dalaman aku kosong sangat meski kuliah dan tugasan sangat padat!”
“Aku rasa semua benda susah walhal tak ada apa sangat pun!”
“Aku rasa nak terjun bangunan sekarang!”

Waktu itu, aku rasa mudah sangat putus asa, tak bersemangat dan hopeless yang teramat sangat. Dan finally
Arghh, I wanna read Quran again!”
Yeah, the most memorable apabila aku buka dan baca satu ayat,

“ Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun dosa-dosa mereka-dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). Orang-orang yang sedemikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi mereka yang beramal” (Surah Ali-Imran :135-136)”

“I wanna join usrah again!!!”

Jiwa aku bergetar deras.
Dalam usrah, ukhti itu yang merangkap sebagai naqibah aku tak pernah jemu. Nasihat dan bimbingan tauhid dalam jiwa untuk faham dan sedar serta mula beramal dengan yakin itu sentiasa ditekankan.
“Allah!”

Itulah saat paling berharga yang aku mula kenal Allah dalam usrah. Ya, aku boleh saja dapatkan pengetahuan dan kesedaran daripada mana-mana majlis ilmu namun, hal itu tak sama kalau dalam usrah. Aku boleh curhat (curahan hati) pasal masalah tentang pelbagai perkara yang kadang-kala aku sukar untuk faham dengan lebih dekat dalam usrah. Sama-sama saling berbincang dan mengisi ruh yang sering dan mudah kontang tanpa pengisian dan amal.

Aku perempuan yang boleh dikategorikan sebagai sangat pentingkan diri. Dalam usrah, aku mula belajar untuk ambil berat pada orang lain. Aku juga kedekut. Dalam usrah ni aku mula belajar untuk berkongsi dengan orang lain. Dan paling penting aku juga jahil, dalam usrah aku mula belajar untuk bangkit dari kejahilan itu. Sungguh kejahilan itu buat aku hilang arah.

Tatkala aku mula melangkah sekali lagi dalam usrah, tiada pun satu pandangan sinis, atau lontaran yang buat aku tidak selesa. Semua wajah memandangku dengan satu pandangan yang sangat membahagiakan. Sukar untuk aku ungkapkan.

Aku masih ingat waktu itu, hanya ada kami berdua. Aku dan ukhti. Lepas sekian lama aku tidak berjumpa dengannya kerana aku sendiri yang menjauhkan diri.

“Akak selalu tunggu awak setiap kali usrah. Alhamdulillah Allah memakbulkan harapan akak.”
“Tetapi, akak tak kisah walau di mana saja awak berada, yang penting kebaikan itu selalu bersama dan seiring sejalan dengan awak.”

Aku diam. Aku memang lambat sikit kalau nak respon dalam perbualan.
Kalau di rumah, ibu selalu cakap aku ni nampak saja macam tak dengar apabila orang cakap atau nasihat tapi sebenarnya hatinya dengar.
 
“Betul ke?”

Aku pun tak tahu tetapi kata-kata ibu kita adalah satu doa. Boleh jadi satu kebaikan yang datang dalam jiwa ini dek keberkatan doa ibu juga.  Amin ya Rabb.

Dan aku mula langkah kembali. Kali ini aku harap langkahnya lebih padu. Al-quran aku jadikan sandaran. Sunnah rasul aku jadikan ikutan dan ukhuwwah ini aku jadikan kekuatan. Dan janji syurga itu aku jadikan tekad. Semoga janji syurga ini bukan hanya terpateri dalam diri aku seorang tetapi puluhan malah jutaan orang lagi. Kerna syurga Allah terbuka luas untuk mereka yang bergelar hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Sungguh, syurga dan pertemuan denganNya, adalah satu cinta yang sangat aku percaya. Dan aku percaya satu cinta ini akan memaknakan cinta yang lain.

