Monday 6 April 2015

ERTI HIDUP PADA MEMBERI


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Izinkan saya menggunakan tajuk di atas daripada kata-kata Ustaz Hasrizal yang begitu cantik ayatnya. Ayat yang mempunyai aura dan dapat memberi makna hidup pada diri kita. Jika dalam bahasa asing kita terbiasa dengan ‘you get what you give’ dan jika dalam bahasa Arabnya, ‘tangan di atas itu lebih baik dari tangan yang dibawah’.

ALLAH always give, give, give and forgive.
We human always get, get, get and forget.

Itulah lumrah manusia, nikmat yang berada di depan mata, yang berada pada diri tidak dihargai dan tidak disyukuri. Kita lupa untuk besyukur pada Yang Maha Memberi. Cukup sekadar merenung nikmat oksigen yang Allah beri pada kita dalam kehidupan seharian. Adakah kita masih hidup andai Allah tarik nikmat ini daripada kita? Pasti tidak, bukan? Kita lupa bahawa ramai di luar sana yang serba kekurangan. Pesan Sang Nabi agar kita memandang orang yang di bawah bukan yang di atas agar kita bersyukur. Ingatlah semuanya milik Allah.

Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya)…
[Surah An-Nahl, 16 : 53]

Bersyukurlah dengan nikmat yang ada ini dengan berkongsi kepada orang lain. Hatta hanya dengan senyuman sekalipun. Pesan kekasih Allah juga, sebaik-baik umat ialah yang bermanfaat kepada orang lain. Kadang kala dengan memberi, tanpa kita sedari hidup akan berasa lebih tenang dan seakan berada dalam rahmat-Nya kerana yakinlah dengan janji Allah.

“… rahmat Allah beserta orang yang berbuat baik.”
[Surah Al-A’raf, 7 : 56]

Rasulullah s.a.w. adalah contoh teladan yang paling hampir dengan kita. Begitu dalam kasih saying baginda kepada kita. Memasak pegangan akidah dalam diri para sahabat sehingga mereka memberi harta dan jiwa mereka berjihad di jalan Allah. Sabar melayan kerenah umatnya yang boleh dianggap manja kerana masalah yang timbul pasti dibawa rujuk kepada Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.
(riwayat Bukhari dan Muslim)

PAKSA DIRI

Mungkin pada awalnya kita berasa susah untuk memberi. Untuk melakukan apa-apa sahaja yang kita tidak suka atau tidak biasa, paksa itu kuncinya. Jika kita melihat kali pertama Nabi menerima wahyu, Jibril a.s. memeluk erat Nabi dan menyuruh baginda untuk membaca. Tiga kali baginda dipeluk. Tiga kali baginda disuruh membaca.Selama beberapa hari baginda dirudung resah dan gelisah. Dan suatu hari, baginda terlihat Jibril a.s sekali lagi, dalam rupanya yang sebenar di kaki langit.

"Wahai Muhammad! Aku Jibril dan engkau adalah utusan Allah!"

Berlari-lari baginda penuh ketakutan dan minta untuk diselimutkan oleh Khadijah r.a. Zammiluni! Zammiluni! Selimutkan aku! Selimutkan aku! Ketika itulah, paksaan kedua dalam bentuk wahyu yang mulia, turun dari langit.

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berillah peringatan!"
[Surah Al-Muddatsir, 74:1-2]

Bukankah itu satu arahan yang membangkitkan? Bukankah itu suatu bentuk paksaan? Ya, kita belajar bahawa dalam melakukan apa jua dan untuk meraih keredaan-Nya, paksaan itu perlu. Kita tahu bahawa ada masanya kita mesti memaksa diri kita untuk bangkit. Dan daripada perjalanan hidup baginda yang penuh dengan liku-liku itu, kita faham bahawa paksaan itu wajar dalam menggerakkan hidup kita. 

Jadikan cintaku padaMu ya Allah,
Berhenti di titik ketaatan,
Meloncati rasa suka dan tak suka.
Karena aku tahu,
mentaatiMu dalam yang tak kusukai,
Adalah kepayahan, perjuangan, dan gelimang pahala,
Karena seringkali ketidaksukaanku,
hanyalah bagian dari ketidaktahuanku.

