Disember
hampir meninggalkan kita dan tahun baru pula semakin menghampiri. Apabila
bercakap tentang Disember, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang
Krismas kerana realiti kehidupan kita yang hidup dalam masyarakat majmuk.
Persoalan
biasa akan timbul di benak Muslim, ‘bolehkah kita mengucapkan Merry Christmas
kepada rakan kita yang beragama Kristian?”. Persoalan ini walaupun lama telah
dijawab oleh para ulama, namun masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan
Muslim itu sendiri. Hal ini adalah kerana ia adalah fitrah Muslim itu sendiri
untuk berbuat baik dan menghormati sesama manusia tanpa mengira bangsa dan
agama. Kebanyakan Muslim keliru bagaimana hanya dengan ucapan kecil seperti itu
tidak dibenarkan dalam Islam.
Kita
perlu faham bahawa Islam mengharamkan seseorang Muslim membuat apa-apa
perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam
hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau
mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna
menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang
membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan
perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu
benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesiapa
yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali
orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram
dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas
mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
(Surah
al-Nahl, ayat 106).
Dalam
masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam
menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita
kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):
“Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada
menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk
mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim”.
(Surah
al-Mumtahah, 8-9)
Juga,
Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan
ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan
apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan
cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah
al-Nisa, 86).
Oleh
kerana dalam masalah mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain mempunyai
unsur seakan mengakui agama lain sama ada secara langsung atau pun tidak
langsung, dan dalam masa yang sama juga ada nilai berbuat baik kepada
bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang
hal ini.
Menurut
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007, muzakarah telah memutuskan
bahawa:
1. Apa jua
amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan
orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf
agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh
Islam.
2. Walaubagaimanapun,
sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau
hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia
dibenarkan oleh Islam.
3. Memberi ucapan
tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat
telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya
kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus,
dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan
Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka
dalam kiriman ucapan tersebut.
Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h dalam
karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim
al-Jauziyyah r.h dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan
hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam
mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut
membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka
adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak
pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Ibn al-Qayyim r.h di dalam
kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah, beliau berkata:
“Adapun
mengucapkan selamat berkenaan dengan syiar-syiar kekufuran yang khusus bagi
mereka adalah haram menurut kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat
terhadap hari-hari besar mereka dan puasa mereka, walau sekadar mengucapkan,
Semoga Hari raya anda diberkati atau anda yang diberikan ucapan selamat
berkenaan dengan perayaan hari besarnya itu dan semisalnya.”
Sementara
Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research)
yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan
tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating
Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila
mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat
dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap
mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena
perayaan.
Fatwa yang sama yang mengharuskan
ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti
Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh
al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya
telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk
menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”.
Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan
kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa
al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan
mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan
bererti mengiktiraf akidah mereka.
Kesimpulannya,
mengucapkan kata-kata seperti "Tahniah!”, “Semoga berbahagia!” dan
sebagainya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan
perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus. Membuat ucapan sebegini
akan lebih terserlah keperluannya jika sekiranya dibuat kepada mereka yang
mempunyai hubungan keluarga, kawan karib dan sebagainya, atau mereka juga
membuat ucapan yang sama kepada kita ketika hari perayaan kita. Ia juga
menggambarkan toleransi Islam kepada penganut agama lain tanpa meleburkan
pegangan aqidah seorang Muslim atau menggambarkan keredhaannya dengan ajaran
dan amalan yang bertentangan dengan Islam.
Walaupun terdapat
ulama yang menolak secara total perkara yang disebutkan di atas, termasuklah
mengucapkan selamat kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, melihatkan
konteks realiti kehidupan bermasyarakat majmuk di Malaysia atau disekeliling
kita, garis panduan di atas adalah lebih sesuai diamalkan.
Namun
begitu, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain.
sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut
disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan
bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat
baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain. Apa yang penting, dalam dunia
semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan
imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga
benteng akidah kita.
Untuk
garis panduan orang Islam turut merayakan hari kebesaran agama orang bukan
Islam, anda boleh rujuk di sini.
Lajnah
Rujukan Fiqh IYA 2014/2015
No comments:
Post a Comment