Monday 21 November 2016

BACA


Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al alaq yang bermaksud “bacalah, sebutlah dengan nama tuhanmu yang menciptakan”. Wahyu pertama ini diturunkan tatkala nabi Muhammad masih bertatih mencari makna dan tujuan hidup. Bagi seorang yang tidak tahu menulis mahupun membaca sepertimana Nabi ketika itu, amatlah sukar baginya untuk membaca. Namun Allah tuhan sekalian alam tetap memerintahkan Nabi untuk membaca. Perkataan ‘baca” itu sendiri sudah membawa seribu satu persoalan. Apakah yang harus dibaca? Ilmu apakah yang perlu didahulukan dalam pembacaan? Sekerap manakah kita perlu membaca? Persoalan demi persoalan mula timbul di benak fikiran sang pembaca.

Namun apa yang ingin ditekankan oleh penulis dalam coretan ini ialah membaca itu adalah satu perbuatan yang subjektif. Keupayaan dan kebijaksanaan kita dalam membaca dapat mengubah bukan sahaja diri kita, malah membantu menyelesaikan beribu macam permasaalahan yang timbul tatkala kita meniti perjalanan hidup ini. Hendaklah kita ketahui bahawa membaca itu tidaklah hanya terhad kepada buku dan seumpanya. Janganlah kita berdengus “ah! Buku chaurasia pun aku tak pernah baca, inikan pula nak baca benda lain”. Wahai generasi Y, bukalah mindamu, luaskan daerah pemikiranmu, singkaplah jendela kebijaksanaanmu. Sungguh kehidupan ini bukanlah hitam putih. Jika kita masih berada di takuk itu, maka amatlah mustahil bagi kita melihat warna kehidupan yang kian lama terbentang dihadapan kita.

Antara konsep membaca yang perlu dikuasai ialah membaca situasi. Skop membaca situasi ini adalah amat luas dan memakan masa yang lama untuk penulis rungkaikan. Kemahiran menaip penulis juga adalah cikai sahaja. Ilmu yang ada pun hanyalah secangkir. Usia pun baru setahun jagung, darah masih setampuk pinang. Tapi penulis akan cuba sehabis baik.

Sahabat adalah antara insan yang paling hampir dalam hidup kita sebagai sang penuntut ilmu. Bagi kita yang berada di perantauan ini, sahabatlah yang kerap mendampingi kita. Dalam pergaulan, gurau senda, tawa mesra yang dikongsi bersama sahabat kita, maka kita harus belajar cara untuk membaca situasi. Ada kalanya sahabat kita berkerut jika jawapan class test dibincang sejurus selepas tamat peperiksaan. Maka hendaklah kita membaca situasi ini dengan bijak. Fahamilah bahawa sahabat kita tidak selesa jika kita berbincang sedemikian. Maka elaklah daripada berbincang soal class test dihadapannya. Sembanglah mengenai perkara lain seperti ramalan kaji cuaca pada hari itu. Jika masih mahu berbincang juga, maka bincanglah dengan rakan lain yang serumpun dengan kamu wahai anak adam.

Setiap insan dikurniakan dengan kelebihan masing-masing. Adapun dalam situasi kita sebagai mahasiswa, kita asik dibayangi oleh kurikulum pembelajaran kita. Untuk berjaya menelusuri bidang ini, kita hendaklah bijak membaca situasi. Jika kita berada di dalam kelompok pelajar yang memperolehi markah yang cemerlang, maka hendaklah kita turun membantu rakan-rakan yang masih merangkak dalam pelajarannya. Keluarkan mereka dari zon bahaya. Bantulah mereka agar tidak perlu mereka merangkak lagi. Berlarilah bersama menuju Menara gading. Sebaliknya, jika kita berada di dalam zon bahaya, hendaklah kita bijak membaca situasi ini dan mulalah mencari sahabat yang mampu untuk membantu kita. Bak kata Leonardo DiCaprio “you jump, I jump”. Kita menang sama sama, kita kalah sama sama.

Wang adalah satu jenis material yang hampir mustahil bagi kita untuk tidak menggunakannya. Sebagai seorang penuntut ilmu, kebanyakan dari kita tidak mempunyai sumber pendapatan. Kita masih lagi meneguk dari ibu bapa, duit kerajaan dan seumpama dengannya. Jadi masalah kewangan ini kerap kali menghantui sebilangan besar dari kita. Ada kalanya rakan kita ketandusan wang. Maka elakkanlah daripada mengajaknya untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang memerlukan wang. Kerna rakan itu akan punyai rasa bersalah jika dia menolak pelawaan kita. Tapi dia juga akan keberatan untuk sertai kita kerana dia sedang kekurangan wang. Jadi dalam situasi ini, bacalah dengan bijak. Sama ada tidak mengajak rakan kita itu atau kita belanja sahaja rakan kita itu. Banyakkan sedekah. Semoga Allah memberi balasan syurga buat pendambanya.

Membaca situasi adalah vital dalam kehidupan seharian kita. Ibubapa perlu bijak membaca situasi anak anaknya, Guru perlu bijak membaca situasi anak muridnya, Seorang doktor perlu bijak membaca situasi pesakitnya, Seorang pemimpin perlu bijak membaca situasi rakyatnya dan yang paling penting, kita perlulah bijak membaca situasi diri kita sendiri.

Pelbagai lagi situasi yang memerlukan kita untuk mengaplikasikan pembacaan situasi ini. Tak kira di mana pun kita berada hatta di puncak gunung Fujiyama sekalipun, kita hendaklah bijak membaca situasi. Tak kira dengan siapa sekalipun, ibu bapa, sanak saudara, rakan taulan, guru pendidik hatta dengan aunty your choice sekalipun kita perlu bijak membaca situasi.

Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Jika kita tidak menguasai ilmu membaca situasi ini, janganlah kita anggap bahawa kehidupan kita sudah sempurna. Usah bermimpi di siang hari wahai pemuda. Bangunlah dari perbaringan mu itu, beradalah di perbatasan. Teguklah sebanyak mana pun ilmu yang mampu sebagai bekalan tika kemarau berhembus. Hancurkan segala fatamorgana dan pijaklah di bumi yang nyata. Tadahlah tanganmu, gerakkan bibir mugilmu untuk berdoa pada sang pencipta. Bumikan dahimu, sujud pada pemilik alam. Semoga kita sama sama peroleh ilmu dan petunjuk dari Allah s.w.t

“Jika kamu inginkan dunia hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu.”
~ Imam Syafi’I ~
Top of Form



-abanghisyam-