Tuesday 29 December 2015

Rasulullah SAW Qudwah Terbaik Sepanjang Zaman

Melihat pada poster di laman ‘facebook’ itu, mengimbau kenangan ketika dia berada di dapur rumahnya di tanah air. Tidak kira makan atau memasak, pasti ditemani lagu dan celoteh panyampai radio ikim.fm. Selalu saja kedengaran iklan dan sebaran tentang Bengkel Hafazan al-Quran teknik al-Baghdadi dari corong radio itu. Dan peluang untuk mengikutinya berada di depan mata!

Terus dia mendaftar secara ‘online’. Pada mulanya berat terasa di hati kerana permusafiran ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan harta kerana bengkel ini jauh nun di Bangalore sedangkan dia di Manipal, India. Namun Alhamdulillah, sahabat baiknya menasihati supaya selalulah betulkan niat kerana niat adalah pintu kepada keikhlasan dan seseorang akan dapat apa yang ia niatkan. Malah, tidaklah rugi orang yang suka berjalan atau bermusafir kerana doa golongan ini insya-Allah antara doa yang mustajab (dimakbulkan). Berbekalkan keyakinan kepada sabda Rasulullah s.a.w dan wahyu al-Quran yang dikongsikan sahabatnya, dia pun pergi dan pulang dengan selamat walau ada cabaran namun ada hikmahnya.




Bengkel Hafazan Al-Quran dengan berkonsepkan neurofisiologi teknik al-Baghdadi yang dihadirinya ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Asshik Abu Hanipah yang berasal dari Pahang. Teknik ini melibatkan kombinasi 4 pancaindera iaitu penglihatan, pendengaran, pertuturan dan pergerakan melalui permainan yang dapat mengaktifkan minda kiri dan kanan. Dia berpandangan teknik ini sesuai dilakukan dalam kumpulan dan kurang praktikal tika keseorangan. Namun dia sangatlah suka untuk menyeru orang yang lapang masanya termasuk ahli keluarganya yang berada di Malaysia untuk turut serta. Di akhir program, peserta-peserta berjaya menghafal surah As-Shams berserta nombor atau kedudukan ayatnya.

Tika menghafaz surah As-Syams (matahari), terngiang irama lagu Demi Matahari yang dinyanyikan kumpulan Snada dan terbayang lenggok gayanya. Hatinya cukup terkesan dengan bait kata pada ayat 8-10 surah matahari ini.

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan 
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya 
Merugi bagi yang mengotori-Nya.

               
Betapa dia sedari hati manusia itu ada dua tarikan yang dia perlu pilih. Sama ada tarikan nafsu atau tarikan iman itu. Sama ada kebatilan (hawa nafsu) atau kebenaran (wahyu). Dia sedar hati itu cepat berbolak balik dan iman itu ada turun naiknya. Tika hati dikotori dengan dosa maksiat, cepat-cepatlah bertaubat dan terus mensucikannya kerana itulah orang yang beruntung di sisi Allah dan itulah ciri orang yang beriman yang sensitif dengan dosa.

Dia pernah meminta untuk merasa perasaan tidak tenang seperti yang dialami oleh mereka yang bukan beragama Islam. Maka Allah beri dia perasaan kegelapan itu. Selepas itu dia kembali pada Allah dan lebih menghargai ketenangan beragama Islam, ketenangan mengingati Allah. Dia sedar, untuk terus berada di jalan kebenaran, tak lain dan tak bukan, perlunya bergantung pada wahyu al-Qur’an dan sunnah atau hadis. Dia sangat menginginkan hidup dengan berpandukan akhlak dan cara hidup kekasih Allah, Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad s.a.w. Teringat dia akan kisah Raja ‘Adi bin Hatim al-Ta’I yang memeluk agama Islam apabila melihat keindahan akhlak Rasulullah s.a.w. dan kisah Zahir bin Haram yang pernah dibacanya dalam buku karangan Dr. Muhammad Al-‘Areefi, bertajuk ‘ENJOY YOUR LIFE’, The Art Of Interaction With People.

Indahnya akhlak Rasulullah s.a.w pada semua orang tidak kira kepada tua muda, miskin kaya, raja atau hamba. Nabi sentiasa meraikan semua yang datang padanya, cuba menggembirakan mereka atau bercanda agar mereka tidak bosan dengan kehadirannya.

Al-kisah Zahir bin Haram, riwayat Imam Ahmad dari Anas bin Malik. Zahir orang yang tidaklah menarik wajahnya ini sering menyendiri menghabiskan hari-harinya di gurun pasir. Jika dia datang ke Madinah, dia pasti akan membawa hadiah untuk Rasulullah dan nabi juga akan membalas ketika dia akan berangkat. Rasulullah s.a.w berkata, “Zahir ini adalah lelaki padang pasir, dan kita semua tinggal di kotanya”. Kata-kata ini adalah kata penghargaan dan rasa sayang Nabi kepadanya.

