Thursday 1 May 2014

Seputar Bulan Rejab : For You And Me



Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.

Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (al-Tawbah (9) : 36)


Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran : Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu-di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662)


Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarakat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. 


PUASA REJAB

Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’Fatawa:

Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dhaif yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dhaif yang masuk dalam kategori hadis dusta. – Dinukil dari kitab al-Bidabal-Hauliyyah karya bAbdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.


Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. – Dinukil dari kitab al-Bidab al-Hauliyyah, ms. 245.

Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:
Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah  (Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah)

Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab.

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah.  (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif)

Malah Saidina Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab :
Daripada Atha, dia berkata: Ibnu Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya).  (Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif)

Selain dari itu terdapat juga di kalangan masyarakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:

Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.


Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.



HADIS PALSU YANG TERKENAL


Rejab adalah bulan Allah , Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku….”
Kata Ibnu – Jauzi :Hadith ini adalah Maudhu’ ( tertolak). Al-Kasa-i yang terdapat dalam sanadnya tidak dikenal orangnya . Manakala An-Naqqassi iaitu Abu Bakar bin Muhammad bin Al- Hasan An- Naqqassi dituduh berbohong


Abu Muhammad Al- Khallal , Ad-Dailami , Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi , dari Musa bin ‘Imran , dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu”.

Kata Az-Zahabi : Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya ( Hadithnya ) adalah Batil.
Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 5143.)

Hadith yang biasa digunakan Puasa Rejab seperti berikut : Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib , dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : Ertinya:
“Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu – pintu Neraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu – pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan – kejahatannya dengan kebaikan – kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan.”

Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah Kata Yahya bin Ma’in : Al – Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa. Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni : Dia adalah matruk. Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524 4.)


Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:
Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. 

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
“Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam
(Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


Kita perlu berhati-hati dlm menukilkan hadis-hadis kerana dibimbangi kita mendustai Rasulullah SAW.
Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Sesungguhnya pendustaan terhadapku adalah tidak sama dengan pendustaan yang dilakukan terhadap seseorang kerana orang yang sengaja mendustakanku akan disediakan baginya azab dari api Neraka.”
[Bukhari, Kitab Jenazah no 1209, Muslim, Mukaddimah no 9, TIrmidzi, Kitab Jenazah no 921, Ahmad Juzuk 4/245 & 252]



Wallahu A’lam.


Lajnah Fiqh IYA Manipal 2013/2014

IYA Manipal, Persuing Professionalism

No comments:

Post a Comment