Wednesday 31 December 2014

TAHUN BARU, SEMANGAT BARU.

Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah thummal Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia-Nya, nyawa kita masih lagi berterusan sehingga dapat menyaksikan perginya tahun 2014 dan hadirnya tahun 2015. Moga apa yang kita azamkan pada tahun 2014 telah dimakbulkan Allah s.w.t dan kita dapat melangkah ke tahun baru ini dengan azam dan semangat yang baru.

Sepanjang tahun 2014, pelbagai musibah telah menimpa rakyat Malaysia. Antaranya termasuklah kehilangan pesawat MH370, kemalangan pesawat MH17 dan banjir besar yang melanda pantai timur terutamanya negeri Kelantan. Selain itu, mungkin ada dalam kalangan kita yang menghadapi ujian lain yang lebih berat seperti kehilangan harta benda, nyawa orang tersayang, tanaman dan sebagainya. Kesusahan sebeginilah yang mematangkan kita. Bagaimana kita menghadapi masyaqqah (kesukaran) itulah yang membentuk karakter diri kita.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah al-Baqarah:214)

Jadikanlah ujian ini sebagai penguat iman dan yakinlah bahawa pertolongan Allah itu adalah pasti dan sangat dekat. Di kesempatan ini juga, saya mewakili Islamic Youth Association (IYA) Manipal mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dari AUCMS. Semoga kalian dapat segera membiasakan diri dengan suasana baru di Manipal.

Akhir kata, semoga dengan melangkahnya kita ke tahun baru ini, iman dan amal kita akan turut bertambah, insya-Allah.


Luqman Hakim bin Zaharan
Presiden Islamic Youth Association (IYA) Manipal

Wednesday 24 December 2014

HUKUM MENGUCAPKAN 'MERRY CHRISTMAS'

Disember hampir meninggalkan kita dan tahun baru pula semakin menghampiri. Apabila bercakap tentang Disember, kita tidak dapat lari daripada membicarakan tentang Krismas kerana realiti kehidupan kita yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Persoalan biasa akan timbul di benak Muslim, ‘bolehkah kita mengucapkan Merry Christmas kepada rakan kita yang beragama Kristian?”. Persoalan ini walaupun lama telah dijawab oleh para ulama, namun masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim itu sendiri. Hal ini adalah kerana ia adalah fitrah Muslim itu sendiri untuk berbuat baik dan menghormati sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Kebanyakan Muslim keliru bagaimana hanya dengan ucapan kecil seperti itu tidak dibenarkan dalam Islam.

Kita perlu faham bahawa Islam mengharamkan seseorang Muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
(Surah al-Nahl, ayat 106).

Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
(Surah al-Mumtahah, 8-9)

Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Nisa, 86).

Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain sama ada secara langsung atau pun tidak langsung,  dan dalam masa yang sama juga ada nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007, muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.    Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2.  Walaubagaimanapun, sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3.  Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik.  Ibn al-Qayyim r.h di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Zimmah, beliau berkata:

“Adapun mengucapkan selamat berkenaan dengan syiar-syiar kekufuran yang khusus bagi mereka adalah haram menurut kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat terhadap hari-hari besar mereka dan puasa mereka, walau sekadar mengucapkan, Semoga Hari raya anda diberkati atau anda yang diberikan ucapan selamat berkenaan dengan perayaan hari besarnya itu dan semisalnya.”

Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).

Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

Kesimpulannya, mengucapkan kata-kata seperti "Tahniah!”, “Semoga berbahagia!” dan sebagainya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus. Membuat ucapan sebegini akan lebih terserlah keperluannya jika sekiranya dibuat kepada mereka yang mempunyai hubungan keluarga, kawan karib dan sebagainya, atau mereka juga membuat ucapan yang sama kepada kita ketika hari perayaan kita. Ia juga menggambarkan toleransi Islam kepada penganut agama lain tanpa meleburkan pegangan aqidah seorang Muslim atau menggambarkan keredhaannya dengan ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam.

Walaupun terdapat ulama yang menolak secara total perkara yang disebutkan di atas, termasuklah mengucapkan selamat kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, melihatkan konteks realiti kehidupan bermasyarakat majmuk di Malaysia atau disekeliling kita, garis panduan di atas adalah lebih sesuai diamalkan.

Namun begitu, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Untuk garis panduan orang Islam turut merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam, anda boleh rujuk di sini.


Lajnah Rujukan Fiqh IYA 2014/2015