               Suatu ketika, Zahir tinggalkan padang pasir dan ingin berjumpa Rasulullah s.a.w. namun tidak menemui baginda. Jadi dia terus ke pasar untuk menjual barangnya. Bilamana Nabi mengetahui kedatangannya, Nabi terus ke pasar mencari Zahir bin Haram. Nabi melihat peluh di mukanya dan dia memakai baju yang kurang enak baunya. Namun, nabi tiba-tiba memeluk Zahir dari belakang dengan erat.

''Siapa ini? Lepaskan aku! Lepaskan aku!” teriak Zahir. Rasulullah diam saja. Zahir meronta sambil menoleh kebelakang. Ternyata yang memeluk adalah Rasulullah. Seketika itu pula Zahir berhenti meronta, dibiarkannya dirinya dipeluk oleh manusia agung itu. Dia merasakan kedamaian dan kehangatan dalam pelukan Nabi. Kemudian Rasulullah s.a.w bergurau, “Siapa yang mau beli budak ini?''

Zahir membalas canda Rasulullah s.a.w itu, ''Wahai Rasulullah, tuan pasti bisa melihat budak seperti saya ini tidak akan laku dijual meskipun dengan harga yang murah!”  Namun, balas Rasulullah s.a.w, ''Wahai Zahir, disisi Allah, hargamu sangatlah mahal.''

Begitulah Rasulullah s.a.w tidak pernah menilai seseorang dari tampilan luarnya saja. 
Begitulah Rasulullah s.a.w melayan orang sekeliling seperti mereka orang yang paling penting. 
Begitulah kemahiran kita melayan orang akan menentukan bagaimana kita akan dilayan. 
Begitulah apa yang kita beri, itu yang kita dapat. 
Hiduplah dengan cara Rasulullah, agar kita dicintai Allah. [Surah Imran, ayat 31]



Rujukan;
Al-Qur’an
ENJOY YOUR LIFE, Dr Muhammad Al-Areefi










Sunday 13 December 2015

Harapan Kembali


Sejurus selepas kita lahir, telah tergalas suatu beban atau dalam erti kata lain, suatu tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu. Sewaktu di alam kanak-kanak, kita disuruh belajar mengenal huruf a, b, c, mengira satu, dua, tiga, serta pelbagai jenis ilmu dan pengetahuan asas yang lain, sehingga kita mencapai tingkatan akal yang lebih tinggi.   Selesai dari asuhan keluarga, kita menuju kearah kebebasan dan keseronokan hidup yang kita panggil zaman muda mudi. Kita kemudian terus ke lapangan pekerjaan dan mengerah seluruh keringat untuk memenuhi keperluan keluarga. Kelak, sesudah sampai seruan yang tidak mampu kita elakkan walau sesaat, berpindahlah kita dari kehidupan yang fana kepada kehidupan yang baqa’. Bertemulah kita dengan Yang Maha Pencipta, dan celiklah kita dari lena yang panjang. Demikianlah rakaman kehidupan yang kitarannya berulang-ulang dari generasi terdahulu sehinggalah yang terkemudian.

Lalu, jika jarak antara hidup dan mati ini sesingkat azan dan iqamah, maka bagaimana seharusnya  kita isi kehidupan di dunia ini?

“Sungguh, Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-quran) dengan membawa kebenaran untuk manusia, barangsiapa mendapat petunjuk maka petunjuk itu untuk dirinya sendiri, dan siapa sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri, dan engkau bukanlah orang yang bertanggungjawab terhadap mereka.”
Az – Zumar (39:41)

Demikian Allah s.w.t menukilkan kepada kita perihal perlunya manusia berpegang kepada Al-Quran, yakni sebagai petunjuk kebenaran dan jalan beroleh kebaikan. Namun, jika terdapat jua yang memilih untuk menyimpang dari kebaikan, maka bukanlah menjadi tanggungjawab kita terhadap tindakan mereka. Lantaran kejahatan yang dilakukan adalah antara Allah dan pelaku perbuatan tempang tersebut. Tetapi, itu bukanlah asbab untuk kita berlepas tangan atas segala kemungkaran dan kejahatan yang pelaku itu lakukan.

Walaubagaimana pun, hendaklah juga kita yakin bahawa sejauh mana kejahatan cuba dihamparkan, kebaikan tetap akan menang. Kerana asal fitrah manusia itu adalah kebaikan, hanya saja hawa nafsu yang sukar dibendung menjadi pendorong ke arah kejahatan.

Tetapi apakah dengan semata semata mengerjakan ibadat, seseorang itu sudah layak digelar mukmin? Atau semata-mata telah meninggalkan kejahatan telah boleh digelar mukmin?

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
Al – Ankabut (29:2)

Tentu sekali tidak. Sebab kemuliaan iman itu adalah berlian yang mahal harganya. Semakin digilap, semakin berkilat. Iman akan selalu diuji oleh Tuhan dalam dan dangkalnya terlebih dahulu. Jika tidak bergeser dari kedudukannya setelah datangnya ujian, barulah layak seseorang itu digelar beriman.