Dulu, aku tak tahu samada betul atau tidak Allah akan tunjukkan jalan kalau kita betul-betul ada niat nak jadi baik. Alhamdulillah sekarang aku percaya once kita betul-betul mahukan kebaikan, Allah pasti tunjukkan jalan. Salah satu jalan yang Dia anugerahkan pada hambaNya adalah dengan mempertemukan aku dengan ukhti dan kawan – kawan yang baik. Dan aku juga sedar perubahan bukan mudah, kita harus sentiasa jangan berputus asa daripada rahmatNya. Kehidupan belum berakhir di sini. Masih banyak lagi langkah yang perlu ditapaki. Aku tetap aku. Namun, rasa dan keadaan itu berbeza. Tidak sama seperti dahulu.

                                                                                                               10:15 Pagi (2014M/1435H)

Merasai Nil

Oleh: obedient_ed


Salam alayk.

Saya bertanya padanya,

"Tak sedih ke nak balik Malaysia dah?"

"Tak lah. Lagipun, akan datang ke sini lagi." Dia membalas.

Saya memandang raut mukanya. Kemudian, saya mengalihkan pandangan saya ke pemandangan di hadapan saya. Dia hanyalah orang asing yang saya jumpa di airport Cairo. Namanya pun saya tidak bertanya. Sekadar bertegur sapa.

"Dari mana?" dia bertanya pada saya sewaktu dia berbaris di belakang saya di kaunter immigrasi.

"Dari India. Datang sini lawat kawan." Saya menjawab.

"Oh, India. India dekat mana?" dia bertanya lagi.

"Di Manipal. Hmm, ramai juga student Mesir di situ." Saya menjawab.

Dia bertanya lagi, ke manakah saya pergi, ada orang jemput ke tak, ada musyrif tak dan pelbagai soalan.

Saya merasa sedikit janggal kerana ditembak soalan bertubi-tubi daripadanya. Saya bermula menanyakan soalan.

"Study sini ke?"

Dia mengangguk.

"Medic?" saya bertanya lagi. Dia mengangguk. Tadi dia tanya saya scholar Mara atau JPA, saya cuba bertanya soalan yang sama.

"Tak ah. bukan dua-dua...." dia menjawab dan jawapan seterusnya saya tidak mendengar dengan jelas. Dia menunduk lagi.

Saya merasa segan untuk bertanya lagi. Kemudian, tiba giliran saya di kaunter. Setelah habis, saya cuba untuk tunggu dia. San berjalan bersama dia ke bawah untuk mengambil bagasi kami.

Pada mulanya, saya tidak bercadang untuk mengambil trolley kerana hanya ada dua beg, backpack dan beg tarik. Kemudian, saya menukar fikiran dan bergegas ke tempat trolley. Dia menjerit pada saya,

"eehhhh.. Tak payah-tak payah. Ada ni." dia menunjukkan trolley kosong di sebelah dia.

"Terima kasih." Saya merasa sedikit segan.

Beg yang saya tunggu tidak berkunjung tiba. Saya melihat jam terakhir beg sampai adalah pukul 9.30 pagi. Sekarang baru pukul 9.10 pagi. Dia yang sudah mendapat begnya mengucapkan selamat tinggal dan beredar.

Pukul 9.20 am, screen menunjukkan tiada beg lagi. Saya kecewa. Beg saya tertinggal di Istanbul. Saya cuba untuk tidak nangis. Cuba untuk bersangka baik. Cuba untuk fikir dari sudut positif. Semua ini, Allah yang rancang. Mungkin, beg nak merasa duduk di Istanbul lagi. Tak ready nak datang Cairo, saya bermonolog dalaman. Cuba memujuk hati. Setelah membuat aduan, saya keluar dengan trolley yang mengandungi backpack saja. Saya melangkah berat hati.

Di luar, saya melihat dia menunggu saya. Saya terkejut.

"Kenapa lama sangat? Kena tahan ke?" Dia bertanya curious.

"Tak lah. Beg tertinggal di Istanbul!" saya menjawab.

Dia tergelak. Dan menyambung semula.

"Oh, ingatkan kena tahan. Haaa..!! Tu ujian pertama!"