-Salim A. Fillah, Jalan Cinta Para Pejuang-

Kita perlu memaksa diri kita kerana kita hidup bukan untuk diri sendiri. Tapi hidup untuk memberi. Memberi dan menyerah diri kita kepada Allah sebagai hamba. Memberi tenaga, masa dan harta untuk memakmurkan dunia sebagai khalifah di muka bumi ini. Paksalah diri kerana orang beriman itu tidak sepatutnya ada sikap mementingkan diri.  Orang beriman itu saling tolong menolong dan merasai kesusahan yang dihadapi oleh orang lain. Orang beriman ingin kebaikan yang dimiliki dirasai juga oleh orang lain. Hidayah dan indahnya Islam dikongsi bersama orang lain.

LELAH MEMBERI

Namun dalam proses memberi, kita akan diuji. Kita akan berasa penat dengan kerenah orang yang tidak berpuas hati, tidak menghargai dan tidak bereaksi seperti apa yang kita mahukan. Kita seakan mahu berhenti. Maka di saat itu, carilah ketenangan diri dan berehat sebentar. Dan rehat yang terbaik adalah melalui hubungan vertikal hamba dan tuannya. Mengadulah pada Dia dalam sujud tahajud lagi-lagi di waktu sunyi, menangis dan mintalah kekuatan daripada Dia. Muhasabah diri agar sentiasa perbetulkan niat. Kepada siapa dan untuk apa kita memberi. Jika untuk pujian dan santapan pandangan manusia, maka penat ini sia-sia. Namun, jika penat ini untuk mencapai reda-Nya, penat ini ialah penat yang bermakna. Penat dan bersusah payahlah di dunia, kerana rehat yang abadi hanya di Syurga.

“Sesungguhnya bangun di waktu malam itu adalah lebih tepat (untuk khusyuk)
dan bacaan di waktu itu lebih berkesan”
[Surah Al-Muzammil, 73 : 6]

‘Dunia penjara bagi mukmin, dan syurga bagi orang kafir.’
(Hadis Riwayat Muslim)

Dunia merupakan penjara bagi orang-orang yang beriman kerana mereka yakin akan kekalnya kehidupan akhirat, sehingga mereka lebih memilih untuk “memenjarakan” nafsu duniawi. Merekalah yang percaya dan yakin pada janji Allah Ta’ala:

“Dan adapun orang-orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya,”
[Surah An-Naziat, 79 : 40-41]

Dunia merupakan “syurga” bagi orang-orang yang tidak beriman yang bebas melakukan apa sahaja sedangkan syurga yang abadi sahajalah yang tiada larangan untuk berbuat sesuatu. Mereka menjalani hidup dengan melampaui batas serta mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat kerana mereka tidak mempercayai kehidupan akhirat.

“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sehungguhnya nerakalah tempat tinggalnya,”
[Surah An-Naziat, 79 : 37-39]

Pengajarannya, jadikan dunia dan kemewahannya sebagai jambatan untuk bekalan akhirat. Jangan dunia menguasai kita sehingga melalaikan dari akhirat. Rasulullah s.a.w, para sahabat dan penyambung risalah agama Islam semua telah berpenat lelah, maka di manakah usaha kita?

MEMBERI MAKNA

“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan, (sambil berkata) “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak mengharap balasan dan terima kasih dari kamu.”
[Surah Al-Insan, 76:8-9]

Berilah apa yang kita sukai.
Berilah kepada mereka yang memerlukannya.
Memberi untuk mencapai redhaNya.
Menambah saham sebagai bekalan.
Itulah cara kita memaknai erti memberi.

Hidup perlu memberi,
bukan cuma menerima.
Ibarat sang matahari, tak pernah serik memancar cahaya. 
Andai sudah biasa memberi, teruslah memberi.
Walau sedikit asal berkekalan.
Jangan sesekali lelah dan bosan.

Bersabarlah wahai sahabat!
Memberi memerlukan pengorbanan.
Kerana yang dirindui bukan calang-calang.
Kerana cerita terbaik ingin dibawa pulang.
Untuk dibanggakan di depan Ilahi.
Biar penat di dunia, asal tenang di syurga.
Kerana Allah Maha Melihat usaha hambaNya

Memberi,
Kerana pada memberi itu ada kehidupan.
Kerana memberi menghidupkan jiwa-jiwa kita.
Kerana nilai kehidupan ini tidak terletak pada apa yang kita suka dan cinta
Tetapi terletak pada apa yang Allah suka dan redha.

[ kredit ]

“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
[Al-Baqarah; 216]