Sebelum kita menilik kesengsaraan yang diuji ke atas kita, kita telusuri dahulu kesengsaraan yang ditanggung para anbiya’.

Di dalam Surah Yusuf, Allah mengajarkan kepada kita tentang erti sabar dan pentingnya meletakkan pengharapan kepada Allah. Nabi Ya’akub kehilangan anaknya, Yusuf yang sangat disayanginya. Bertahun kemudian, beliau kehilangan adik Yusuf sendiri iaitu Bunyamin, yang ditangkap oleh wakil raja Mesir (Yusuf).  Tiada lain yang menjadi kekuatan kepada Nabi Ya’akub melainkan sabar dan hanya kepada Allah tempat meminta pertolongan.

Kita telusuri juga kisah Nabi Ibrahim. Sungguh ujian yang diberikan tiada tandingan beratnya. Bayangkan siapakah yang sanggup melakukan jika disuruh menyembelih anak kandung sendiri. Dan ke manakah yang dia lebih cinta, kepada Tuhannya atau kepada anak kandungnya?

Keyakinan yang cetek kepada Tuhan tidak mungkin akan menghasilkan kecekalan dan kekuatan dalam peribadi para anbiya’ yang diceritakan tadi. Di sinilah pentingnya kekuatan iman setelah diuji oleh badai kehidupan. Tingkatan keimanan tidak ubah seperti anak tangga yang dinaiki dari bawah. Jika kaki kuat berpijak, sebesar mana pukulan yang menghambat hanya akan menaikkan kaki setingkat ke atas lagi. Tetapi jika kaki lemah, tangan tidak kuat bergantung, pukulan yang tadinya hanya menjatuhkan diri ke bawah. Yang kita sedihkan, setelah tingkatan kehidupan berjaya dinaiki, jatuhnya kemudian bukanlah sedikit, tetapi jauh terjerumus ke tangga yang terbawah, sehingga sukar dan payah untuk naik kembali.

Ketika saat ini, kesakitan pada jiwa akan bertambah parah. Hanya dengan kembali kepada suruhan agamalah jalannya. Dan pada masa beginilah Allah membukakan pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan menginginkan kebaikan .

“Tidakkah mereka mengetahui., bahawa Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya dan menerima zakat-Nya, dan bahawa Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang?”
At – Taubah (11:104)

Taubat bermaksud kembali. Kembali menguatkan kepercayaan kepada Allah setelah jiwa yang tadinya berkecamuk disusun semula. Memohon keampunan kepada Allah dan berdoa dengan sekuat hati minta ditunjuki jalan yang lurus, agar diri tidak lagi terjerumus ke takah kehidupan yang dahulu. Seterusnya dikuatkan juga dengan perjanjian di antara diri dengan Allah agar tidak mengulangi kesalahan tersebut di strata kehidupan yang akan datang. 

Berkata Imam Hasan Al Basri, sewaktu badan sihat dan hati menjadi senang, semua orang akan berani mengaku diri beriman. Tetapi setelah datangnya ujian, akan lebih tahulah kita benar ataupun tidak pengakuan keimanan itu. Sebab itu jalan menuju kebaikan selalu sahaja sukar, tetapi membuahkan pengakhiran yang baik. Dan jalan menuju hawa nafsu selalu sahaja mudah dan nikmat, tetapi hanya sementara. Kita ini menuju dari perjuangan kecil ke perjuangan yang lebih besar, yakni perjuangan melawan hawa nafsu sendiri. Berapa ramai orang yang tewas dalam pertempuran ini, sehingga sanggup menggugurkan prinsip keimanan dalam diri, hanya kerana tidak sabar dalam ujian yang diberikan. Padahal bukanlah terlampau besar ujian yang ditimpa, tetapi disebabkan keimanan yang selalu sahaja rapuh kerana tidak dikukuhkan dengan asas yang betul.

Penyesalan yang timbul lantaran diri melakukan kesalahan tidaklah boleh dipandang enteng. Kerana lintasan hati yang berlaku hari ini tidak mungkin sama di masa yang seterusnya. Janganlah kita membiarkan peringatan dari Tuhan berlalu begitu sahaja, bagaikan isyarat dari Tuhan yang tak sempat disampaikan. Kembalilah semula kepada Yang Menciptakan. Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara seorang hamba dengan Tuhannya. Berdoa dan bertaubatlah, kerana seluas-luas pintu dalam agama adalah pintu taubat. Pendosa yang tidak putus-putus meminta keampunan daripada Tuhannya adalah hamba yang memiliki definisi yang luas tentang Tuhan, yang hatinya selalu hidup dan percaya akan rahmat Tuhan itu tiada terbatas. Selagi belum dipanggil menghadap Ilahi, harapan untuk kembali sentiasa ada.

[kredit]
“Katakanlah, wahai hamba – hambaku yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa – dosa semuanya. Sungguh, Dia – lah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Az – Zumar (39: 53)

Wallahua’lam.


Rujukan:
Al Quran
Tasauf Moderen
Lembaga Budi