Saya terdiam. Allah, deepnya perkataan tuh. Dahulu, di KMS, ada seorang ustazah ni pernah belajar di Mesir. Dan dia pernah mengatakan bahawa

"Mesir adalah bumi anbiya. Balasan baik atau buruk cepat datang."

Saya teringat balik kata-kata ustazah itu. Saya tak tahulah yang saya ni kena ujian apa, tapi nak katanya, memang Allah nak kita muhasabah diri, bersihkan niat betul-betul waktu datang bumi barakah. Nak ceritanya betapa barakahnya bumi mesir ni, sewaktu di atas flight, apa yang saya lihat hanyalah padang pasir. Kering. Tiada hidupan dan tumbuhan. Kemudian, perlahan-lahan, saya melihat kawasan yang sangat subur, hijauuu, dan berpenduduk. Dan ketika itu, tahulah saya bahawa saya di atas Cairo. Dan saya tahu apa puncanya. Sungai Nil! Saat saya teringat Sungai Nil, ia muncul di luar tingkap saya. Subhanallah. dan tahulah saya mengapa ada orang mengatakan,

"Sungai Nil dan Mesir itu jodoh!" saya tersenyum sendirian.

padang pasir, sungai nil, dan tanaman menghijau!


Dan mengenai jawapan dia di permulaan post, dia berkata yang dia akan datang lagi di mesir walaupun sudah habis pengajian. Saya terfikir apa yang menjadi sebab di sebalik pernyataannya itu. Dan setelah 12 hari di mesir, saya mendapat jawapan. Allah..

Walaupun tak ramai ingin ke Mesir kerana negara bergolak, tak selamat, orang Arab kasar dan sebagainya, tapi bagi saya, bumi itu terasa hidup ruhnya. lagi hidup daripada Turki!

Memang betul segala sangkaan buruk tentang Mesir itu benar, tapi bukan kesemua penduduknya. Walaupun saya melihat signboard tepi jalan memaparkan dilarang Mursi, dan di suatu dinding, saya melihat wajah As-Sisi dicat dengan penuh hormat, itu hanyalah di luarannya.

Antara Mursi dan Sisi

Di tram, saya melihat wajah wanita mesir itu cantik kesederhanaan. Mungkin wajah Asiah seperti ini, saya berbisik pada hati saya. Dan orang lelakinya pula, putih berjambang dengan rambut yang sedikit kerinting. Mungkin seperti ini raut wajah nabi-nabi yang pernah mendiami bumi ini.

Di dalam tram

Pernah sekali saya tersesat mencari supermarket. Ketika itu, saya keseorangan. Saya membeli sesikat pisang dari penjual tepi jalan. Kemudian, saya bertanya soalan;
"Fathalla?". Dia seperti tidak pernah mendengar tempat itu. Namun, dia tidak berhenti di situ.

Dia bercakap dalam arab yang saya kurang fahami. tetapi, bahasa tubuhnya menjelaskan bahawa "Tunggu, saya akan bertanya pada orang lain." Dia menahan seorang lelaki yang sedang berjalan dan lelaki itu datang pada saya;

"What you are searching for?" Lelaki itu bertanya dalam Inggeris.

"Fathalla. Supermarket." saya menjawab. Sekali lagi, dia semacam tidak pernah mendengar.

"Wait, I'll ask somebody." Dia menyuruh saya tunggu dan memasuki kedai gunting rambut.

Dia kembali semula dan memberi directions yang betul. Alhamdulillah. apa yang saya nak ceritakan bukanlah bagaimana saya ke supermarket, tapi macam mana orang arab kat sana tolong saya. Nak ceritanya seorang tak dapat, dia pergi cari orang lain, orang lain tak dapat, dia cari orang lain pula. Allah.

Dan makcik-makcik pengemis di sana, selepas mendapat duit, dia akan mendoakan kita, insyaAllah. Dan ketika saya bertemu dengan peminta sedekah di India, saya kecewa. Mereka orang bukan islam, dan mereka tidak akan mendoakan kita.

Penyanyi femes.

Di bumi yang penuh dengan azan yang bersahutan, masjid yang bertaburan, kedai-kedai yang beralunkan Quran dan di sebalik orang arab yang bergurau seperti mahu bergaduh besar, hati saya rasa tenang. di sebalik lorong-lorong bangunan yang lama dan hanya berwarna tanah, saya merasa nostalgia. Mungkin, dinding ini pernah diconteng dengan begitu banyak perkataan Allahu Akbar semasa demonstrasi. Dan apabila saya mendengar orang berbahasa arab mesir yang saya kurang faham, mata saya bulat dan saya merasa sangat excited dan bersemangat! Bahasa arab sangat menarik! Intonasinya, entah semacam ada sesuatu yang bagus di situ. Dan tidak pernah membosankan.

Daging lembu yang sangat jarang di India.
Ehrahimiya tram station

Gama'ah tram station

Keramahan penduduk tempatan sangatlah terasa. Begitu juga dengan pelajar Malaysia dan Indonesia yang sangat-sangat terasa adab mengalu-alukan tetamu yang sememangnya sangat tiptop!

Typical kedai kopi.



Allah, walaupun bumi ini diperintah As-Sisi, ia masih milikMu. Apa yang saya rindui di Mesir bukanlah lautnya semata-mata, bukanlah tempat bersejarahnya, tetapi ruhnya. Dia masih hidup. Mesir masih hidup. Ruh islamnya belum padam lagi. InsyaAllah, sinaran Islam akan datang lagi. Allahu Akbar!


Mode rindu mesir. Nak datang lagi. Moga Allah sampaikan saya ke Mesir lagi. InsyaAllah, amin!

Thursday 1 May 2014

Seputar Bulan Rejab : For You And Me



Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.

Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (al-Tawbah (9) : 36)


Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran : Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu-di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662)


Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarakat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. 


PUASA REJAB

Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’Fatawa:

Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dhaif yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dhaif yang masuk dalam kategori hadis dusta. – Dinukil dari kitab al-Bidabal-Hauliyyah karya bAbdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.


Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. – Dinukil dari kitab al-Bidab al-Hauliyyah, ms. 245.

Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:
Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah  (Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah)

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah.  (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif)

Malah Saidina Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab :
Daripada Atha, dia berkata: Ibnu Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya).  (Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif)

Selain dari itu terdapat juga di kalangan masyarakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:

Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.


Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.



HADIS PALSU YANG TERKENAL


Rejab adalah bulan Allah , Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku….”
Kata Ibnu – Jauzi :Hadith ini adalah Maudhu’ ( tertolak). Al-Kasa-i yang terdapat dalam sanadnya tidak dikenal orangnya . Manakala An-Naqqassi iaitu Abu Bakar bin Muhammad bin Al- Hasan An- Naqqassi dituduh berbohong


Abu Muhammad Al- Khallal , Ad-Dailami , Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi , dari Musa bin ‘Imran , dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu”.

Kata Az-Zahabi : Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya ( Hadithnya ) adalah Batil.
Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 5143.)

Hadith yang biasa digunakan Puasa Rejab seperti berikut : Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib , dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : Ertinya:
“Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu – pintu Neraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu – pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan – kejahatannya dengan kebaikan – kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan.”

Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah Kata Yahya bin Ma’in : Al – Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa. Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni : Dia adalah matruk. Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524 4.)


Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:
Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. 

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
“Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam
(Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


Kita perlu berhati-hati dlm menukilkan hadis-hadis kerana dibimbangi kita mendustai Rasulullah SAW.
Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Sesungguhnya pendustaan terhadapku adalah tidak sama dengan pendustaan yang dilakukan terhadap seseorang kerana orang yang sengaja mendustakanku akan disediakan baginya azab dari api Neraka.”
[Bukhari, Kitab Jenazah no 1209, Muslim, Mukaddimah no 9, TIrmidzi, Kitab Jenazah no 921, Ahmad Juzuk 4/245 & 252]



Wallahu A’lam.


Lajnah Fiqh IYA Manipal 2013/2014

IYA Manipal, Persuing Professionalism